Friday, April 22, 2011

Noh rancang kor tani jadi unit khas


NOH Omar bersama sebahagian penerima watikah pelantikan pasukan kor tani MARDI di Serdang, semalam.


KUALA LUMPUR 21 April – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang menjadikan pasukan kor tani sebagai satu unit khas di bawah kementerian tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, unit itu ketika ini diletakkan di pelbagai jabatan dan agensi bertujuan menjadi ejen penerangan kepada kepada golongan sasar membabitkan petani, nelayan dan penternak serta usahawan dalam industri asas tani.

Menurut beliau, pasukan tersebut boleh dijadikan satu unit yang berperanan sebagai barisan hadapan dalam membantu kementerian membangunkan sektor pertanian negara.

“Bagaimanapun, cadangan penubuhan unit tersebut bergantung kepada sambutan dan kejayaan para sukarelawan ini membantu kerajaan dalam mempromosikan peranan dan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran dan penyampaian watikah pelantikan pasukan kor tani Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di Serdang hari ini.

Pasukan kor tani MARDI dianggotai 100 orang terdiri daripada 80 usahawan yang dilatih MARDI serta 20 pegawai agensi itu.

Sejak diperkenalkan tahun lepas, keseluruhan keanggotaan pasukan kor tani telah mencapai angka 4,000 orang meliputi tiga jabatan dan sembilan agensi di bawah kementerian tersebut.

Dalam pada itu, Noh berkata, pasukan kor tani bukan sahaja terlibat sebagai usahawan tani yang berjaya, malah mampu menjadi model dan berperanan menarik golongan muda menyertai industri pertanian.

Selain itu, beliau berharap, melalui kerjasama dengan pasukan sukarelawan itu, kerajaan akan dapat membantu 4,000 petani, nelayan dan penternak memperoleh sumber pendapatan yang lebih baik dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: