|
|
JUNITA berasa kurang senang melihat belakang betisnya yang bertompok-tompok biru. Terdapat juga salur darah kecil di situ menyebabkan tompok-tompok itu berwarna gelap. Menurut Junita salur darah halus yang pada asalnya hanya sedikit. Namun ia menjadi lebih banyak setelah usianya menjangkau 35 tahun. Dia pernah mendengar pengalaman seorang rakannya yang mempunyai banyak salur darah halus di paha dan kaki yang semakin membesar dari hari ke hari. Menurut Junita, rakannya mengadu kesakitan dan sering mengalami masalah berkudis di tempat salur darah itu membesar. Dia khuatir akan ditimpa masalah yang sama jika masalahnya itu tidak dirawat segera.
Dia ingin tahu apakah punca berlaku masalah sedemikian dan apakah yang harus dilakukannya untuk mengelak perkara itu berulang. Junita yang gemar menggayakan kasut tumit tinggi tertanya-tanya apakah kegemarannya itu yang menjadi penyebab masalah tersebut?
Telangiectasias adalah salur darah kecil yang berada dekat pada permukaan kulit dan membran berukuran dalam 0.5 dan 1 mm. Ia boleh terbentuk di mana mana sahaja namun sering kelihatan pada hidung pipi dan dagu. Ia sering kali juga di lihat pada kaki, paha, sekitar lutut dan pergelangan kaki. Ia mungkin merupakan sekumpulan arterioles, kapilari darah atau pun venules yang terhasil secara semula jadi mahupun disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Kemungkinan juga ia terjadi akibat salur darah yang bengkok dan berpusar secara semula jadi.
Sebab-sebab lain termasuklah perubahan usia.
Telangiectasias mula terhasil pada usia 18 hingga 35 tahun dan mula meningkat pada usia 50-an dan 60-an. Besar kemungkinan faktor graviti dan kekurangan kolagen kulit membuatkan seseorang berusia mudah mendapat telengiectasias.
Kehadiran telengiactasias tidak disenangi kerana ia mempengaruhi penampilan terutamanya telengectasia pada muka yang sering dilihat terutamanya bagi wanita berusia empat puluhan ke atas.
Penggunaan kosmetik yang mempunyai bahan kimia juga membentuk rosacea (wajah kemerah-merahan) dan mungkin mencetus telengectiasis pada kulit. Oleh kerana ia lebih kelihatan pada kaum wanita berbanding lelaki tidak mustahil hormon sewaktu hamil meningkatkan penghasilannya. Rahim yang berat sewaktu hamil juga mampu menekan salur vena membuatkan gejala ini mudah terjadi.
Gaya hidup dan pekerjaan seseorang turut mempengaruhi kejadian ini. Mereka yang dikesan menghabiskan sejumlah besar masa duduk atau pun berdiri mudah terkena masalah ini pada kaki. Apabila seseorang berdiri terlalu lama saluran vena yang membawa darah dari kaki naik ke jantung mula mengembang. Graviti pula menarik darah ke kaki semula. Ini menyebabkan darah berkumpul di saluran yang kembang itu. Apabila salur darah sebegini menjadi nipis, darah boleh melaluinya menyebabkan tisu-tisu menjadi alah kepada hemoglobin yang mengandungi ferum. Kesan alahan mencetuskan gatal-gatal dan kudis. Adakalanya salur darah pecah mencetuskan perdarahan pula. Hal ini dinamakan vena varikos. Beza vena varikos dengan telengectasia ialah saiznya yang besar dan melebihi 2 mm.
Rawatan
Telengiectasis pada kaki boleh dirawat dengan sistem laser manakala vena varikos pula sesuai dirawat secara pembedahan. Pembedahan yang dimaksudkan ialah scleroterapi iaitu dengan memasukkan cecair bersifat mematikan salur darah itu. Salur darah yang mati akan menjadi keras dan ia kemudian disiat keluar. Terdapat juga kaedah menggunakan laser yang dimasukkan ke dalam salur darah dengan kanula khas. Laser turut bersifat memusnahkan salur darah yang rosak akibat varikos. Bagi mereka yang mudah mendapat varikos, penggunaan stoking elastik adalah baik bagi mengurangkan gejala ini. Stokin digunakan pada waktu mereka bergerak atau berdiri membantu mengurangkan salur darah daripada membesar.
Dalam perubatan aestetik laser yang digunakan bersifat lembut namun mampu masuk ke dalam kulit dan memusnahkan salur darah itu. Oleh kerana sifat salur darah yang terletak jauh ke dalam kulit, laser yang digunakan adalah jenis long pulse iaitu yang mempunyai jalur gelombang panjang. Laser ini mampu membekalkan tenaga yang cukup jauh ke dalam.
Penggunaan laser seperti ini haruslah dibuat secara berkala iaitu sebanyak tiga atau empat kali rawatan mungkin diperlukan jika banyak salur darah yang ingin dihapuskan.
Telengiectasis pada muka pula memadai dirawat dengan sistem laser sahaja. Bagi menentukan kejayaan rawatan saiz salur darah adalah penting. Hanya salur darah bersaiz 2 milimeter ke bawah sahaja sesuai dirawat. Apabila sudah besar ia menjadi sukar kerana lebih banyak tenaga laser diperlukan dan tenaga yang tinggi dikhuatiri merosakkan sel-sel kulit kita. Oleh itu saya mencadangkan rawatan awal bagi kes sebegini. Jika di biarkan lama ia akan menjadi lebih besar dan akan menyukarkan rawatan .
Laser merawat telengictasia mempunyai afiniti kepada oksihemoglobin. Partikel oksihemoglobin dalam darah akan menyerap laser ini dan akhirnya akan memusnahkan salur darah itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: