Sunday, September 18, 2011
Adlin, Amy serasi bersama
Nama Adlin Aman Ramlie dan Amy Mastura cukup sinonim dengan industri seni tanah air. Sama ada dalam bidang lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan kedua-duanya mempunyai cara tersendiri ketika menjayakan tugasan masing-masing.
Berpeluang mengendalikan ranca-ngan Serasi Bersama musim kedua yang bakal ditayangkan mulai 22 Oktober, jam 10 malam, di Astro, memberikan cabaran baru buat kedua selebriti ini. Sementelah lagi menggantikan tempat hos tersohor, Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira. Bagaimanapun, baik Adlin atau Amy, mempunyai cara tersendiri untuk menarik minat penonton.
Biarpun kali pertama digandingkan bersama, mereka tidak kekok malah keserasian antara mereka jelas tercipta sewaktu mengendalikan rancangan tersebut.
Bagi Adlin yang popular dengan program Jangan Tidur Lagi, menerima tawaran menjadi hos bagi program ini adalah kesempatan yang terbaik bagi memantapkan penglibatannya dalam bidang pengacaraan.
“Serasi Bersama adalah sebuah rancangan hiburan menarik untuk ditonton seisi keluarga, melaluinya kita dapat melihat sejauh mana pengetahuan suami dan isteri itu mengenai pasangan masing-masing.
“Bahkan ini adalah satu-satunya rancangan yang melibatkan pasangan suami dan isteri selebriti tempatan sama ada penyanyi, pelakon, model dan lain-lain.
“Apa yang menariknya selain berhibur kita juga dapat melakukan kebajikan pada masa yang sama,” katanya.
Bagi Amy Mastura pula, bidang pengacaraan bukanlah satu kerjaya yang mudah memandangkan sudah lama dia meninggalkan bidang itu.
“Sudah lama tidak bercakap sebagai hos bagaimanapun sewaktu pihak berkenaan memberikan tawaran kepada saya, saya tidak menolak sebaliknya menerima dengan hati yang terbuka.
“Saya adalah wanita yang memen-tingkan hubungan kekeluargaannya dan rancangan ini sangat sesuai bagi diri saya. Malah, saya berharap gandingan saya dan Adlin berjaya menyampaikan mesej kepada penonton,” katanya.
Tidak mahu dibayangi Aznil
Diberikan tanggungjawab menggantikan tempat Aznil, yang bukan calang-calang hos dan mempunyai ramai peminat, bukanlah sesuatu yang berat bagi Adlin.
Menurutnya, setiap hos mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikan tugasan yang diberikan.
“Memang benar, Aznil mempunyai perwatakan yang menarik sehingga membuatkan ramai orang tidak sabar untuk menantikan dia muncul kaca televisyen.
“Bagaimanapun sebagai hos baru saya juga mempunyai karakter tersendiri untuk mengendalikan musim baru ini.
“Mungkin ramai yang merindui kehadiran Aznil namun mereka juga perlu menerima perubahan, kehadiran saya dalam rancangan ini bukanlah sesuatu yang disangka tetapi sudah pasti saya akan mencuba sebaik mungkin untuk menampilkan kelainan,” katanya yang tidak mahu dibayangi Aznil.
Sudah lama minati Amy
Bercerita tentang gandingannya bersama Amy Mastura, nyata suami kepada pelakon cantik Emelda Rosmila ini gembira dengan pilihan penerbit.
Mengakui dia turut mengagumi Amy Mastura sebagai selebriti berbakat besar, Adlin tidak menolak peluang untuk mengacara program itu bersama Amy.
“Saya merupakan salah seorang peminat Amy, bagi saya dia seorang yang sangat ceria. Sifatnya yang peramah dan mudah berdampingan dengan sesiapa pun membuatkan kita senang bekerja dengannya.
“Sepanjang bekerjasama, saya tidak mempunyai masalah dengannya, malah dia sentiasa bersikap positif,” kata Adlin yang kini berusia 38 tahun.
Jelasnya, walaupun pertama kali bekerjasama, namun dia dan Amy punya chemistry dan sangat serasi bersama.
“Alhamdulillah, kami dapat menja-yakan rancangan ini dengan baik setakat ini. Respons diberikan pihak Astro juga sangat baik dan nampaknya mereka tidak silap menggandingkan kami bersama.
“Mungkin ini juga adalah salah satu cara untuk kami menaikkan rancangan ini,” katanya.
Tidak tamak terima tawaran
Sudah pasti ramai yang me-ngenali Adlin bukan sahaja kerana lakonannya yang bersahaja, namun sebagai seorang penggiat seni yang aktif dalam pelbagai bidang, termasuk teater, filem, penulis skrip, pengarah, pengacara dan pengkritik persembahan. Malah dia sangat dikenali sebagai artis yang serba boleh.
Adlin berkata dia bukanlah mahu mengejar populariti ataupun mengaut semua tawaran seni yang ada, sebaliknya menganggap tidak salah untuk mencuba pelbagai bidang.
“Mungkin ramai yang beranggapan saya mahu mengejar setiap kerja yang diberikan bagaimanapun semua ini adalah rezeki dan saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap kerja yang diterima.
“Lebih-lebih lagi saya sentiasa membuka ruang untuk terlibat dalam pelbagai jenis bidang, sudah pasti saya mahu menjadi seorang yang serba boleh selagi bergelar anak seni,” katanya.
Ketika ditanya apakah perkemba-ngan terbarunya, Adlin berkata, buat masa sekarang dia banyak menghabiskan masa untuk menulis skrip untuk filem terbarunya.
“Sekarang saya tidak terlibat dengan mana-mana filem mahupun drama, selain memenuhi masa sebagai hos Serasi Bersama, saya lebih banyak menumpukan perhatian kepada penulisan skrip.
“Rasanya sudah setahun saya tidak menulis dan kali ini saya mahu kembali kepada kerjaya asal saya.
“Kali ini saya sedang menulis skrip bagi filem yang berunsurkan komedi aksi, bagaimanapun ia memakan masa yang agak lama untuk menyudahkannya kerana saya mahu menghasilkan skrip yang berkua-liti,” katanya yang mengakui bahagia bersama isteri tercinta, Emelda.
Amy mahu beri kelainan
Penyanyi kecil molek ini sudah agak lama menyepi dari dunia nyanyian, bagaimanapun kehadirannya sebagai pengacara dalam rancangan Serasi Bersama sudah pasti mengubat kerinduan peminat-peminatnya.
Walaupun sudah berusia 40 tahun, nyata Amy masih kelihatan lincah seperti awal kemunculannya, pemilihannya sebagai hos untuk rancangan ini sangat tepat lebih-lebih lagi personaliti mampu menyerikan lagi rancangan ini.
Mengakui teruja mendapat tawaran sebagai hos rancangan itu, Amy sememangnya mengharapkan penampilan terbarunya sebagai pengacara mendapat sambutan baik daripada peminat industri seni tempatan.
“Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki saya untuk kembali semula dalam industri ini sebagai hos, walaupun sukar untuk saya mendalami bidang ini tetapi nasib baiklah cara saya yang memang kuat bercakap ini dapat disesuaikan dengan program tersebut,” katanya.
Tambahnya, biarpun ramai yang akan membandingkan dia dengan Sharifah Shahirah, namun dia akan cuba memberikan kelainan sebagai hos baru.
“Setiap individu mempunyai cara dan gaya masing-masing, takkanlah apa yang disampaikan saya sama seperti Sharifah Shahirah, pasti ada perbezaan antara kami berdua.
“Apa yang saya mahukan, saya dan Adlin dapat memberikan nafas baru bagi Serasi Bersama musim kedua ini. Mungkin juga ia akan lebih ceria dengan adanya peserta yang lebih spontan, ”katanya.
Takut dengan Adlin
Menyentuh gandingannya bersama Adlin, penyanyi yang popular dengan lagu Jawapan Kasih ini berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk berdepan dengan Adlin.
“Kalau kita lihat cara dia berlakon dan bekerja memang nampak Adlin ni seorang yang serius, tapi tak sangka sebenarnya dia mempunyai sifat lawak dan mesra yang tersendiri.
“Bagi saya tidak sukar bekerja dengannya, lebih-lebih lagi Adlin bukanlah seorang yang kedekut ilmu, malah sewaktu menjadi hos bersama dia banyak beri tunjuk ajar kepada saya,” ujarnya.
Tambahnya, dia gembira kerana dapat bersama-sama Adlin menjayakan rancangan yang semakin mendapat tempat di hati penonton itu.
“Rancangan ini baru masuk musim kedua namun ia sudah mempunyai pengikut yang tersendiri, bagi saya melangkah masuk bersama Adlin merupakan gandingan yang sangat baik kerana kami mempunyai karakter tersendiri.
“Baik saya mahupun dia, kami sentiasa cuba memberikan yang terbaik, biarpun agak kekok pada awalnya namun keserasian itu muncul tanpa disedari,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: