Friday, April 22, 2011

“Serukan Namaku, Bangkitkan Jasadku!



Menggunakan tema “Serukan Namaku, Bangkitkan Jasadku”, filem Seru menampilkan gandingan julung kalinya Pierre Andre dan Woo Ming Jin selaku pengarah lakon layar dan penulis skrip bersama.

Untuk menampakkan kelainan, Pierre dan Ming Jin mempertaruhkan filem berbentuk ‘Slasher Horror Movie’ yang masih baru di negara ini bagi menarik minat penonton.

Bagi Pierre, meskipun pernah mengarahkan filem seram sebelum ini, ia tidak bermakna mudah untuk menyiapkannya, malah dia menjadikan filem luar, Quarantine, sebagai rujukan utama.

“Saya berdepan banyak cabaran untuk mengarahkan filem ini, apatah lagi saya turut membuat penampilan khas untuk satu babak.

“Saya berharap filem ini berjaya dan hasilnya boleh dibanggakan sekali gus mewarnai bidang perfileman kita,” katanya selepas pratonton Seru di TGV, Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju baru-baru ini.

Mengulas mengenai babak Orang Asli yang memuja roh, Pierre berkata, cerita itu adalah rekaan semata-mata dan objektifnya untuk memberi hiburan kepada penonton.

“Cerita ini tiada kaitan dengan mana-mana suku kaum Orang Asli di luar sana. Pakaian yang dipakai mereka juga tidak menggambarkan mana-mana suku kaum Orang Asli di negara ini. “Dari segi potongan Lembaga Penapis Filem (LPF) pula, hanya satu babak potong kepala yang tidak dapat kelulusan LPF,” katanya. Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn Bhd, yang menelan kos RM1.48 juta ini, menjalani penggambaran selama 20 hari di beberapa lokasi di sekitar Hulu Langat dan Lanchang, Pahang.

Menampilkan Shaarnaz Ahmad sebagai pelakon utama, filem ini turut dibintangi Katija, Cut Mutia, Nisha Dirr, Azman Hassan, Qhaud AF, Murshid Anak Wayang (Murshid), Nabila Dally, dan ramai lagi. Selain itu, Awal Ashaari dan Nora Danish sebagai penampilan khas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: