Monday, April 4, 2011

Siapa bakal suami Faezah?

Walaupun sibuk menjalani penggambaran filem dan drama, pelakon dan model, Faezah Elai sempat membuat persiapan perkahwinannya.

Faezah ketika dihubungi berkata, dia kini sering berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk memastikan upacara akad nikah dan resepsinya kelak berjalan lancar.

“Saya memang terlampau sibuk ketika ini di lokasi penggambaran, sehinggakan hendak menghadiri kursus kahwin pun tidak sempat.

“Oleh itu, ruang yang ada saya gunakan sebaiknya untuk pulang ke Pulau Pinang bagi membuat persiapan. Begitulah rutin saya sekarang, mujur keluarga banyak membantu,” katanya yang memilih bulan September ini untuk melangsungkan pernikahan.

Sementara itu, bagi majlis resepsi, Faezah berkata, ia akan diadakan pada Disember ini di Pulau Pinang kerana calon suaminya turut berasal dari sana.

“Masih belum ada tarikh yang pasti kerana saya masih berusaha mencari lokasi sesuai kerana banyak hotel dan dewan sudah ditempah.

“Namun, saya tetap berharap impian mengadakan majlis persandingan di tepi pantai terlaksana,” katanya.

Bertanyakan mengenai calon suaminya, saat ini Faezah lebih selesa merahsiakannya.

“Saya mengenalinya sejak setahun lalu dan yang pasti dia bukanlah dalam kalangan orang seni.

“Sikapnya sebagai pendengar yang baik membuatkan saya terpikat dengannya,” katanya.

Malah, bakal suaminya itu kenal rapat dengan keluarganya dan menepati ciri menantu pilihan ibu bapanya, Mohd Elai Fazil Elai dan Fazilah Ariffin.

Bagi Faezah, dia sudah bertemu pasangan yang tepat dan tidak mahu melengah-lengahkan perkahwinan. Di usia 29 tahun ini dia sudah cukup bersedia melangkah ke alam baru itu.

Faezah berharap peminat mendoakan yang terbaik untuk perkahwinannya dan terus menyokong kariernya selepas berumah tangga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: