Friday, April 22, 2011

Suwaibah mahu tawan Gurun Sahara cari dana bantu rakyat Palestin


Mahathir Mohammad bersama Suwaibah Muhammad Nasir (depan, dua dari kanan) di Putrajaya, semalam.


KUALA LUMPUR 21 April - Seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Suwaibah Muhammad Nasir, 37, berhasrat menawan Gurun Sahara dengan berlari sejauh 1,337 kilometer merentasinya.

Menurutnya, misi tersebut bukan semata-mata mahu mencatat rekod wanita pertama di dunia berbuat demikian, sebaliknya ia sebagai serampang dua mata iaitu mahu mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin.

Misi larian yang dinamakannya sebagai Sailing the Sand of Sahara dijangka bermula pada 1 November depan pada pukul 11.11 pagi dari Aswan, Mesir.

"Jumlah kutipan dana nanti akan disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang penaungnya ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Saya menjalani latihan untuk menguatkan stamina sebelum memulakan larian," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam Suwaibah bersama pengurus larian itu, Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohammed mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di Putrajaya.

Menurut Suwaibah, larian tersebut akan melalui beberapa bandar di Mesir iaitu Luxor, Sohag, Assyut, Al-Minya, Giza dan Kaherah yang dijangka mengambil masa 30 hari sebelum berakhir di Alexandria.

Katanya, cabaran besar yang perlu ditempuhinya adalah cuaca panas kering dengan suhu boleh mencecah 31 darjah celsius pada waktu siang manakala malamnya pula amat sejuk.

Ditanya mengapa memilih larian jarak jauh di gurun sebagai cara mengutip dana, dia menjelaskan, pengalaman menyertai larian serupa di luar negara mencetuskan idea tersebut.

"Pelari jarak jauh di Habsyah memang sudah biasa melakukan larian sebegini untuk mengutip dana dan saya terfikir untuk melakukan perkara serupa," katanya.

Suwaibah yang bersara daripada TUDM pada 2002 pernah mencatat sejarah sebagai wanita pertama berjaya mendaki Menara Kuala Lumpur pada 1998 dan memegang rekod sebagai wanita terpantas mendaki Batu Caves pada 2000, 2001 dan 2002 dan rekod itu masih bertahan hingga hari ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga pernah berlari secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dan berlari sejauh 2,400 kilometer mengelilingi Borneo pada 2004.

Pada 1999, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu dipilih mewakili negara ke pertandingan mendaki Empire States Building di New York dan berjaya meraih tempat ke-12 selain pernah berlari di Itali, Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dasuki berkata, individu atau syarikat korporat yang berminat untuk menghulurkan dana bagi misi itu boleh menghubungi talian 019-6699047.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: