Friday, April 1, 2011

Curah ilmu sebagai jurulatih

TAK KENAL SUSAH...bertubuh kecil bukan penghalang Nurul Ain menguasai bidang pelayaran.
TAK KENAL SUSAH...bertubuh kecil bukan penghalang Nurul Ain menguasai bidang pelayaran.
Nurul Ain Md Isa
Nurul Ain Md Isa

DUNIA pelayaran tidak mudah dilupakan. Manakan tidak, sudah 16 tahun dia bergelumang bersama angin, air masin dan layar.

Ramai yang menyuruh dia menumpukan terus di bidang itu dan menjadikannya sebagai kerjaya tetapi realitinya di Malaysia, ia belum boleh dianggap kerjaya yang menjamin masa depan.

“Sebab itulah keluarga me�nyuruh saya mempunyai kerjaya lain. Kerja pelayaran ini saya buat sekiranya ada tawaran dan secara sambilan,” kata Nurul Ain Md Isa, 26, �tersenyum manis.

Ini kali kedua pertemuan kami dan setiap kali pertemuan, Nurul Ain datang sendirian dan orangnya nampak sangat berani. Tentu saja dia perlu berani kerana menjadi pelayar memerlukan keberanian maksimum.


Dia nampak pemalu tetapi sebenarnya dia amat berkeyakinan dan tegas dengan pendirian. Bukan mudah menjadi juragan kapal layar, dua sikap itu, keyakinan dan ketegasan antara yang perlu ada.Bertubuh kecil, itu bukan penghalang segala pencapaian yang sudah berada di dalam genggamannya dan Nurul Ain antara atlet bidang pelayaran yang paling menonjol di negara kita. Senarai penyertaan dan kemenangannya amat membanggakan.

Tetapi nampaknya setelah segala pahit maung ditempuh anak yang dibesarkan di Perak ini, Nurul Ain sudah mulai beralih arah walaupun tetap menemui angin dan laut seperti dahulu. Dulu dia mewakili negara sebagai pelayar, sekarang dia menjadi jurulatih pula.

“Saya mula menjadi jurulatih pada Ogos 2009 setelah mendapat tawaran daripada kerajaan negeri Terengganu di bawah Majlis Sukan Negeri untuk melatih atlet Sukma Terengganu bagi remaja bawah 23 tahun,” beritahu anak keempat daripada lima beradik ini.

Nurul Ain kini sedang belajar di Universiti Terbuka Malaysia dalam jurusan pentadbiran perniagaan.

“Walaupun begitu, saya sekarang mempunyai kerja tetap demi menjamin masa depan saya sendiri.

“Dengan pekerjaan tetap, menjadi jurulatih dan kemudian di bidang pengadilan pertandingan pelayaran, memang agak susah saya hendak bahagikan masa,” katanya.

Jadualnya sentiasa penuh sama ada demi kerja tetap dan kerja sambilannya.

Dengan segala kesibukan, bidang pelayaran tidak pernah hilang daripada ingatan Nurul Ain. Cuma tahun ini dia tidak menyertai mana-mana pertandingan kerana dijangka menamatkan zaman bujangnya hujung tahun ini.

Jadi tentu sahaja dia perlu menumpukan masa untuk persiapan menempuh hari bahagianya itu.

Walaupun menjadi jurulatih suatu bidang baru yang diceburinya, Nurul Ain lebih menyayangi apa yang dapat dilakukannya sebagai pelayar. Aksi bersama kapal dan memegang tampuk juragan paling terkesan di hatinya.

“Melatih bakat muda memang cabaran baru bagi saya. Ada keseronokan tersendiri di bidang itu tetapi ia bukan kerja yang mudah.

“Kena menjaga anak didik dan merancang serta melaksanakan program mengikut sasaran yang ditentukan. Menyediakan pelan harian, mingguan dan bulanan untuk dilaksanakan atlet.

“Dahulu saya kena buat perancangan untuk diri sendiri sahaja, sekarang untuk ramai orang pula,” terang Nurul sambil tergelak kecil.

Bercakap mengenai bidang kerjaya tetapnya, Nurul kini bekerja bersama abangnya di syarikat pembekalan barangan tentera.

“Kerja sambilan yang saya lakukan dapat juga melepaskan kerinduan saya berlawan dengan angin. Sebab itu saya mahu menulis buku dan berharap ada syarikat penerbitan yang mahu bekerjasama menerbitkan pengalaman saya.

“Saya mahu buku saya itu mempunyai peringkat bersesuaian dengan tahap pembelajaran setiap orang. Daripada mereka yang mula belajar, pertengahan dan peringkat lanjutan,” Nurul Ain menyatakan hasratnya.

Dia berharap bukunya kelak akan menjadi rujukan yang memudahkan pelbagai pihak.

“Ia juga untuk digunakan mereka yang mahu menjadi pelayar serta tenaga pengajar supaya langkah demi langkah mengenai ilmu pelayaran dapat dikongsi dengan lebih mudah.

“Mendalami dunia pelayaran bukan sesuatu yang mudah. Memang memerlukan jurulatih berpengalaman.

“Jurulatih perlu mengajar teori dan praktikal.

“Mengenali angin bukan perkara yang boleh dipelajari setahun dua.

“Saya sendiri mengumpul pengalaman sejak usia sembilan tahun lagi,” katanya.

Bilangan pelayar wanita memang kurang di negara ini berbanding luar negara kerana pendedahannya juga kurang.

Bidang pelayaran Nurul Ain sendiri dahulu diperkenalkan guru sekolahnya, disokong penuh ibu bapanya dan ia antara kecintaan utamanya kini.


PROFIL

NAMA: Nurul Ain Md Isa
TARIKH LAHIR: 20 April 1985
ASAL: Lumut, Perak
UMUR MULA BERLAYAR: 10 tahun (1995)
JENIS BOT MULA BERLAYAR: Optimist
UMUR MULA WAKILI NEGARA:�13 tahun (1998)
KELAB PELAYARAN: Royal Malaysian Navy Yacht Club
JENIS BOT BERLAYAR: Optimist, Laser, Int 420, Int 470, Keel
PENGALAMAN BERLAYAR: 16 tahun

ANTARA PENCAPAIAN:
Optimist

  • Tempat pertama keseluruhan Kejohanan Layar Asean
  • Tempat ke-25 keseluruhan, tempat keempat wanita Kejohanan Layar Asia (1998)
  • Tempat ke-52 keseluruhan, tempat ke-11 wanita Kejohanan Optimist Dunia La Caruna, Sepanyol (2000) Laser
  • Tempat kedua keseluruhan, tempat pertama wanita Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi Int 420
  • Tempat ketiga keseluruhan Terbuka Brisbane, Australia
  • Tempat ke-16 Kejohanan Layar Belia Sedunia (2001)Int 470
  • Tempat ketiga keseluruhan Regatta Terbuka Lumut (2009)
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: