Tuesday, April 26, 2011

Semua kerana gosip?

  • Foto

  • Foto

Fiza akui timbul rasa menyesal kerana berlakon semula

JANGKA suhu kehidupan peribadi wanita ini berada di dalam darjah kepanasan yang amat tinggi. Sejak zaman solo hinggalah bergelar janda, ada saja cerita kurang manis mengenai dirinya yang disebarkan dan diperkatakan.Tidak keterlaluan relung hidup anak seni bernama Fiza ini sentiasa dilingkari ranjau dan duri yang menyakitkan. Jurang gosip ternganga luas dan terus menanti dirinya. Entah mengapa, dia bagaikan sebuah lapangan sasar yang cukup mudah untuk menjadi sasaran gosip.
Memang kejam bunyinya namun itulah hakikat sebenar yang terpaksa ditelan pelakon dan juga bekas anggota kumpulan Elite ini. Biarpun hati sakit dan membuatkan dirinya merana, namun dia sudah lali dengan segala tohmahan yang dilemparkan padanya.

"Saya sedar beberapa bulan yang lalu, cerita buruk mengenai diri saya tersebar luas. Saya dikatakan perosak kebahagiaan orang lain dan perampas suami orang. Bayangkan selama tujuh minggu berturut-turut cerita mengenai diri saya yang didakwa menjalinkan hubungan dengan bapa kepada Erin Malek (juga seorang pelakon) dipaparkan.

"Saban minggu ada saja cerita yang ditulis mengenai hubungan terlarang antara saya dan juga Malek ditulis. Kami memang rapat tetapi tidaklah sampai tahap bercinta. Sejujurnya, kami rapat apabila rumah tangga masing-masing berdepan dengan masalah dan ingin saya tegaskan, saya bukan punca kehancuran rumah tangga Malek," tegas pemilik nama penuh Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim berkali-kali.

Biarpun ramai yang menganggap dirinya adalah wanita jahat dan tidak berhati perut kerana sanggup menjadi perampas kebahagiaan wanita lain, namun tegas Fiza, dia tidak kisah apapun tohmahan yang dilemparkan kepadanya kerana dia yakin, dia berada di pihak yang benar.
"Perceraian Malek tidak ada kena mengena dengan saya. Justeru, semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya itu adalah fitnah,” katanya.

Fiza ditemui pada majlis tayangan perdana drama bersiri dan telefilem yang bakal bersiaran di Astro Prima, penghujung bulan ini dan Mei.

Antaranya Ayu Suraya dan Fatimah Juling The Series serta tiga telefilem menarik iaitu Sedepa Ke Syurga, Hati Seorang Ibu serta Berpaling Dari Jannahmu. Fiza membawakan watak sebagai Mak Long dalam drama berjudul Sedepa Ke Syurga.

Pelakon ini berkata, jauh di sudut hatinya, memang ada kekesalan yang bercambah apabila cerita buruk seperti itu membuatkan hasratnya untuk memulihkan kembali hubungan dengan suami menuju jalan kehancuran.

"Apa yang membuatkan saya terkilan dan kecewa adalah gara-gara cerita itu, pergolakan rumah tangga kami berakhir dengan perceraian. “Bila segala-galanya sudah kembali tenang dan kami mahu membuang segala yang keruh, tiba-tiba cerita saya mempunyai hubungan sulit itu meranapkan segala-galanya dan akhirnya membawa kepada perpisahan.

"Sampai satu tahap, saya rasa menyesal kerana mengambil keputusan untuk berlakon semula. Tak sangka, keputusan itu akhirnya membawa kemusnahan dalam kehidupan rumah tangga kami," luah Fiza lagi.

Ditanya apakah masih ada cahaya di hujung terowong kerana perceraian itu, Fiza berkata perkara itu tidak mungkin berlaku.

"Hubungan kami masih baik. Malah saya juga masih baik dengan keluarga bekas mentua. Bohonglah kalau saya katakan yang perasaan sayang itu sudah tidak ada.

“Dia pernah menjadi suami saya dan bapa kepada anak-anak saya, jadi sudah tentu saya masih menyayanginya. Namun untuk kami kembali rujuk, itu takkan berlaku. Lagipun, saya dengar bekas suami saya sudah ada pengganti dan bakal berkahwin tak lama lagi," katanya yang bercerai dengan suami, Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 4 November tahun lalu.

Selesa watak jahat

SEMUANYA gara-gara watak Tina dalam drama bersiri Natasya. Kesan daripada watak antagonis itu, Fiza berkata sehingga kini, dia sering ditawarkan untuk membawakan watak jahat.

Bukan kerana tidak berbakat, tetapi menurut pelakon berusia 26 tahun ini, watak 'baik' yang sering dibawa olehnya ketika itu membuatkan dirinya kurang menyerlah.

Sehinggalah dia ditawarkan memegang watak 'jahat' di dalam drama Natasya. Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa Fiza ada keserasian membawa watak jahat saja.

"Apa yang saya perasan, selepas berlakon dalam drama bersiri Natasya, saya tidak pernah lagi mendapat sebarang tawaran berlakon untuk watak yang baik. Mungkin raut wajah saya yang kelihatan sombong membuatkan ramai yang suka menyerahkan watak jahat kepada saya.

"Secara peribadi, saya tidak kisah jika asyik pegang watak sedemikian. Malah saya sendiri selesa membawakan watak jahat kerana bukan mudah untuk membawakan watak seperti itu. Penonton pun akan lebih mengingati watak jahat dan jika mereka tidak suka dengan watak saya itu, bererti lakonan saya berjaya," kata Fiza lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: