Sunday, April 10, 2011

Tuah Najwa nyanyi dalam kereta




JIKA dicari namanya di laman YouTube, pasti terjumpa sejumlah klip video seorang gadis menyanyikan pelbagai lagu di dalam sebuah kereta.

Najwa Latif, si gadis YouTube dari Batu Pahat, Johor, ini mula menyanyi seawal usia lima tahun.

“Dua tahun lalu, ayah suruh saya pilih alat muzik yang mahu saya pelajari dan saya memilih gitar,” imbau pemilik nama sebenar Imratul Najwa Latif ini.

Pelajar Sekolah Menengah (Perempuan) Temenggong Ibrahim di Batu Pahat ini meminati gitar selepas melihat anggota grup M2M bermain gitar sambil menyanyi.

Melalui petikan gitar juga Najwa belajar membikin lagu manakala kakaknya, Iqwatul Syafika, 22, menulis liriknya.

Mahu dirinya ditonton di seluruh dunia, Najwa memuat naik video nyanyiannya di YouTube dengan bantuan rakan-rakan.

Setelah 33 buah klip videonya ditonton di laman sosial, dia dilamar menjadi artis rakaman NAR Records.

“Saya sudah merakamkan lagu baru Cinta Muka Buku. Lagu ini merupakan single pertama saya yang diterbitkan oleh Eddie Marzuki dan diedarkan oleh NAR Records.

“Saya juga sudah menulis tiga buah lagu lagi iaitu Cinta Hati, I Love You dan KLIA,” ujarnya semasa sesi fotografi di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.

Baru mahu memulakan rentak, dia sudah dibandingkan dengan dua penyanyi bergitar yang kini sudah mempunyai tapak masing-masing iaitu Yuna dan Ana Raffali.

“Yuna dan Ana adalah pemuzik yang hebat. Mereka ada stail dan muzik tersendiri,” jawabnya ringkas.

Pemetik instrumen ini sedang membentuk dirinya untuk menjadi seorang pemain gitar yang berjaya. Katanya bermula dengan kord-kord mudah, sekarang dia semakin lancar bermain gitar.

“Ayah membelikan saya gitar pertama, Santa Cruz dan hantar saya ke kelas muzik.

“Kini saya memiliki lima gitar. Selain Santa, saya juga memiliki gitar Yamaha (klasikal), Ibanez (elektrik), StarSun (akustik) dan terbaru adalah Epiphone (akustik),” senyum peminat Justin Bieber ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: