|
|
Pepatah ada menyebut tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia. Walaupun di mana keberadaan wanita, mereka memainkan peranan penting untuk kejayaan sebuah keluarga mahupun organisasi.
Bagi membina kejayaan dan kebahagiaan, wanita bukan hanya perlu cantik pada luaran tetapi keseimbangan dalaman juga perlu.
Tidak hanya tahu bersolek atau berdandan, mereka perlu bijak membina personaliti serta menguruskan keluarga. Di situlah kita melihat keunggulan dan ketrampilan seorang wanita.
Justeru itu, Pengurus Baseerah Resources, Rosilawati Ismail membuka ruang untuk semua golongan wanita menghadiri seminar sehari yang mengetengahkan topik-topik menarik.
Bertemakan ‘Keseimbangan Rohaniah dan Jasmaniah Teras Keunggulan Wanita’, seminar ini akan dilangsungkan di Dewan Ballroom, Hotel De Palma Ampang, Selangor pada 28 April ini.
Menurut Rosilawati, seminar ini bertujuan memberi pengetahuan kepada wanita khususnya dalam menyediakan diri untuk memiliki pakej yang lengkap sebagai wanita yang unggul dan trampil.
“Selain itu, ia memberi peluang meningkatkan potensi dan keyakinan diri dalam mengharungi cabaran kehidupan masa kini. Kami juga mahu memberi pendedahan terhadap peranan wanita sebagai perancang kewangan keluarga. Tidak ketinggalan, dalam seminar ini, ahli panel yang dipilih akan menerapkan disiplin dalam diri wanita terhadap kepentingan kesihatan fizikal dan spiritual. Secara keseluruhan, ia akan memupuk kesedaran bahawa wanita yang sihat secara fizikal dan spiritual akan lebih cemerlang dalam kehidupan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Diamond Complex, Bangi Business Park, Selangor.
Menyedari wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan, seminar ini turut mendedahkan rahsia cantik menerusi perubatan tradisional, dunia estetik dan kebaikan amalan sunnah.
Bagi Rosilawati, dia mahu wanita sama ada yang berkerja atau suri rumah menjaga kecantikan bukan sahaja aspek luaran tetapi juga dalaman.
Tambahnya, dalaman bermaksud keperibadian yang dicapai melalui potensi dan ilmu.
Dengan menyertai seminar seperti ini, wanita bukan sahaja ilmu tetapi mereka boleh berkongsi pengalaman bersama wanita lain memandangkan seminar ini hanya terbuka kepada wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: