Saturday, April 2, 2011

Sensasi Pulau Sibu


MENARA aktiviti untuk cabaran sukan memanjat ini sungguh menyeronokkan.


PERAIRAN pantai timur negeri Johor juga tidak terkecuali dengan tarikan pulau-pulau peranginan yang indah. Selain Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Pemanggil, terdapat sebuah lagi lokasi yang sering menjadi pilihan pelancong.

Pulau Sibu cuma mengambil masa perjalanan bot kira-kira 30 minit dari Jeti Tanjung Leman di daerah Mersing. Pulau tersebut sebenarnya terdiri daripada beberapa buah pulau iaitu Sibu Besar, Sibu Tengah, Sibu Hujung dan Sibu Kukus manakala Pulau Tinggi pula terletak berhampiran dengan gugusan pulau-pulau itu.

Menginap di Sibu Island Resort umpama berada di pulau persendirian kerana ia adalah satu-satunya binaan kompleks resort di Sibu Tengah. Dalam kelas tersendiri, ia menyediakan pelbagai kemudahan dan aktiviti santai termasuk yang ideal untuk penganjuran program bina semangat.

Sebelum dihiburkan dengan sambutan nyanyian dan petikan gitar di lobi oleh kakitangan resort, sesiapa sahaja pasti berasa kagum dengan ketenangan suasana pulau itu saat memijakkan kaki di halamannya. ‘Sapaan’ ramah haiwan-haiwan jinak seperti rusa, merak dan ayam serama yang sengaja dibiarkan bebas berkeliaran amat mencuit hati. lantaran tidak takut dengan kelibat manusia.

Bagai satu pengalaman bonus, pengunjung boleh memberi makanan kepada haiwan-haiwan itu secara terus di atas tapak tangan. Jangan terkejut jika keluar sahaja dari bilik penginapan, beberapa ekor rusa sudah bersiap sedia menanti di tangga seakan-akan pemandu pelancong yang ingin membawa anda bersiar-siar!

Halaman resort itu bukan sahaja menempatkan taman indah tempat berkeliarannya haiwan-haiwan eksotik tersebut, malahan tersedia bahagian untuk mereka yang menggemari aktiviti ekstrem!

Kemudahan bertaraf dunia termasuk program Challenge Rope dalam elemen rendah dan tinggi, aktiviti flying fox, memanah serta menara setinggi 24 meter untuk cabaran memanjat berkumpulan adalah antara tarikan utama untuk para pencinta aktiviti lasak.

Banyak yang telah dilakukan dalam proses transformasi pulau itu sebagai medan pembelajaran dalam taman dan pusat sukan laut utama di Asia. Semua usaha itu adalah misi bagi menjadikannya pulau pertama di Malaysia yang menawarkan program latihan menggabungkan aspek rekreasi, pendidikan dan pembangunan.

Pelampung terbang


SUASANA yang tenang memberi semangat baru buat para pelibur.


Aktiviti air yang disediakan juga menjanjikan keseronokan berganda apabila susunan pilihannya cukup mengujakan. Mencuba aktiviti seperti snorkeling, perahu layar, berkayak, banana boat mahupun pelampung terbang Flying Fish mampu meningkatkan adrenalin!

Selain itu, sesi bersiar-siar di gigi ombak selepas berjemur di pantainya mungkin membuatkan pengunjung mahu mengutip cengkerang-cengkerang siput cantik yang terserak dibawa ombak ke pasir putih itu.

Kalau beralih dari sudut pantainya, hamparan hutan di bahagian belakang Sibu Island Resort boleh diteroka melalui aktiviti treking. Ketika berjalan kaki di laluan mudah yang tersedia, pengunjung berpeluang mengintai burung-burung pelbagai jenis.

Itu belum lagi bercakap mengenai keseronokan sesi memancing di jeti utamanya mahupun ‘belayar’ malam untuk mencandat sotong. Sememangnya pengalaman menginap di Sibu Island Resort tidak akan membosankan para tetamunya.

Sesuatu yang wajib untuk dilakukan tetamu resort adalah menyertai aktiviti unggun api pada waktu malam. Mereka akan dijemput untuk berkumpul bersama-sama kakitangan resort di pantai dan bergembira dengan pelbagai permainan dan kuiz selain menyanyi beramai-ramai. Duduk bersantai di atas pasir yang hangat pada waktu malam sambil ditemani hembusan angin laut - bukankah itu momen yang sukar untuk dilupakan?

Terdapat 121 buah vila menanti dengan harga yang berpatutan, namun jika datang berkumpulan sudah pasti kos tanggungan itu dapat dijimatkan. Lazimnya, harga pakej termasuk dengan makan minum sepanjang berada disana.

Satu jaminan adalah tentang makanan yang disediakan - dari sarapan hinggalah ke saat makan malam, hidangan pelbagai menu itu tidak akan mengecewakan. Pujian seharusnya diberikan kepada pakar-pakar di dapur Lumba Lumba Coffee House atas sambutan kulinari yang menyelerakan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: