Saturday, April 2, 2011

Tak kisah bawa watak pembantu

KEMBALI SOLO...putus cinta dengan kekasih hati tahun lalu.
KEMBALI SOLO...putus cinta dengan kekasih hati tahun lalu.
LARIS...walaupun namanya kurang popular, Fateen banyak terima tawaran berlakon.
LARIS...walaupun namanya kurang popular, Fateen banyak terima tawaran berlakon.

WATAK pesakit sopak yang menjadi mangsa penderaan ibu tiri dan berkahwin dengan orang tua dalam drama bersiri Raksasa, lima tahun lalu, mula memperkenalkan nama Puteri Fateen Nasuha Shamsudin sebagai pelakon pelapis di negara ini.

Kepercayaan diberi pengarah apabila ditawarkan memegang watak utama dalam Puteri Salju ala cerita dongeng Snow White juga meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Namun itu belum cukup kuat untuk membawa nama Fateen duduk sebaris dengan pelakon popular tanah air. Bagaimanapun, watak gadis lurus bendul, Cici dalam drama bersiri Kau dan Aku musim kedua, mengubah segalanya.

Drama yang disiarkan di Astro Ria itu berjaya melonjakkan namanya. Malah ke mana saja dia pergi, nama Cici melekat di hati peminat. Justeru, Fateen memutuskan nama komersialnya dalam bidang lakonan juga ditukar kepada Puteri Chichi kerana orang lebih mengenali�nya dengan nama itu daripada nama sebenarnya.


“Saya berharap pengarah dan produser drama dan filem juga boleh menerima nama baru saya ini. Saya juga lebih selesa jika orang panggil saya nama Puteri Chichi pula selepas ini,” katanya.Berkongsi pengalamannya berlakon dalam drama bersiri Kau dan Aku 2 itu, Fateen �mengakui cukup seronok berlakon di samping bintang yang digilap daripada program realiti TV popular, Akademi Fantasia (AF) iaitu Akim, Mila, Hafiz, Aril, Ika Nabila, Anith Aqilah dan ramai lagi.

“Saya tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan mereka kerana masing-masing memberikan kerjasama terbaik dalam siri itu.

“Saya juga sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Kau dan Aku 2 walaupun saya tidak terbabit dalam musim pertama yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, dua tahun lalu.

“Masing-masing membantu memperbaiki kelemahan masing-masing dan melengkapi antara satu sama lain di lokasi penggambaran,” katanya.

Fateen berkata, sekalipun namanya tidak sepopular artis seperjuangannya, tawaran berlakon tidak pernah putus diterimanya saban bulan. Dua daripada adiknya, Puteri Alia Natasya, 14, dan Puteri Asyura Nur Ain, 8, juga berlakon drama.

“Saya sudah tujuh tahun berlakon tapi serius dalam bidang seni baru lima tahun. Saya bersyukur kerana rezeki murah dalam bidang lakonan.

“Cuma publisiti saja yang kurang kerana saya tidak tahu saluran yang tepat untuk mendapatkan publisiti di akhbar. Saya juga banyak ditawarkan watak pembantu dalam drama tapi saya tak kisah asalkan ia karakter berlainan dan tetap meninggalkan kesan pada penonton di luar sana,” katanya.

Selain drama bersiri muzikal Kau dan Aku 2, Fateen turut berlakon dalam drama bersiri Gemilang arahan Kabir Bhatia, Juvana dan juga Samson Delaila yang diterajui Fasha Sandha.

Dalam Samson Delaila, dia bawa watak Delaila yang juga lakonan Fasha Sandha ketika kecil. Dalam Gemilang pula, dia bawa watak pembantu Dahlia yang juga pelajar kepada Tiz Zaqyah. Dia juga berlakon dalam siri komedi Cik Ah Cik Nin juga di Astro.

Selain itu, dia turut ditawarkan watak heroin dalam Puteri Salju bergandingan dengan pelakon kacak Fizo Omar. Tidak ketinggalan, dia berlakon dalam siri Rempit vs Impak Maksima dan Seputeh Qaseh Ramadan.

Terbaru, Fateen turut ditawarkan watak pembantu dalam filem arahan Aziz M Osman, Azura 2011 yang diterajui Shah Jazsle dan Neelofa.

“Saya memang sudah lama nak bekerja dengan Aziz dan akan menggunakan peluang keemasan itu sebaik mungkin. Saya juga tidak ingin menghampakan harapan abang Aziz.

“Watak saya juga kawan baik kepada Neelofa yang juga heroin dalam filem itu. Penggambaran babak saya juga belum dimulakan lagi. Saya juga berharap filem Azura 2011 adalah permulaan yang positif buat saya melangkah ke layar perak,” katanya.

Apapun rintangan, Fateen tidak pernah putus asa untuk mengukuhkan namanya di persada seni tempatan. Kata�nya, dia berlakon kerana minat yang cukup mendalam dan bukan untuk mengejar glamor semata-mata.

“Masih banyak lagi ilmu dalam bidang lakonan yang saya nak belajar. Saya juga impikan untuk bekerja dengan lebih ramai pengarah yang bagus seperti Erma Fatima danShuhaimi Baba tetapi buat masa ini belum ada peluang lagi. Saya juga belum ditawarkan watak antagonis dan sering ditawarkan watak ‘imej baik’ saja,” katanya.

Karier nyanyian pula, kata Fateen, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu, nampaknya tidak berjalan seperti diharapkan. Fateen akur yang rezekinya lebih murah dalam bidang lakonan.

“Saya memang minat menyanyi dan bermula dalam bidang nyanyian dulu. Saya juga tidak pernah lupakan karier nyanyian dan impian untuk bikin single atau album penuh satu hari nanti,” katanya.

Kini, karier seni Fateen juga bakal diuruskan syarikat �pengurusan bakat, Snift
Sdn Bhd, selama setahun.

Fateen berharap, karier seninya lebih teratur selepas diuruskan Snift.

“Saya juga masih boleh cari projek berlakon sendiri walaupun sudah terikat dengan mereka. Saya menaruh harapan menggunung karier seni lebih menyerlah dan mantap pada tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fateen mengakui kisah cinta�nya dengan si dia juga sudah berakhir setahun yang lalu.

Dia kini berstatus solo dan belum bertemu penggantinya lagi.

“Kami putus pada tahun lalu dan saya anggap tiada jodoh.

“Saya juga masih belum bertemu pengganti dan keutamaan saya sekarang pada karier seni terlebih dulu daripada memikirkan soal pengganti.

“Terus terang, hidup saya tidak sunyi dan masih ada kawan rapat dalam bidang seni seperti Akim, Aril AF dan Amar (Anak Wayang),” katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Puteri Fateen Nasuha Shamsudin
TARIKH LAHIR: 12 Disember 1990
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik.
TELEFILEM / DRAMA BERSIRI: Selain Raksasa, Fateen juga cukup terkenal menerusi lakonannya dalam Puteri Salju, Rempit VS Impak Maksima dan yang sedang hangat ditayangkan, drama komedi, Cik Ah Cik Nin, Kau dan Aku musim kedua
FILEM: Azura 2011

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: