Wednesday, April 27, 2011

Teruja raikan Hari Ibu

SHILA dan Azhar.
SHILA dan Azhar.
Shila, Azhar tidak sabar hiburkan tetamu, raikan insan cukup bermakna

BULAN kelima di dalam kalendar masihi cukup sinonim dengan bulan untuk meraikan seorang insan yang cukup bermakna dalam hidup kita. Dialah sahabat, dia juga kekasih dan insan mulia yang dimaksudkan itu adalah seorang ibu yang tiada galang gantinya. Panggilan apa saja, emak, ibu, mama, umi, biarpun berbeza sebutannya namun maksudnya tetap sama.Dialah doktor yang akan merawat bila kita sakit, seorang tukang masak hebat yang memahami selera anaknya dan dia juga akan bertindak seperti seorang peguam yang sanggup melindungi anaknya ketika ditimpa kesusahan. Malah dia juga ibarat malaikat yang sentiasa di sisi, menemani dan menjaga darah dagingnya. Dan menjelang ketibaan bulan Mei ini, Hip menemukan dua penyanyi remaja iaitu Shila Hamzah dan pemenang Bintang Idola Berita Harian (BIBH) Mohd Azhar Osman yang begitu menghargai jasa wanita yang memang cukup bermakna dalam hidup mereka.
Tidak pernah rasa dikongkong

SEJAK mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian, sehinggalah usianya mencecah angka 20 tahun, Shila Hamzah masih tidak pernah berenggang dengan ibunya, Fauziah Sarman. Mungkin bagi mereka yang tidak memahami hubungan kedua beranak itu beranggapan, wanita yang begitu setia menemani anak daranya itu sebenarnya adalah seorang yang mengongkong.

“Bagi Shila, kehadiran ibu di sisi lebih memberikan keyakinan diri. Sekurang-kurangnya orang yang akan berurusan dengan Shila akan lebih menghormati Shila. Maklum sajalah, Shila mula bergelar penyanyi ketika masih kanak-kanak. Jadi dalam apa-apa hal, mama banyak memberi panduan,” kata penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Memori Tercipta ini.

Bagaimanapun, akui penyanyi yang pernah pernah menjadi naib juara program realiti One In A Million musim kedua ini berkata, walaupun ibunya sentiasa berada di sisi dan sering memberi nasihat dan tunjuk ajar, ada ketika dia tersasar juga.
“Sebagai remaja, saya akui ada ketika teringin juga melakukan apa yang remaja lain buat. Justeru, jika apa yang saya lakukan itu akhirnya memberikan kesan yang tak baik buat saya, mama akan memulangkan paku buah keras. Dia tidak marah. Sebaliknya dia mahu saya mengambil iktibar atas kesalahan yang saya lakukan itu,”kata pemilik nama penuh Nurshahila Amir Hamzah.

Mengulas perkembangan kerjaya seninya, Shila berkata dia akan muncul dengan single terbaru berjudul Patah Seribu.

“Lagu ini mempunyai sentuhan muzik country. Sudah lama Shila cipta lagu ini dan baru sekarang mahu mengetengahkannya kepada peminat. Buat masa ini, Shila masih berbincang dengan syarikat Monkey Bone berkenaan pengedaran single ini. Jika perbincangan itu menemukan hasil positif, mungkin kerjasama itu diteruskan,” katanya yang masih belum bersedia untuk mendedahkan nama syarikatnya itu.

Sifat keibuannya membuatkan dia istimewa

SEBAGAI anak bongsu daripada dua beradik, tidak dinafikan Azhar memang rapat dengan ibunya. Malah apa juga keputusan yang ingin dilakukan, dia akan merujuk terlebih dulu kepada ibunya, Hasnah Yusof. Dan setiap kejayaan yang diperoleh, dia tidak pernah lupa untuk berkongsi dengan wanita berusia 54 tahun itu.

“Ibu sering memberi galakkan setiap kali saya mahu menyertai pertandingan nyanyian walaupun dia tidak pernah menemani ataupun menyaksikan saya bertanding. Tapi, selalunya dia tidak pernah lupa bertanyakan status pertandingan yang saya sertai. Kalau saya menang, dia gembira. Kalau kalah, dia meminta saya supaya tidak putus asa,” kata jejaka berusia 23 tahun ini.

Bercerita mengenai wanita kesayangannya itu, apa yang membuatkan ibunya itu cukup sempurna di mata Azhar adalah sifat keibuan yang dimilikinya.

“Paling penting, saya suka masakan dia terutama ketam masak kari. Boleh tambah sampai dua tiga pinggan kalau dia masak makanan kegemaran saya itu,” katanya.

Seperti juga Shila, Azhar juga diundang untuk menjayakan majlis sambutan Hari Ibu Rafflesia. Sambil menyifatkan acara itu bakal mencatat kenangan terindah dalam hidupnya, selain berpeluang meraikannya bersama ibu tersayang, Azhar juga bakal berduet dengan penyanyi dari Indonesia, Terry menerusi lagu yang berjudul Kemesraan.

“Sebelum ini setiap kali menjelang hari Ibu, saya memang sering membelikan hadiah buatnya.Ibu saya sukakan barangan hiasan yang comel.Kali ini saya akan menyambut acara itu dalam satu majlis yang meriah.Memang tak sabar untuk menantikan hari sebenar majlis itu,”katanya dalam nada teruja.

Bakal bergelar artis naungan KRU Recods, Azhar berkata peluang itu diibaratkan sebagai bulan jatuh ke riba buatnya.

“Sebelum ini saya memang bercita-cita untuk menjadi artis naungan KRU. Seronok melihat mereka gigih melahirkan bakat baru menerusi lagu ciptaan mereka yang hebat. Tak sangka pula peluang itu menjadi kenyataan. Salah satu sebab mengapa saya memilih untuk menyertai pertandingan BIBH yang lalu adalah kerana melihat Edry sebagai salah seorang jurinya.

“Apabila Edry menawarkan saya untuk menjadi artis mereka, saya terkejut. Pada awalnya ingatkan dia main-main. Tetapi apabila pembantunya menemui saya dan meminta maklumat diri, barulah saya percaya. Sekarang ini saya dalam peringkat merakamkan demo untuk menentukan konsep muzik bagaimana yang sesuai untuk single pertama saya nanti,” katanya.

Info

  • Acara makan malam sempena Hari Ibu anjuran Rafflesia diadakan di Eksekutif Suite, PNB Darby Park pada 28 April (Khamis), jam 8 malam.

  • Shila Hamzah dan Azhar adalah dua bakat baru yang akan menghiburkan tetamu pada acara ini.

  • Acara ini turut diserikan dengan kehadiran bakat baru dalam dunia seni iaitu Fauziah Ghous, Fizz Fairuzz, Diana Danielle, Elfira Roy, Miera, Eina Azman, NurFathiah, Raja Farah, Hairul Azreen dan Faralyana.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: