Tuesday, April 26, 2011

Hari raya peminat buku

TEMU SEMULA...Norhayati (kiri) dan Salina pernah bernaung di bawah syarikat penerbitan yang sama.
TEMU SEMULA...Norhayati (kiri) dan Salina pernah bernaung di bawah syarikat penerbitan yang sama.

BEG tarik beroda bukan saja digunakan untuk balik ke kampung atau bercuti ke luar negara, tetapi juga ke pesta buku!

Bukan mudah hendak membawa buku yang berat dan bagi mereka yang mahu memborong, maka beg tarik adalah jalan penyelesaiannya dan ini adalah pemandangan biasa jika anda ke pesta buku.

  • Foto

    PENULIS PROLIFIK...Norhayati sudah enam kali menyertai PBAKL.

  • Foto

    ENSIKLOPEDIA...bahan bacaan khusus untuk si kecil.

  • Foto

    PENYOKONG...Lily (kiri) bersama seorang peminatnya.

  • Foto

    PENERBITAN INDIE...bahan bacaan keluaran Sindiket Sol-lah.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) umpama hari raya bagi penulis buku tanah air.

Acara tahunan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran turut dinanti penggemar buku kerana mereka bukan saja dapat menikmati potongan harga istimewa, tetapi boleh membeli buku yang masih panas di pasaran.


Bertemu penulis buku atau novel adalah salah satu agenda utama penggemar buku dan peluang setahun sekali itu jarang dilepaskan.


Sebagaimana pembaca yang mahu bertemu penulis idola mereka begitu juga kalangan penulis yang mahu beramah mesra dengan pe�ngikut setia mereka dan pesta buku adalah lokasi paling strategik.

Norhayati Berahim, penulis prolifik yang sudah enam kali menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mengakui acara berkenaan umpama hari raya yang ditunggu-tunggu setahun sekali.

“Paling seronok apabila dapat jumpa pembaca yang sekian lama menyokong saya. Hari lain memang susah hendak jumpa,” kata penulis yang sudah menghasilkan 55 novel.

Seperti penulis lain, Norhayati yang mempunyai syarikat penerbitannya sendiri NB Kara memastikan mengeluarkan novel baru setiap kali pesta buku berlangsung.

Inilah buah tangan yang dicari peminat setiap kali bertemu dengannya.

“Kali ini buah tangan saya ialah buku duet Sambal Kerang Najwa dan Aku Bukan Rabiatul Adawiyah. Ada potongan harga istimewa 20 hingga 50 peratus bagi buku terpilih dan buku kedua berjudul Sejam RM2.50,” katanya.

Walaupun kebanyakan pembaca mendambakan buku baru, tetapi ada juga yang bertanya bagaimana mahu mendapatkan novel lamanya.

Nostalgia dan kenangan manis membuatkan mereka mahu memiliki buku itu kembali.

Pada hari pertama pesta buku lagi Norhayati tidak menang tangan dikunjungi peminat yang mahu tandata�ngan dan bergambar dengannya.

Bukan hanya peminat, penulis juga sibuk bertemu rakan penulis yang lain. Ini satu kemestian setiap kali pesta buku.

Ramai kalangan penulis novel di dunia mempunyai kerjaya pertama sebagai wartawan. Di Malaysia pun begitu juga. Dua nama yang sering disebut pembaca ialah Lily Haslina Nasir dan Salina Ibrahim - yang mula menulis cerpen atau novel pada usia remaja.

Salina Ibrahim dan Norhayati pernah menulis di bawah syarikat penerbitan yang sama dan dari situ mereka saling mengenali. Kini PBAKL menjadi tempat pertemuan semula.

“Kami pernah berjumpa beberapa kali, berbual-bual, tetapi habis di situ saja. Saya baca semua novelnya dan dari situlah saya ‘mengenali’ cara penulisan Norhayati (Kak Yati). Apabila saya sudah biasa dengan cara penulisan sese�orang penulis, saya boleh ‘terus masuk’ (maksudnya mudah berkawan). Apatah lagi Kak Yati pun mudah mesra. Saya ikuti juga perkembangan rakan-rakan penulis lain, terutamanya yang saya sudah kenal lama dari jauh sebagai sokongan kepada rakan penulis Melayu,” kata Salina.

Dia kini giat menulis pelbagai genre kreatif dan bukan kreatif juga bertindak sebagai jurulatih kanan di Akademi Penulis di Kuala Lumpur dalam penulisan novel.

“Saya sering diundang ke sekolah, universiti dan organisasi untuk membimbing bengkel penulisan kreatif terutama cerpen dan novel,” kata penulis yang mula menghasilkan karya sejak 2001 dan mempunyai 10 novel, 15 antologi cerpen bersama dan sebuah kumpulan cerpen.

Dua buku Salina dilancarkan pada pesta buku ke-11 ini terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) yakni ‘Bagaimana Saya Menulis: Proses Kreatif Penciptaan Cerpen’.

Buku ini memuatkan 17 cerpen dan 17 proses kreatif bagaimana karya berkenaan dihasilkan yang disumbangkan 17 orang pengarang tanah air.

Cerpen Salina yang termuat di sini berjudul Imam pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. Buku ini akan dilancarkan dan dibicarakan pada 27 April 2011, di Bilik KL, Tingkat 5, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 2.30 petang.

Sebuah lagi bukunya, Memaknakan Cinta adalah kumpulan cerpennya yang diterbitkan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.

“Selepas lebih 20 tahun menulis cerpen, akhirnya saya berjaya memiliki kumpulan cerpen sendiri. Ramai pembaca bertanya bila cerpen saya akan dibukukan. Jadi, ini adalah hadiah untuk semua pembaca saya. Buku ini akan dilancarkan pada 29 April 2011 di Pentas Utama, jam 5 petang, bersama tiga kumpulan cerpen lain terbitan Al-Ameen,” katanya.

Seperti Norhayati, Lily yang mula menulis sejak di tingkatan lima dan sudah menghasil�kan lebih 30 novel juga tidak sabar kedatangan pesta buku kerana ia adalah waktu untuk bertemu peminat.

“Untuk Pesta Buku kali ini novel paling terkini yang menjadi buah tangan saya buat peminat ialah Aku, Dia & Drama Queen, buku remaja yang diterbitkan oleh PTS Litera,” kata anak kelahiran Melaka yang mula menulis pada 1985 ketika dia di tingkatan lima.

Malah, Lily juga menggunakan peluang berpesta ini untuk memborong buku-buku yang diminatinya.

“Memang ramai yang sanggup berhabis setahun sekali bagi mendapat harga istimewa di pesta buku. Bagi yang tinggal jauh, ada yang awal-awal lagi menempah bilik hotel supaya boleh senang berulang alik ke pesta buku,” katanya yang turut singgah di gerai ‘gurunya’ Norhayati.

“Saya mengenali Kak Yati sejak 2006. Ingat lagi bagaimana saya sendiri pergi ke rumah Kak Yati pada hari raya haji untuk berkenalan dengannya. Walaupun baru berkenalan, tetapi Kak Yati tidak lokek berkongsi petua penulisannya,” katanya.

Bagi yang mahu memupukkan budaya membaca kepada keluarga, boleh mendapatkan buku Ensiklopedia Sains & al-Quran Untuk Kanak-kanak.

Buku yang mempunyai lima set dalam satu jilid keluaran E-media Publication Sdn Bhd mengandungi maklumat pendidikan sains dan al-Quran.

“Walaupun disasarkan untuk anak-anak dari tujuh hingga 12 tahun, tetapi ia sesuai juga untuk orang dewasa,” kata Eksekutif Editor, Siti Norhadar Taharuddin dari E-media Publication.

Dalam PBAKL kali ini, jabatan kerajaan yang mempunyai unit penerbitan juga turut turun padang. Antaranya Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Pembantu Hal Ehwal Islam, Unit Sumber Matlumat, Jabatan Mufti, Khairul Anuar Samsudin memberitahu, antara buku yang mereka promosi pada PBAKL kali ini ialah buku fekah terjemahan yang mempunyai lima jilid dalam satu set bertajuk Manhaj Fiqh Al-Syafi’i berharga RM48.

Menurutnya, misi Jabatan Mufti dan kerajaan Negeri Sembilan menjual buku agama dengan harga berpatutan supaya lebih ramai orang dapat memilikinya dan secara tidak langsung dapat menyebarkan dakwah kepada seluruh rakyat Malaysia. Lebih membanggakan buku itu kini turut dijual di Brunei.

Malah, pesta buku juga menjadi tempat penggiat buku dari kumpulan indie seperti Sindiket Sol-lah melebarkan sayap. Sindiket Sol-Jah menulis dan menerbitkan buku dalam bentuk buku puisi, antologi cerpen, novel dan buku blog. Terdapat 15 buku yang dikeluarkan oleh label ini antaranya Ayah Kita Bos, Sabotaj 1, 2 & 3, Roti dan Kopi dan Gangguan Teksual.

Walaupun anggota Sindiket Sol-Jah berlainan latar belakang antaranya pereka grafik, pengaturcara komputer, mekanik, pensyarah dan akauntan, mereka berkongsi minat yang sama dalam bidang penulisan.

Bahkan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM), mempelawa Sindiket Sol-Jah menganjurkan acara di gerai mereka yang dinamakan Maskara Sofa Putih.

Jurucakapnya, Ahmad Ghazali M Azalan Firdaus berkata, program itu akan diadakan pada Sabtu 30 April 2011 pada jam 12 tengah hari hingga jam 1 tengah hari.

Antara acara program ialah bacaan buku, deklamasi sajak dan mainan muzik secara akustik.

“Namun kami tidak mempunyai gerai khas kerana setiap anggota mempunyai kerjaya sendiri. Ahli kumpulan kami bergerak secara separuh masa. Pun begitu, jangan lupa bersama kami pada pada 30 April nanti,” katanya.

PBAKL ke 11 berlangsung dari 22 April hingga 1 Mei 2011 di PWTC Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: