Saturday, April 2, 2011

Berlumpur dek cabaran ekstrem Guchil


LOKASI yang dahulunya sebuah tapak laluan jentera berat kini berubah menjadi sebuah pesta meriah.


BAYANGKAN anda perlu memandu kenderaan besar di laluan berbukit yang licin. Dengan hanya bermodalkan stering dan kepakaran, pemanduan itu menjadi terlalu sukar ketika melewati kawasan berlumpur.

Itulah antara ‘seksaan’ yang terpaksa ditempuh para peserta Cabaran Gong Guchil Extreme yang padat dengan aksi lasak, mencabar dan adakalanya mendebarkan.

Selama dua hari, para peserta perlu berdepan tahap kesukaran maksimum ketika memandu kenderaan pacuan empat roda (4X4) untuk melepasi halangan-halangan yang dicipta sepanjang trek di kawasan Bukit Guchil, Besut.

Jalan becak, lopak air, lubang kering dan halangan berbukit memaksa setiap peserta menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan mereka dalam misi melepasi halangan bersama kenderaan yang dilengkapi pelbagai peralatan bantuan.

Sebanyak 11 pasukan dari negeri Kelantan dan Terengganu menyertai kejohanan anjuran Kelab Geduut 4x4 Adventure Team yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Guchil serta Komuniti Bestari Kampung Gong Guchil baru-baru ini.

Tapak pesta

Paling menarik, Bukit Guchil yang sebelum itu hanya menjadi tempat kunjungan lori pengangkut tanah dan jentera berat tiba-tiba menjadi tapak pesta dengan kehadiran ratusan peminat sukan lasak sejak awal pagi.

Pengerusi JKKK Gong Guchil, Zahari Mat Din berkata, tujuan utama penganjuran kejohanan itu adalah untuk membentuk semangat setiakawan dalam kalangan para penggemar aktiviti sukan lasak dengan masyarakat kampung.

“Selain itu, kita juga mahu menjadikan Bukit Guchil sebagai destinasi bagi pelbagai aktiviti lasak terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Sebelum ini, kita telah menganjurkan Kejohanan Motocross yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan belia,” jelasnya.

Tujuan utama kejohanan itu bukan setakat merebut Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh, bahkan, para peserta teruja untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan baru dalam acara lasak.


AKSI melepakan diri dan kenderaan daripada ‘perangkap’ seperti ini sangat mengujakan penonton.


Malah, kehadiran dan penantian para peminat sukan lasak ternyata berbaloi apabila mereka disajikan aksi penuh berbahaya oleh peserta yang dianggap pakar dalam mengendalikan kenderaan pacuan empat roda itu.

Patah tangan

Kenderaan peserta yang sememangnya telah diubah suai khusus untuk mengharungi aktiviti lasak itu dilengkapi peralatan canggih bagi membantu mereka menghadapi situasi di trek mencabar.

Pada hari pertama, salah seorang pemandu telah patah tangan apabila kenderaan yang dipandunya terbalik ketika melalui lubang berair, manakala hari kedua seorang pembantu mengalami kecederaan di kaki selepas tertindih oleh kenderaan yang terbalik.

Namun, insiden itu sedikit pun tidak menjadi penghalang kepada para peserta lain untuk terus beraksi kerana ia dianggap sebagai asam garam dalam aktiviti sukan lasak tersebut.

Zahari menjelaskan, Cabaran Gong Guchil Extreme memang merupakan cabaran yang berbahaya, namun para peserta yang mengikuti program itu adalah dari kalangan mereka yang profesional dan berpengalaman.

“Jika kita lihat kepada cara pengendalian kenderaan ini, ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Soal kemalangan dan kecederaan adalah perkara biasa,” katanya.

Pada hari kedua, kejohanan diserikan dengan pertandingan membawa jentera pembajak sawah (kerbau besi) dalam lumpur yang dianggap sebagai salah satu acara selingan.

Acara yang jarang dipertontonkan itu ternyata menarik perhatian penonton untuk menyaksikan kehebatan dan ketangkasan pemandu memecut kerbau besi dengan gaya tersendiri.

Acara selingan kedua yang paling menghiburkan penonton adalah bermain bola sepak dalam lumpur antara penduduk Kampung Gong Guchil dengan peserta program.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: