Sunday, April 10, 2011

Rajmah jumpa Donald Trump


RAJMAH sempat bertemu ikon hartanah AS, Donald Trump semasa beliau bertugas di Washington.


MELIHATKAN tubuh fizikalnya yang kecil, tidak siapa menyangka bahawa Datuk Dr. Rajmah Hussain pernah berkhidmat sebagai seorang diplomat selama 32 tahun malah telah menghabiskan 15 tahun terakhir sebelum bersara di luar negara.

Duta wanita pertama yang dilantik Malaysia ke Perancis dan Amerika Syarikat (AS) itu pernah beberapa kali berdepan dengan situasi yang melucukan dek kerana persepsi stereotaip terhadap imej duta.

“Saya bersaiz Asia tipikal. Ramai orang tidak menyangka bahawa saya seorang duta. Selalunya mereka akan beranggapan duta itu seorang lelaki yang berbadan besar, tegap dan sedikit berusia.

“Kerap mereka menyangka saya adalah isteri atau anak kepada duta malah ada yang menyangka saya ialah seorang pegawai pembantu di pejabat kedutaan, jarang mereka fikir saya seorang duta,” cerita Rajmah ketika ditemui Jurnal di majlis Pengkongsian Pengalaman Duta Wanita di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya baru-baru ini.

Karier pertama Rajmah ialah dalam bidang diplomatik pada 1976 dan ia kekal sehingga beliau bersara sebagai duta ke AS pada 2008.

Kumpul kraf tangan

“Pada mulanya saya mahu mengambil jurusan ekonomi kerana orang ramai sering berkata bidang tersebut senang cari kerja.

“Apabila ditawarkan biasiswa, saya perlu mengambil jurusan sains politik, selepas habis belajar serta perlu memenuhi kontrak biasiswa sekali gus menjadikan diri saya terus kekal dengan karier ini,” tambahnya.

Karier diplomat membawa berpindah-randah dari satu negara ke satu negara lain. Kesempatan itu membolehkan Rajmah menikmati pelbagai hasil seni seperti lukisan dan kraf tangan di tempat beliau bertugas.

Lukisan potret wajahnya sahaja dilukis oleh artis di negara-negara yang berbeza seperti dari Hawaii, AS, Brussel, Belgium dan Paris, Perancis.

Beliau juga berpeluang mengumpul kotak-kotak perhiasan dan lain-lain barang kenangan.

“Koleksi kotak hiasan ini sahaja kira-kira 200 buah, manakala bekas kotak yang dikumpul mestilah mempunyai unsur-unsur tradisional sesebuah negara yang saya lawati,” katanya yang turut mempamerkan sebahagian koleksinya dalam acara yang dianjurkan Wisma Putra itu.

Walaupun banyak merantau ke tempat orang, Rajmah masih ada perkara yang tidak dipenuhi dalam kehidupannya.

“Memang semua orang akan ada sesuatu yang masih belum dirasai mereka dengan kehidupan yang kerap berpindah-randah, menyesuaikan diri di tempat baru menuntut pengorbanan banyak masa.

“Arwah ayah saya meninggal dunia ketika saya berada di luar negara, hari sebelumnya dia sempat membuat panggilan telefon menyatakan rindu kepada saya dan mahu saya pulang.

“Tanpa menyangka itu merupakan kata-kata terakhir daripadanya, saya pun mengusiknya dengan berkata 'bapak hantarlah tiket,' saya pulang ke Malaysia selepas mendapat berita itu tetapi tidak sempat berjumpa Allahyarham kerana dia telah dikebumikan,” luah Rajmah.

Tambah beliau lagi, resam diplomat ialah berengang dengan keluarga malah seseorang duta itu perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Luar terlebih dahulu sebelum keluar dari negara tempatnya bertugas walaupun hendak pulang ke kampung.

Gempa bumi

“Perkara tersebut perlu kerana jika berlaku krisis di negara tersebut, duta bertanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia yang berada di negara itu. Sebab itu selepas bersara ini, saya mahu meluangkan banyak masa dengan ibu saya,” katanya lagi.

Sepanjang menjadi seorang diplomat, Rajmah melalui pelbagai perkara yang tidak mungkin rakyat Malaysia lain boleh merasainya.

Antaranya, semasa berkhidmat di tiga tempat di Eropah iaitu Geneva, Vienna dan Paris, kediaman rasminya dipecah masuk.

“Selain itu, semasa perjalanan saya ke Washington pada 1994, penerbangan transit di Los Angeles (LA) dan saya bermalam di sebuah hotel.

“Ketika lebih kurang pukul 4 pagi waktu tempatan saya dikejutkan dengan gempa yang membuatkan saya sangat takut sehingga saya terpaksa tidur di lobi hingga keesokan harinya,” ujar beliau menceritakan pengalaman pertama berdepan bencana gempa bumi.

George W. Bush

Rajmah berkesempatan berjumpa dengan personaliti-personaliti berpengaruh dunia seperti Presiden AS, George W. Bush.

“Saya sempat berjumpa dengannya pada majlis ulang tahun ke-50 Pusat Islam di Washington. Beliau dijemput untuk memberi ucapan dalam majlis tersebut,” ujarnya.

Bekas duta wanita Malaysia pertama ke AS itu turut berpeluang berjumpa dengan taikun hartanah, Donald Trump.

“Saat berjumpa dengannya di Texas amat menggembirakan kerana dia ialah personaliti yang cukup sinonim dengan ayat You Fired dalam program realitinya.

“Ini foto ketika saya bertemu dengan pemandu Formula Satu (F1), Micheal Schumacher ketika bertugas di Eropah,” katanya sambil menunjukkan ke arah sekeping bingkai gambar yang dipamerkan.

Sepanjang berkhidmat sebagai diplomat, prinsip yang dipegang olehnya termasuk diplomat lain adalah diplomasi merupakan pertahanan pertama sesebuah negara, diplomasi tidak boleh gagal. Jika ia gagal, perang boleh berlaku.

“Diplomat juga seorang pejuang negara walaupun tidak mengangkat senjata tetapi seorang diplomat itu perlu bijak dalam berkata-kata,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: