ASAH BAKAT...antara adegan membabitkan Shera dalam filem Karak.
SEKALIPUN bergelar personaliti TV3 dan mengacara program Wanita Hari Ini (WHI), tidak ramai yang mengenali sisi peribadi Shera Ayob kerana sikapnya yang menjauhi publisiti terutamanya berkaitan peribadi.
Biarpun pernah dikaitkan bercinta dengan artis popular, jarang sekali dia buka mulut menggembar-gemburkan cerita itu kerana mahu menjaga nama baik tempatnya bekerja.
Namun situasinya begitu berbeza sekarang buat gadis bernama Nur Syahirah Aiyob yang kini intim bercinta dengan pelakon kacak bertahi lalat, Zahiril Adzim.
Mahu atau tidak, gadis berusia 25 tahun ini akan terkena tempias populariti kerana Zahiril sudah mengesahkan akan mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat. Apatah kini Shera dikenali pula sebagai pelakon apabila membintangi filem seram Karak terbitan KRU Studios.
Bercerita mengenai percintaan mereka, Shera berkata, segala-galanya berlaku tanpa dirancang. Biarpun pernah jadi pengacara untuk sidang media drama Merah Putih lakonan Zahiril sebelum ini, dia tidak kenal 'populariti' bakal tunangnya itu.
Bahkan mereka pernah berlakon bersama dalam filem Sesuatu Yang Tertinggal terbitan Primeworks Studios. Namun ketika itu masing-masing masih belum akrab.
"Filem itu menjalani penggambaran pada awal tahun lalu. Zahiril pegang peranan utama dalam filem mengenai kehidupan di rumah anak yatim itu. Memang ada babak membabitkan kami berdua tapi tak banyak. Kami jarang bersembang dan tak rapat kerana dia pendiam orangnya.
"Lepas habis penggambaran, rakan-rakan yang turut berlakon filem itu ajak kami keluar beramai-ramai. Akhirnya hujung tahun lalu, barulah kami betul-betul rapat. Kalau dikirakan ianya berlaku lebih enam bulan.
"Sebenarnya kami jarang keluar berdua kerana masing-masing sibuk dengan karier. Kalau keluar makan pun beramai-ramai dengan rakan-rakan lain.
"Masa mula-mula memang tak terfikir pun nak bercinta dengan dia, tapi inilah namanya ketentuan jodoh. Saya sukakan Zahiril kerana sikapnya yang semula jadi dan pendiam, sedangkan saya suka bercakap. Zahiril jenis orang yang bersuara apabila perlu. Tapi dia juga ada sisi kelakar tersendiri," katanya.
Shera akui sudah dibawa bertemu keluarga bakal mentua. Katanya, dia terkejut juga apabila Zahiril meluahkan hasrat untuk mengikat pertunangan kerana hubungan mereka masih baru.
"Keluarga merestui niat suci itu dan menyerahkan segala keputusan di tangan saya. Mereka kata, kalau selesa dengan Zahiril, terpulanglah. Saya dah kenal Zahiril dan dia juga dah kenal keluarga saya, jadi mereka tak menghalang hasrat kami untuk bertunang.
"Saya anak sulung daripada tiga beradik manakala Zahiril anak ketiga daripada lima beradik. Persoalan mengenai tempoh hubungan kami tak perlu diungkitkan kerana pasangan yang kenal lama pun tak tentu juga rumah tangga mereka.
"Walaupun hubungan masih baru, Zahiril yang meluahkan hasrat untuk meminang dan itu sangat baik kerana jarang ada lelaki sebegini sekarang. Insya-Allah majlis akan berlangsung pada Mei ini. Mengenai kenyataannya untuk berkahwin dalam tahun ini juga, saya ikut saja kerana lagi cepat lagi bagus.
"Lagipun saya takut dugaan bertunang lama-lama kerana macam-macam boleh berlaku. Bertunang dan berkahwin tak semestinya bermakna karier saya yang baru nak bermula akan berhenti.
"Zahiril juga tidak menghalang minat saya. Malah dia sendiri akan aktif berlakon biarpun sudah bergelar suami. Kami mengharapkan kebahagiaan dalam hubungan ini. Zahiril nampaknya matang dalam usia 27 tahun," katanya.Shera sendiri menyasarkan berkahwin pada usia 27 tahun namun bersyukur kerana jodohnya dipercepatkan. Dia menafikan memilih Zahiril kerana sama-sama anak seni, sebaliknya memilih lelaki itu kerana keperibadian memikat.
Mengenai persiapan bertunang, mereka sudah memulakannya dan hampir 50 peratus sudah siap. Pakaian pula disediakan Hatta Dolmat yang sering bekerjasama dengannya.
Menyentuh lakonannya dalam Karak, Shera yang bermula sebagai penyampai My TV3, penyampai School Attack, pengacara TV3 dan kini bertindak sebagai pembantu penerbit berkata, ia adalah lakonan keduanya selepas filem Sesuatu Yang Tertinggal.
Dalam Karak arahan Yusry Abdul Halim, Shera membawakan watak Zura, gadis lemah lembut dan kuat pegangan agama serta bergelar juara qariah membaca al-Quran.
Ia mengisahkan empat pelajar kolej iaitu Zura dan kawan-kawannya, Jack (Along Ezeyndy), Ida (KilaFairy) dan Nik (Shahir) yang ingin ke Kuantan. Disebabkan kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Karak, mereka mengambil keputusan mencari jalan alternatif iaitu jalan lama tanpa menyedari keputusan ini bakal merubah kehidupan mereka selama-lamanya.
"Sebenarnya produksi panggil untuk 'casting' tapi saya tak nak kerana takut cerita hantu. Masa pergi 'casting' pun saya tak fikir akan dapat, tapi tiba-tiba lepas itu mereka hubungi suruh saya berlakon.
"Saya akhirnya terima tawaran itu kerana nak cabar diri sendiri. Saya sebenarnya tak pandai berlakon. Di lokasi penggambaran baru saya tahu susah berlakon tapi tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat.
"Watak saya memang mencabar kerana ada babak di kubur yang memerlukan saya menangis sambil baca ayat Kursi dalam bahasa Arab dan rumi. Saya juga ditarik masuk dalam kubur. Ketika babak itu, kru produksi tarik saya betul-betul dan berasa juga saya pengalaman berada dalam liang lahat.
"Saya sebenarnya senang menangis kalau di luar tapi susah menangis ketika di set. Saya kena duduk seorang diri untuk dapatkan 'feel' sedih. Sepanjang penggambaran saya tak alami apa-apa kejadian buruk kerana sentiasa amalkan membaca ayat-ayat suci al-Quran," katanya.
>PROFIL
NAMA: Nur Syahirah Aiyob
PANGGILAN KOMERSIAL: Shera Ayob
TARIKH LAHIR: 21 Disember 1986
ASAL: Ipoh, Perak
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengajian Media, Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Kuala Lumpur
KARIER: Pengacara dan pembantu penerbit
PROGRAM: Kapsul My TV3 dan Wanita Hari Ini (WHI)
PENCAPAIAN: Iklan komersial Double Mint dan Walls Kena Durian Runtuh, pelakon filem Sesuatu Yang Tertinggal dan Karak.
Shera ni masa kecik2 dulu kena usik dgn Uncle Azmeer dan 'Abg Fuad'. Masa tu, Sheera tingkatan 3 tgh buat homework kat meja ruang tamu di rumah opah sheera. Uncle Azmeer ckp: 'Ni hah Shera! Abg Ard dah dtg nih!' - muka sheera merah padam masa tu sambil pegang pen tertunduk tgk buku (terketawa-ketawa malu!). Kelakarlah peristiwa tu!
ReplyDelete- Semoga sukses dan berbahagia dari Abg Ad utk Sheera!