Monday, April 25, 2011

Karnival amal anak yatim 1Malaysia


SEBAHAGIAN daripada mahasiswa Uniten bersama anak-anak yatim melukis logo 1Malaysia terbesar sempena Karnival Sukan Amal Anak Yatim 1Malaysia, Uniten, Bangi baru-bari ini.


Universiti Tenaga Nasional (Uniten) baru-baru ini meriah dengan kunjungan lebih 150 anak-anak yatim dari pelbagai rumah kebajikan di sekitar Lembah Kelang sempena Karnival Amal Anak Yatim 1Malaysia.

Mereka merupakan pelajar dari Rumah Desa Amal Jireh, Semenyih; Rumah Nur Hikmah Kajang; Rumah Keluarga

Kami dan Rumah Anak Yatim Darul Fuquha Maahad Tahfiz, Bangi, Selangor.

Karnival sehari itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan program yang menarik minat golongan kurang bernasib baik terdiri daripada anak-anak yatim dari peringkat sekolah rendah dan menengah.

Ia merupakan anjuran julung kali pelajar Program Persediaan Untuk Ke luar Negara (PPOU) dan Program Pelajar Cemerlang (PPC) Uniten.

Pengarah projek, Mohd. Hazwan Hamdan berkata, projek kebajikan karnival Sukan Anak Yatim 1 Malaysia atau khidmat bakti itu merangkumi pameran, aktiviti kesukanan, pertandingan melukis, pertandingan fotografi, mewarna kaunseling, motivasi dan pendedahan, telematch, bola sepak, acara melukis logo terbesar 1Malaysia dan acara kemuncaknya ialah Malam Citrawarna 1Malaysia.

"Tahun ini kami memilih anak yatim kerana mahu meningkatkan kesedaran di kalangan mahasiswa universiti tentang sikap tanggungjawab kepada insan yang memerlukan bantuan.

"Kita sedia maklum, anak yatim ini perlu diberi inspirasi dan motivasi untuk berjaya dalam pendidikan kehidupan mereka. Jadi ini adalah salah satu langkah untuk kami memulakan inspirasi tersebut dengan mendekati mereka melalui aktiviti pada karnival ini," katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Malam Citrawarna 1Malaysia telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Uniten, Profesor Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha.

Selain khidmat bakti, program PPOU dan PPC Uniten untuk mereka mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim ini melalui program jualan-jualan amal di setiap ruang pameran yang disediakan.

Mohd. Hazwan berkata, dengan cara itu mahasiswa Uniten dapat mendekati mereka dengan cara lebih mesra sekali gus berupaya mengubah tanggapan negatif bahawa mahasiswa universiti hanya menumpukan akademik semata-mata.

"Bagi kami projek murni seperti ini harus bermula pada usia kanak-kanak dan anak-anak yatim perlu sentiasa mendapat motivasi terutama daripada golongan abang dan kakak di universiti untuk terus maju.

"Mahasiswa adalah insan terpilih dan berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Dunia mahasiswa adalah dunia manusia idealis berteraskan tradisi dan budaya keilmuan atau keintelektualan, berani berhujah dan bertindak secara rasional.

"Sudah tentu mahasiswa adalah aset negara untuk mempertingkat dan memperkukuhkan pengurusan kejayaan negara melalui program-program seumpama ini," katanya.

Mohd Hazwan berkata, tanggungjawab hakiki seseorang mahasiswa membentuk komuniti cemerlang bagi membolehkan mahasiswa memainkan peranan yang lebih besar melangkaui tanggungjawab tersebut dengan mendekati golongan kurang bernasib baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: