Friday, April 1, 2011

Rossa ziarah Yoyo di penjara

GENIT...selain sibuk menyanyi Rossa juga turut mengembangkan  perniagaannya dalam bidang hartanah.
GENIT...selain sibuk menyanyi Rossa juga turut mengembangkan perniagaannya dalam bidang hartanah.
KENANGAN...saat indah Rossa dan Yoyo ketika masih suami isteri.
KENANGAN...saat indah Rossa dan Yoyo ketika masih suami isteri.

APABILA berita mengenai pemain dram kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali sebagai Yoyo dipenjara kerana menagih dadah jenis syabu, di fikiran kebanyakan peminat tergambar wajah penyanyi popular Indonesia, Sri Rossa Roslaina Handiyani atau Rossa, 34 tahun.

Ramai membuat tanggapan ‘benda haram’ itu sebenarnya yang menjadi punca kepada kemusnahan rumah tangga mereka sebelum ini. Pasangan popular dari seberang ini berpisah pada 14 Julai 2009. Bagaimanapun kedua-dua pihak lebih suka punca perpisahan mereka dirahsiakan.

Puas dikorek puncanya, kedua-dua belah pihak lebih senang mengambil tindakan ‘tutup mulut’ dan menyatakan rahsia rumah tangga dan perceraian tidak seharusnya dijaja di khalayak umum.

Pun begitu, sebagai bapa kepada anak tunggal, Rizky Langit Ramadhan, Rossa tidak pernah menjadikan perceraian antara dia dan Yoyo sebagai penghalang untuk berbaik-baik. Apatah lagi jelas penyanyi popular itu, bekas suaminya seorang bapa yang baik.


Ditemui pada sesi fotografi khas diatur syarikat rakamannya di Malaysia, Suria Records (SRC), bagi mempromosikan album kompilasi Harmoni Jalinan Nada & Ceria, Rossa memberitahu sempat melawat bekas suaminya itu di penjara untuk memberi semangat agar Yoyo dapat membuang tabiat buruk itu, sekali gus menjalani hidup dengan lebih sihat selepas ini.“Walaupun sudah berpisah, kami masih lagi berkawan rapat apatah lagi Yoyo bapa kepada Rizky. Sewaktu melawatnya sebelum datang ke mari, saya lihat keadaannya sudah bertambah baik. Malah badannya sudah sedikit berisi,” katanya.

Ditanya adakah dadah menjadi punca kepada perceraian mereka berdua, Rossa sekali lagi menegaskan perkara itu adalah peribadi dan tidak seharusnya dikongsi bersama umum.

Waktu sama, penyanyi yang cukup hangat dengan lagu Hati Yang Kau Sakiti dan Hey Ladies ini menjelaskan, walaupun laporan berita menyatakan Yoyo sudah menagih lebih 10 tahun, akui Rossa, sepanjang perkahwinan mereka, perkara itu tidak diketahuinya langsung.

“Dia tidak pernah ambil di hadapan mata saya. Bagaimanapun, dalam tempoh itu saya ada mengesyakinya apabila melihat daripada kesan-kesan yang biasa berlaku kepada seorang penagih.

“Cuma waktu itu saya tidak nampak dan tidak tahu bagaimana dia menggunakannya. Bagaimanapun, sewaktu bersama saya tidak mahu memikirkan perkara yang buruk. Tambahan pula sebagai ketua keluarga, Yoyo juga melaksanakan tugasnya dengan baik.

“Hubungannya dengan Rizki juga bagus, cuma kerana kesibukan kami jarang bertemu. Namun apabila ada masa terluang, dia akan sentiasa menghabiskan masa dengan anak,” katanya.

Kata Rossa, apa yang berlaku ada rahmatnya kerana dalam tempoh diikat jamin, tumpuan Yoyo lebih kepada Rizky. Berbanding sebelum ini, masanya lebih banyak
di luar. Bagaimanapun sekarang Yoyo kembali berada dalam tahanan bagi menanti waktu dibicarakan.

“Penagih ini sebenarnya mereka boleh dianggap mangsa kerana mereka bukan pembuat atau pengedar. Tahanan itu juga bagus untuknya kerana sudah pasti dia akan menjalani pemulihan. Begitu juga dengan hukuman selepas ini.

“Walaupun ditahan, ia lebih kepada rawatan untuk memulihkan Yoyo daripada ketagihan. Saya sebagai teman, mengharapkan yang terbaik dan dia akan sihat dan dapat meninggalkan tabiat tidak baik itu,” katanya.

Mengenai cinta pula, Rossa menafikan berita yang disiarkan di Indonesia mengatakan dia sudahpun memutuskan hubungannya dengan jejaka bernama Raja Sapta. Bagaimanapun, dalam berlapik Rossa berkata, soal pernikahan belum lagi timbul kerana masing-masing masih lagi dalam tempoh mengenali hati budi masing-masing.

“Memang teman-teman yang solo sebelum ini seperti Kris Dayanti sudah pun bernikah, cuma pada saya ia bergantung kepada rezeki. Sudah menjadi rezeki dan sudah sampai masanya untuk Kris bernikah dengan Raul. Saya sendiri gembira dan mendoakan yang terbaik untuknya.

“Cuma pada saya sekarang, kami tidak mahu terburu-buru. Biarlah jodoh dan masa yang menentukannya,” katanya yang turut menghadiri majlis resepsi Kris dan Raul yang berlangsung Jumaat lalu di Jakarta, Indonesia.

Untuk peminatnya, Rossa kini mempertaruhkan album kompilasi Harmoni Jalinan Nada & Ceria yang menghimpunkan lagu-lagu yang pernah didendangkan untuk filem mahupun drama.

Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album ini, Ku Menunggu ciptaan sepenuhnya Mery LC dikatakan pernah didendangkan ratu rock negara, Ella. Rossa mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenainya kerana sewaktu lagu itu dirakamkan tahun lalu dia tidak tahu yang Ku Menunggu pernah dipopularkan Ella
di sini.

“Saya diberikan demo lagu itu untuk dinilai. Selepas mendengarkan melodinya, saya berasa tertarik dan mahu ia diterbitkan dalam album dihasilkan. Apabila album kompilasi ini dihasilkan SRC dan mahu dipasarkan di sini, barulah saya difahamkan bahawa Ku Menunggu sama melodinya dengan lagu dinyanyikan Ella.

“Sungguh saya tidak tahu menahu. Bagaimanapun, saya sudahpun mendengar lagu terbabit. Melodinya sama tetapi liriknya berbeza. Susunan muziknya juga berbeza kerana Ella menyanyikannya dalam irama rock dan lagu dalam album saya dalam bentuk akustik. Soal hak cipta pula saya tidak tahu dan terpulang kepada penciptanya kerana mereka yang lebih tahu,” katanya.

Mengenai persembahan pula, Rossa banyak menerima undangan menyanyi dan akan menjayakan persembahan konsert mini selama dua malam berturut-turut di Tropicana, Damansara.

Katanya, kesibukan dengan persiapan itu membuatkan dia tidak dapat memenuhi undangan mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha setiap April. Kali terakhir Rossa menjayakan persembahan khusus meraikan setiausaha adalah tiga tahun lalu.

“Bukan saya tidak dapat tawaran kerana sepanjang tiga tahun lalu saya sibuk dengan persembahan konsert di Jakarta mahupun di Malaysia. Tahun lalu ada juga tawaran tetapi kerana mahu mengadakan konsert di Malaysia, ia terpaksa ditolak.

“Bagi saya, tumpuan terhadap konsert lebih penting kerana persembahan berlangsung dalam kapasiti yang besar. Tahun ini juga tawaran yang datang terpaksa ditolak kerana harus memberi tumpuan kepada promosi album kompilasi Harmoni Jalinan Nada & Ceria dan pada waktu sama membuat persiapan mini konsert mini yang dijadualkan berlangsung dalam bulan Julai atau Ogos nanti.

“Seperti saya katakan sebelum ini, Malaysia sudah menjadi rumah kedua. Jarak antara Jakarta dan Kuala Lumpur bukan satu masalah. Malah boleh dikatakan dalam sebulan pasti saya akan ke sini bagi menjayakan persembahan. Cuma ada antara persembahan dijayakan berupa majlis ‘private’ (tertutup), jadi ia tidak diuar-uarkan,” katanya.

PROFIL

Nama Penuh: Sri Rossa Roslaina Handiyani
Tarikh Lahir: 9 Oktober 1978
Asal: Sumedang, Jawa Barat, Indonesia
Panggilan: Ocha
Umur: 33
Status: Ibu tunggal
Anak: Rizky Langit Ramadhan
Pendidikan: Sarjana Ilmu Sosial dan Ilmu Politik Universitas Indonesia
Kerjaya: Penyanyi
Album: Untuk Sahabatku, Nada-Nada Cinta, Tegar, Kini, Kembali, Yang Terpilih, Ost. Ayat-Ayat Cinta, Rossa dan Harmoni Terjalin Nada & Ceria
Sinetron: Dua Sisi Mata Uang dan Perisai Kasih
Pencapaian: Juara Suara Pelajar II, TPI, Tingkat Propinsi Jawa Barat (1993), The Best Female MTV Indonesia (2000), Bintang Popular Pilihan Peminat, Cek & Ricek (2000), Penyanyi Wanita Terbaik, Kategori Pop Progresive Anugerah Muzik Indonesia (AMI) Sharp Awards 2002, Artis Eksklusif MTV 2005, Penyanyi Paling Popular Anugerah SCTV 2008, Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara - “Terlalu Cinta” (Anugerah Industri Muzik 15), Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara - “Ayat-Ayat Cinta” (Anugerah Industri Muzik 16).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: