|
|
PULAU Tiga yang terletak di Laut China Selatan, dekat pesisir pantai barat Sabah, pastinya tidak asing lagi bagi penduduk di negara ini dan juga pelancong asing. Pulau seluas kira-kira 15,864 hektar yang mempunyai jolokan Survivor Island itu mempunyai pelbagai keindahan alam semula jadi flora dan fauna.
Pulau ini terbentuk pada 21 September 1897 ketika gempa bumi melanda Mindanao menyebabkan letusan gunung berapi dekat Borneo. Ia meliputi tiga pulau iaitu Pulau Tiga, Pulau Kalampunian Besar dan Pulau KalamPunian Damit yang lebih dikenali dengan Pulau Ular.
Namun mungkin masih ramai yang belum mengetahui mengenai tarikan unik di pulau tersebut iaitu lumpur gunung berapi.
Yang menakjubkan adalah kolam lumpur yang terhasil sejak ratusan tahun itu tidak akan menenggelamkan sesiapa. Secara mudahnya bolehlah dikatakan kolam itu seperti 'laut mati' yang membuatkan apa sahaja objek timbul.
Malah dengan mandi di dalam lumpur berkenaan dikatakan mampu mengubat penyakit kulit dan menyegarkan badan.
Pemandu pelancong Pulau Tiga Resort, Mark Michael, 24, berkata, kawasan tersebut menjadi antara tarikan utama pengunjung ke pulau berkenaan.
"Selain skuba, snokerling, melawat pulau ular, aktiviti mandi di lumpur gunung berapi adalah satu kemestian kepada sesiapa sahaja yang berkunjung di pulau ini.
"Malah ada antara pengunjung berulang kali datang ke sini hanya untuk mandi di lumpur gunung berapi berkenaan," katanya.
Menurutnya kolam berkenaan terletak di atas bukit di Pulau Tiga, tidak jauh daripada Pulau Tiga Resort.
Katanya, untuk ke kolam berkenaan pengunjung perlu berjalan kaki kira-kira 20 minit daripada Pulau Tiga Resort.
"Untuk ke kolam berkenaan pengunjung akan dibawa oleh pemandu pelancong bermula 7 pagi hingga 7 petang," katanya.
Wujud
Dalam pada itu, beliau berkata lumpur gunung berapi berkenaan telah wujud sejak tahun 1940-an lagi. Katanya, lumpur berkenaan sentiasa mengeluarkan haba dan seolah-olah mendidih menyebabkan ia sentiasa berasa suam.
Katanya, pada masa ini terdapat dua punca lumpur berkenaan di situ termasuk satu yang di pagar bagi mengelakkannya menjadi lebih besar.
"Pada asalnya kolam lumpur gunung berapi berkenaan hanya bersaiz kira-kira satu meter tetapi selepas dipijak oleh pengunjung menyebabkan ia semakin besar sehingga membentuk kolam.
"Pada masa ini kita menyediakan tali di dalam kolam berkenaan untuk memudahkan pengunjung naik ke atas," katanya.
Dalam pada itu ditanya sama ada berendam di kolam berkenaan akan memudaratkan dia berkata, setakat ini tidak ada laporan negatif daripada pengunjung.
Malah katanya, lumpur gunung berapi ini dikatakan amat baik untuk merawat penyakit kulit dam mampu menyegarkan badan.
"Jadi tidak hairanlah ada antara pengunjung yang berulang kali ke pulau ini untuk mandi di lumpur gunung berapi berkenaan," katanya.
Mohd. Bahar Kahar, 52, berkata, kewujudan lumpur gunung berapi itu menjadi tarikan utamanya ke pulau ini. Dia yang berasal dari Kota Kinabalu berkata, setakat ini telah mengunjungi kawasan lumpur berkenaan lebih empat kali bersama keluarganya.
"Mandi di sini bukan sahaja menyeronokkan malahan turut boleh menyegarkan badan setiap kali mandi di sini," katanya.
Sementara itu selain keunikan lumpur gunung berapi percutian di sini juga tidak sah sekiranya tidak berkunjung ke pulau ular yang menjadi habitat ratusan ular laut.
Untuk ke Pulau Ular pengunjung perlu menaiki bot laju kira-kira 15 minit bersama pemandu pelancong yang akan menunjukkan kebolehan menangkap ular bisa itu dengan tangan kosong.
Seorang penangkap ular Mohd. Syaheer Abdul Rahman, 24, berkata, terdapat lebih 100 ekor ular laut yang juga dikenali dengan Yellow Lips Seakrits ada berkeliaran di Pulau Ular pada masa ini.
Jelasnya, keadaan pulau berkenaan yang berbatu menyebabkan ia menjadi satu-satunya habitat bagi ular berkenaan.
Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi talian 088-240584 atau menghubungi Penyelia Pulau Tiga Resort, Janibel Bautista di talian 013-5460942.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: