CEMAR PANDANGAN...lembu yang berkeliaran di Taman Bandar Botani, dekat Bukit Tinggi, Klang.
KLANG: Puluhan lembu yang berkeliaran tanpa diawasi pemilik di sekitar Taman Bandar Botani, dekat Bukit Tinggi, di sini, sejak beberapa bulan lalu menghantui pengguna jalan raya terutama penduduk di situ.
Kegagalan penternak mengawal ternakan mereka bukan saja menyusahkan pengguna jalan raya, malah mengundang risiko kemalangan terutama pada waktu malam dan awal pagi.
Pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Sufian, 34, berkata dia hairan dengan sikap penternak yang melepaskan lembu sesuka hati tanpa mengawasinya.
“Penternak tak ambil berat mengenai keselamatan pengguna yang melalui jalan itu lebih-lebih lagi pada waktu malam. Jika keadaan ini berterusan, laluan ini menjadi perangkap maut disebabkan sikap penternak terbabit,” katanya.
Sufian berkata, walaupun masalah itu sudah diadukan penduduk, ia masih berterusan di jalan berkenaan yang sibuk dengan kenderaan.
Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati, antara 10 hingga 15 lembu berkeliaran di sekitar jalan itu.
Perkara itu boleh mengundang bahaya terutama kepada penunggang motosikal kerana lembu terbabit sentiasa melintas jalan bagi mencari kawasan ragut.
Eksekutif akaun, Fauziah Maarof, 39, berkata lembu itu dipercayai milik penternak yang membina kandang di dalam kawasan perumahan.“Kalau tak silap saya ada sebuah kandang lembu berhampiran taman perumahan itu dan ia wujud sebelum taman dibina.
“Bukan saja lembu itu berkeliaran, malah najisnya turut bersepah-sepah dan baunya tidak menyenangkan penduduk lebih-lebih lagi peniaga dan pelanggan kedai makan berdekatan,” katanya.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa tempatan memantau kegiatan terbabit dan mengenakan tindakan tegas terhadap penternak supaya ia menjadi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: