Sunday, April 3, 2011

SPRM tahan 62 pegawai kastam

MUSTAFAR... usaha dapat semula wang kerajaan
MUSTAFAR... usaha dapat semula wang kerajaan

PUTRAJAYA: Seramai 62 pegawai kastam pelbagai pangkat berusia antara 24 hingga 56 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak operasi besar- besaran bersepadu dikenali Ops 3b di lima pelabuhan seluruh negara, Isnin lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu 53 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita.


Beliau berkata, sehingga semalam, 17 masih direman manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan. Pegawai kastam dari Pelabuhan Klang, Selangor paling ramai ditahan iaitu 48 orang.

“Hasil siasatan mendapati, ada pegawai mengaku menerima suapan antara RM100 hingga RM500 untuk setiap borang K1 iaitu borang pengisytiharan kastam sejak lima bulan lalu, malah ada yang mengaku pihak tertentu memasukkan RM10,000 setiap bulan ke dalam akaun dan kita mengesan tujuh transaksi dijalankan.


“Malah, kami turut menemui wang yang banyak dalam akaun pegawai, pelaburan amanah saham bernilai RM200,000 termasuk jam tangan emas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Mustafar berkata, kelmarin SPRM turut menahan beberapa lagi pegawai dan menemui tiga beg wang tunai berjumlah RM625,250, selain lima jongkong emas bernilai kira-kira RM50,000 serta dua pistol tiruan dan 241 peluru.

Katanya, di rumah pengarah kastam yang masih ditahan reman, pihaknya menemui wang tunai bernilai RM65,000, mercun dan bunga api serta rokok kretek.


“Kita masih menyiasat harta dimiliki pengarah berkenaan kerana dalam beberapa akaun miliknya mempunyai ribuan malahan jutaan ringgi, ada yang berjumlah sehingga RM2.1 juta manakala satu akaun lagi RM500,000, semua itu masih dalam siasatan,” katanya.Mustafar berkata, hasil operasi itu juga, SPRM mengesan lebih RM10 bilion diseludup dan dihantar ke luar negara secara haram.


Beliau berkata, fokus utama pelaksanaan operasi itu bagi mendapatkan kembali hasil pendapatan kerajaan serta membersihkan amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Ia berikutan ada maklumat menyatakan pegawai kastam di pelabuhan seluruh negara meminta dan menerima rasuah daripada ejen penghantaran untuk mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan proses Borang K1.


Operasi dilaksanakan di Pelabuhan Klang, Selangor; Pelabuhan Kuantan, Pahang; Pelabuhan Pulau Pinang; Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.


“Usaha kita adalah mendapatkan kembali pendapatan kerajaan yang boleh diberikan semula kepada masyarakat. Kerajaan kehilangan berbilion ringgit disebabkan amalan ‘tangan kotor’ yang dilakukan pihak tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment