Sunday, April 3, 2011

Gigih gali ilmu

pix_middle

PEMILIK nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot punya identiti dan pesona tersendiri. Hakikatnya, si jelita ini memang berbeza. Bukan setakat menggayakan lenggok wanita sopan lengkap bertudung, alunan bicara tersusun dengan suara lembut, malah karakternya disenangi dan menyusuri ke fasa kesempurnaan.

Bagaimanapun, apa yang tersurat tidak menggambarkan erti yang tersimpul di sebaliknya. Pelakon, personaliti popular yang juga pengacara televisyen ini sebenarnya berpendirian kuat, lantang bersuara dan tidak pernah kekal pada stigma kebiasaan. Jika apa yang difikirkan silap, ia terus suarakan.


Jika manis tuturnya berbicara dan senyumnya tidak henti-henti meleret, ia tidak bermakna si empunya darah kacukan Melayu Australia ini diam seribu bahasa. Namun jauh dalam hatinya, Wardina berfikir dan tidak henti-henti mentafsir.


  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Lama tidak bersembang dengannya, SELEBRITI cuba menyelongkar apa yang ingin diluahkan dan meneliti segala cetusan rasa yang selama ini tersembunyi kemas dalam jiwanya.


Tutur anak kelahiran Kuala Lumpur ini, soal popular dan tampil sebagai pelakon tidak lagi wujud dalam kotak fikirannya ketika ini.


Sebaliknya, graduan jurusan Arkitek Hiasan Dalaman ini lebih senang mengemudi tanggungjawab selaku pengacara, jurucakap produk dan meletak sepenuh fokus kepada keluarga dan anaknya.

Pernah membintangi beberapa filem, termasuk Lagi-Lagi Senario dan Cinta 200 Ela serta deretan drama televisyen tidak sesekali membuatkan Wardina rasa rindu untuk kembali ke pentas layar lebar.


"Sudah lama saya tidak fikirkan soal lakonan. Bukan lupa atau tidak rindu, sebaliknya sejak mendirikan rumah tangga dan berkeluarga, saya lebih selesa untuk lebih meluangkan waktu di rumah berbanding seperti muda dulu, berjam-jam di lokasi penggambaran. Mungkin faktor usia dan persekitaran membuatkan saya cepat letih untuk bergerak aktif sebagai pelakon seperti dulu.

"Namun alhamdulillah masih ada tawaran yang datang, cuma semuanya tidak sesuai buat saya. Maklumlah saya sudah bertudung dan berkeluarga, rasanya tidak relevan lagi untuk saya bersaing dengan barisan pelakon muda yang jauh lebih berbakat, bergaya dan ketrampilan menarik.


"Ada kalanya saya tersenyum melihat perkembangan industri perfileman yang kian luas dan wajah baru yang hebat. Mungkin kegemilangan itu sudah berakhir buat saya.


"Malah ada kalanya, peminat yang bertemu saya di mana-mana majlis masih sibuk bertanyakan bila saya kembali berlakon. Itu juga satu semangat yang menguatkan diri saya.


"Bagaimanapun, saya tidak menolak jika ada tawaran bersesuaian. Mana tahu, peluang untuk tampil itu memberi kepuasan berlainan buat saya kerana asasnya, darah seni masih kuat dalam diri," katanya.


Tiada lagi kelibatnya di gelanggang komersial, adakah ia petanda kepada selebriti yang juga penulis buku terlaris jualannya, 'Mama, Saya Lapar' ini kian merudum jatuh?

"Saya tidak pernah terfikir mengenai naik turunnya nama saya. Wardina Safiyyah mungkin tidak lagi gigih menghiasi wajah akhbar dan majalah atau berpeleseran di mana-mana material publisiti, namun ia tidak bermakna pesona itu lenyap dan terus jatuh. Ia satu frasa yang tidak benar kerana yang lebih penting adalah perjuangan saya sebagai insan dan wanita.


"Ikhlas, saya menyifatkan pengaruh dan impak saya masih ada, cuma pada perspektif berbeza iaitu lebih cenderung kepada masyarakat yang banyak berinteraksi bersama saya menerusi pelbagai program yang saya anjurkan. Saya lebih banyak luangkan masa dan ruang peribadi untuk mencari ilmu dan terus menggali mana yang patut ditampal.


"Saya memandang soal popular dan kecantikan adalah elemen yang tidak abadi. Ia sementara dan tidak relevan jika kita dihormati atau dikenali hanya bersandar pada fakta itu.


"Yang kekal dan lebih indah perasaannya apabila orang mengangkat kita dan mengenali saya kerana ilmu yang ada. Pengalaman lalu serta segala cerita lama saya simpulkan menjadi satu kekuatan bagi mencari pelantar kehidupan baru.


"Saya percaya jika seseorang itu penuh dengan ilmunya dan lengkap pada perisai faktanya, mata sekeliling akan lebih menghormati seperti janji Allah yang pernah tertulis, sesiapa hamba-Nya yang gigih mencari ilmu akan lebih tinggi martabatnya. Justeru, tidak timbul soal lenyap atau merudum itu," katanya.


Menjadi isteri kepada Ikhwan Johari sejak sembilan tahun lalu dan dikurniakan tiga cahaya mata - Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi - membuatkan waktu bekas pengacara program televisyen Fitrah Kasih, Ibu Mithali, Menatang Si Manja, Hijrah Remaja dan Kisah-Kisah Anbia ini penuh sepanjang hari. Lantas, Wardina mengintai peluang berkongsi jadual hariannya.


"Wardina hari ini adalah pengacara, penceramah motivasi bebas, jurucakap produk, isteri dan ibu kepada anaknya. Jujurnya, semua tanggungjawab itu membuatkan saya sibuk sepanjang hari.


"Bayangkan, ada kalanya saya merasakan bagai tidak cukup waktu seharian itu. Semuanya terkejar-kejar dengan jadual kerja dan waktu menguruskan anak.


"Alhamdulillah, aspek kerja semuanya berjalan lancar. Saya masih mengheret beberapa jenama sebagai jurucakap seperti Slim World dan Anmum Essential yang kini masuk tahun keempat, tudung Ariani yang menjengah tahun kedua serta ubat gigi Mu'min yang baru setahun. Semua itu menuntut komitmen dan fokus tinggi.


"Saya juga sibuk memenuhi undangan untuk berkongsi ilmu motivasi dan pembangunan diri bersama pelajar universiti dan kolej.


"Saya sangat seronok dan gembira dengan aktiviti ilmu seperti ini kerana tidak hanya memberi motivasi, sebaliknya ia juga membentuk motivasi buat diri saya," katanya yang juga bekerja rapat dengan Sunsilk untuk beberapa projek khas termasuk yang terbaru, Gadis Semasa Sunsilk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: