|
|
GADIS cantik berbibir seksi ini semakin menyerlah dalam bidang lakonan. Bukan menidakkan vokalnya yang sememangnya enak, tetapi nasib menyebelahinya dalam dunia lakonan.
Terbaru, pelakon dengan nama Marsha Milan Londoh ini bakal memukau para peminat siri drama hantu melalui siri Kum Kum The Series yang akan bersiaran setiap Selasa mulai pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104, Astro).
Selebriti kelahiran Tamparuli, Sabah ini bakal membawakan watak Mawar, seorang gadis yang kurang keyakinan diri dan percaya dengan ilmu hitam untuk kelihatan cantik.
Mengakui mempunyai sifat penakut dalam diri, dia menabahkan hati untuk berada dalam situasi mistik dan menakutkan Kum Kum The Series, sebuah siri yang diangkat daripada telefilem.
“Saya tidak dapat tidur beberapa hari. Ini semua gara-gara kejadian menyeramkan selepas saya pulang daripada penggambaran. Rumah saya dipenuhi dengan bau bunga pada satu malam. Ia seperti bau bunga harum sundal malam,” cerita Marsha yang ditemui pada sesi pelancaran drama 13 episod itu di The Curve, Damansara.
Turut membintangi drama arahan Michael Ang itu ialah Didie Alias yang melakonkan watak Mak Hitam, Elfira Loy (Shikin), Sharnaaz Ahmad (Yusof) dan Saiful Nizan (Ramli).
Sedar dirinya yang kini lebih banyak terarah kepada bidang lakonan, Marsha mempunyai had tersendiri dalam memilih watak yang diberikan kepadanya. Bukan hentam semborono, sebaliknya dia memastikan kualiti kerjanya sebagai pelakon terjamin dan jelas sudah bosan dengan watak gadis mengada-ngada.
“Selain drama, saya turut menerima tawaran berlakon beberapa filem tetapi saya tolak kerana wataknya kurang sesuai dengan saya. Saya asyik diberikan watak gadis yang mengada-ngada,” jelas gadis yang dilahirkan di Berrien Springs, Michigan, Amerika Syarikat pada 6 November 1985 tersebut.
Sejak muncul di persada dunia seni melalui program realiti televisyen, Marsha telah terlibat dengan lebih 10 telefilem antaranya berjudul Rumah Terbuka AF3, Gitu-Gitu Raya, Besan vs Madu, 5 Saat, Beautiful Maria dan Cinta Meriam Buluh serta drama rantaian Hotel Mania, K.I.T.A., Dottie dan Awan Dania 3.
Pada umur 26 tahun, Marsha tidak menyembunyikan gejolak hatinya yang kepingin untuk berumah tangga. Tidak menyembunyikan kenyataan yang hatinya sudah dimiliki oleh jejaka bernama Z, ada hasrat yang disimpan setiap kali menjejakkan kaki ke majlis perkahwinan teman-teman.
“Saya belum dapat memastikan adakah hubungan saya dengan Z akan ke jenjang pelamin ataupun tidak. Tetapi, setiap kali ke majlis perkahwinan kawan-kawan sekolah, hati ini tiba-tiba hendak kahwin,” jelasnya yang menyukai sifat Z yang suka mengambil berat tentang dirinya dan tidak kuat cemburu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: