Monday, April 25, 2011

Terap kepentingan penggunaan air


SEBAHAGIAN daripada mahasiswa universiti yang terlibat dalam persidangan WATER! 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Kesedaran tentang kepentingan air dalam kehidupan perlu diterapkan di kalangan pelajar supaya mereka menghargai sumber alam tersebut.

Kempen pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang penggunaan air, memulihara kawasan tadahan air , sumber air bersih dan alam sekitar juga perlu dimulakan sejak di bangku sekolah sehingga di universiti.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Coca-Cola telah menganjurkan persidangan WATER! 2011 baru-baru ini.

Sebanyak 400 mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menghadiri persidangan itu yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Persidangan sehari itu mendedahkan mahasiswa tentang kepentingan pengekalan air di samping menyemai kesedaran lebih mendalam terhadap usaha pemuliharaan air di peringkat individu.

Presiden MNS, Profesor Madya Dr. Maketab Mohamed berkata, program tersebut mendedahkan semangat kesedaran dalam diri kepada bakal pemimpin masa depan iaitu mahasiswa bagi mengubah pandangan terhadap sumber air yang kini semakin berkurangan.

"Kita perlu mengubah corak pemikiran dan menjadikan pemuliharaan air sebahagian dari budaya Malaysia.

"Hari ini yang malangnya seperti yang didedahkan dalam Kajian Penggunaan Air Domestik apabila ramai di kalangan masyarakat di negara ini gemar menggunakan air dengan membazir dan bersikap tidak ambil peduli terhadap sumber yang semakin berkurangan ini," katanya.

Hadir sama, Ketua Operasi Komersial Coca-Cola Malaysia, Augustinus Gunadharma.

Dr. Maketab berkata, keprihatinan Coca-Cola yang bekerjasama dengan MNS dan IPT dapat menyedarkan mahasiswa terhadap isu-isu air di negara ini.

"Ia juga merangkumi isu biodiversiti, perubahan iklim dan jejak ekologi komuniti setempat yang perlu mengambil pendekatan memulihara alam sekitar dan kawasan tadahan air," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: