SEJAK dua bulan lalu Studio Anggerik di pinggir Jalan Gombak, Selangor menjadi gelanggang perhimpunan Wings. Kelibat mereka boleh dilihat hampir setiap hari, malah kebelakangan ini suasana tampak lebih meriah dengan kehadiran bekas ahli kumpulan itu termasuk Mel, Mus, Jojet dan Sham serta barisan rockers otai lain.Di studio milik gitarisnya yang juga ‘kepala’ projek, Joe, bermulanya misi menakluk Istana Budaya dan sebaik kertas kerja Konsert Opera Hidup diaju kepada Ketua Pengarah pentas berprestij itu, Muhamed Juhari Saharani sekitar April lalu, mereka tidak berpaling lagi sebaliknya meneruskan agenda mega sejajar ulang tahun ke-25 Wings!
Pada hari kunjungan Hip, dari aras bawah bangunan rumah kedai tiga tingkat lagi sudah kedengaran alunan vokal Mel membawakan lagu Semalam Yang Hangat disusuli Lena Di Ulit Intan, dipetik daripada album Orang Asing, juga satu-satunya buah tangan ketika bersama Wings.
Dendangan sepenuh jiwa itu juga antara rangkaian lagu malar segar yang bakal diperdengarkan bekas vokalis Wings dalam Konsert Opera Hidup di IB nanti selain Biarkan Berlalu, Jerangkung Dalam Almari serta Biru Mata Hitamku.
Jika peminat tegar sudah tidak sabar menyaksikan Wings mengepakkan sayap di pentas berprestij selama empat malam berturut-turut bermula 29 April ini, tidak terkecuali bekas anggota mereka yang diberi penghormatan berkongsi sejarah manis itu.
Bukan hanya Mel yang sempat bersama Wings pada 1995 sebelum bergerak solo, rakan lain yang ditemui pada sesi latihan itu juga tidak mampu menyembunyikan ghairah bergabung semula dengan teman lama sekali gus mengembalikan nostalgia lalu.
“Inilah gandingan sulung saya dengan Wings di pentas besar selepas 15 tahun. Apabila dilamar Joe untuk bersama mereka menawan Istana Budaya, ia satu penghormatan dan tentu saja saya tidak menolaknya apatah lagi berpeluang berpadu suara dengan Awie dan Mus dalam segmen khas.
“Wings adalah lagenda hidup yang menjadi ikon pelapis lain. Mereka terus utuh kerana mementingkan disiplin, tidak jemu berlatih, sentiasa belajar selain punya deretan lagu yang bagus. Saya bertuah apabila dulu dipilih daripada lebih 300 yang hadir ke uji bakat mengisi tempat Awie,” katanya yang punya tiga album solo berunsur kemanusiaan.
Bakal meninggalkan nostalgia
MENGAKUI debaran dan teruja muncul bersilih ganti, Mel atau Ismail Zainuddin, 45, mempersiapkan diri dengan latihan seperti rakan lain. Sejak sebulan lalu mereka memulakan latihan intensif membawakan dendangan lama yang diberi nafas baru oleh Joe dan Hillary Ang selaku pengarah muzik.
Seorang lagi barisan asal yang juga bekas pemain dram kumpulan itu, Rodzane Mohamed atau Jojet mengakui mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal malah perhimpunan di IB bakal dikenang peminat rock tegar yang sudah lama menanti saat itu.
“Tumpuan saya kini pada perniagaan keluarga di Kundang, Selangor namun muzik tetap di hati. Apabila ditawarkan bersama-sama rakan lain menghidupkan Konsert Wings Opera Hidup, ia seakan-akan mengimbas semula memori silam. Bayangkan selepas berbelas tahun, kami kembali semula.
“Uniknya bukan hanya kami, ramai lagi rakan lain menyertai kami seperti Ramli Sarip, (Datuk) M Nasir, Yantzen, Hattan, Rosli Mohalim, Man Kidal, Kid, Hillary, Yan, Edrie Hashim, Ujang, Yazid Search dan tidak ketinggalan Lan Typewriter serta Jaclyn Victor,” katanya mengenai rakan yang bakal muncul dalam Konsert Superfriends.
Simboliknya, Istana Budaya sebenarnya menjadi medan penyatuan ikon rock apabila acara dibahagikan kepada dua konsert gah dengan sebelah petang kemunculan barisan otai dalam Konsert Superfriends manakala waktu malam pula Konsert Wings Opera Hidup bersama Orkestra Simfoni Kuala Lumpur (OSK).
Harap semua kekal sihat
JOE selaku pengarah muzik bersama konsert terbabit berkata persediaan hampir 100 peratus selesai bermula pemilihan lagu, gubahan semula muzik, latihan intensif membabitkan semua yang terbabit dan hanya menunggu peringkat akhir, bergabung dengan OSK, empat hari sebelum konsert bermula.
“Konduktor OSK ialah Fuzer Nawi. Walaupun kami belum berkesempatan berlatih dengan 43 pemuzik orkestra itu, sepanjang latihan di studio ini kita ditemani salah seorang orang kuat OSK iaitu Roza Rio Rasul. Dari segi susunan semula lagu juga dia banyak membantu,” katanya.
Dari segi persediaan mereka tidak runsing sebaliknya tidak sabar menantikan tarikh 29 April, namun semakin hampir detik itu harapan semua yang terbabit adalah dikurniakan kesihatan yang baik dan menjaga pemakanan untuk mengelakkan demam atau selesema.
Pemain dram, Black, berkata dia berenang sebagai rutin demi menjaga stamina sekali gus memastikan dirinya tidak ‘pancit’ ketika beraksi dan pada masa sama menggandakan sesi latihan bersama rakan lain.
Latihan bermula dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam setiap hari dan kadangkala membawa ke 1 pagi. Soal tidur atau rehat tidak cukup diketepikan kerana paling penting hasil serta kepuasan penonton yang sanggup melaburkan wang menyaksikan kemunculan Wings. “Sudah tentu kami terharu apabila peminat terus di sisi hingga ke hari ini. Kepuasan sukar digambarkan dengan kata-kata apabila buat pertama kali bergandingan dengan orkestra malah saya dan Jojet juga akan ‘beraksi’ bersama. Itulah keinginan Awie yang mahu diiringi dua pemain dram sekali gus,” kata pemuzik berusia 43 tahun itu.
Bekas pemain gitar Wings yang ditubuhkan di Sekolah Menengah Sri Ampang pada 1985 itu, Sham Baharom atau Sham yang kini bersama Skyhigh pula berkata undangan memeriahkan konsert berkenaan diterima sebelum menjayakan Konsert Double Trouble di Sunway Lagoon.
“Saya hanya bersama Wings untuk album sulung, Belenggu Irama. Selepas itu saya menubuhkan CRK dan kemudian menganggotai Headwind hampir lima tahun sebelum dengan Skyhigh. Pengalaman bersama Wings sejak zaman sekolah antara detik manis saya,” katanya.
Eddie selaku pemain bass yakin penonton tidak akan kecewa dengan pemilihan rangkaian lagu serta gubahan semula muzik kerana lebih 40 dendangan yang diperdengarkan cukup berbeza sekali gus memenuhi kehendak semua.
“Kalau ikutkan bagi kedua-dua sesi banyak lagu mahu dibawa. Jadi setiap kami mengemukakan senarai dan kemudian ditapis. Kita lihat kesesuaian serta kekuatan untuk membezakan daripada konsert terdahulu hingga akhirnya 40 teristimewa menjadi pilihan. Kami sudah bersedia, hanya menunggu hari itu tiba saja,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, tiket Konsert Opera Hidup habis dijual tiga minggu selepas promosi manakala tempat duduk bagi persembahan Superfriends pada 30 April dan 1 Mei hanya tinggal 20 peratus. Kini hanya tiket berharga RM300 ke atas masih rancak dijual.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan konsert atau tempahan tiket boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.bizdan www.sayap2wings.com. Kedua-dua konsert itu adalah anjuran bersama Red On Black, Bombbay Worldwide dan Anggeris Event Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: