Sunday, April 10, 2011

DNA daripada tiga cebisan tulang




“SAYA bersyukur apabila usaha kami mengenal pasti asid deoksirinueklik (DNA) mangsa pesawat Dakota di Gua Musang, Kelantan tiga tahun lalu berjaya mengenal pasti profil Allahyarham PC Mohammed Abdul Jalil dan dia dikebumikan sebagai wira negara.”

Itu kata-kata ringkas Ketua Pasukan Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr. Zafarina Zainuddin.

Selama dua bulan sepanjang menyiapkan laporan DNA kru pesawat malang Douglas DC-3 Dakota (KN630) milik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) yang terhempas di rimba Mukim Galas pada 25 Ogos 1950, Zafarina bersama dua penyelidiknya menghabiskan malam mereka di dalam bilik makmal.

Beliau terlibat secara langsung dalam misi ekskavasi kru pesawat malang itu dalam misi yang dikenali sebagai Ekspedisi Garis Waktu bermula 2 hingga 12 November 2008 diketuai oleh pihak Muzium Tentera Darat (TD).

Meneliti cebisan demi cebisan tulang dan tengkorak mangsa bukan tugas mudah. Tulang-tulang yang dikeluarkan dari tempat nahas pesawat disimpan di dalam 12 beg plastik. Ia bukan sahaja perlu dijaga rapi, tetapi dihormati kerana ia hakikatnya adalah jasad mangsa.

Bahagian yang paling besar ialah satu tulang paha, yang lainnya ialah cebisan tulang badan, cebisan tengkorak, rahang tulang gigi dan bahagian kecil lain.

Tulang-tulang itu berukuran antara dua sentimeter (sm) hingga 16 sm.

Menurut Zafarina, kesukaran utama yang dihadapi ialah semasa menggerudi cebisan tulang-tulang kecil itu bagi mengambil serbuk tulang untuk mendapatkan sampel DNA.

Katanya, keadaan tulang yang rapuh dan pada masa sama tidak mahu merosakkan struktur tulang-tulang tersebut menyebabkan beliau perlu bekerja secara cermat dan berhati-hati.

“Langkah pertama di makmal ialah mencuci serta membersihkan tulang-tulang ini sebelum dibuat penandaan, diikuti proses mengekstrak DNA.

“Bukan mudah untuk menggerudi cebisan tulang yang lebih 58 tahun tertanam di dalam tanah serta mereput sehingga sengal-sengal jari dan tangan dibuatnya.


CEBISAN tulang Mohammed Abdul Lalil diberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Bukit Treh, Muar Johor.


“Seterusnya, kami melengkapkan data setiap tulang. Semasa proses inilah pasukan kami mengenal pasti tujuh profil lelaki dewasa iaitu sebahagian daripada 12 kru pesawat tersebut dan bersedia untuk diuji DNA,” ujarnya.

Berita penemuan pesawat Dakota berserta nama kru benar-benar mengujakan bekas pesara tentera British, Hamdan Abdul Jalil, ketika itu berusia 69 tahun yang menetap di Bukit Treh, Muar, Johor.

Ujian

Seumur hidupnya, adik kepada Allahyarham PC Mohammed iaitu anggota polis trafik Kota Bharu yang merupakan salah seorang mangsa pesawat itu berharap jenazah abangnya dapat ditemui.

Dengan kerjasama pihak Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hamdan menjadi waris pertama membuat ujian DNA untuk perbandingan dengan sampel data yang diperoleh Pasukan Forensik HUSM.

Nyata, sampel DNA Hamdan sepadan dengan tiga cebisan tulang mangsa pesawat iaitu tulang yang berukuran 2sm, 4sm dan 7sm.

Manakala satu lagi sampel DNA diterima daripada waris seorang lagi mangsa rakyat tempatan, Ya’akob Mamat iaitu seorang kakitangan awam. Malangnya, sampel profil keluarga waris tidak sepadan dengan data-data tulang lain.

Dalam tempoh dua bulan sahaja iaitu pada awal Februari 2009, Pasukan Foresik HUSM berjaya menyiapkan proses pengumpulan data serta melengkapkan ujian DNA ini.

Laporan penuh tersebut kemudian diserahkan kepada Muzium TD.

Sementara itu, Pengarah Muzium TD, Leftenan Kolonel Norhayati Mansor semasa penyerahan cebisan tulang PC Mohammed di Kuala Lumpur Rabu lalu memberitahu, ujian DNA baki sampel sembilan kru lagi akan dijalankan pada April atau Jun ini.

Difahamkan, waris-waris kru tentera British belum memberikan sampel DNA mereka untuk diuji.

Ditanya mengenai perkara ini, jelas Zafarina, perkara tersebut diuruskan oleh pihak tentera British.


WALAUPUN sudah 61 tahun berlalu, sebahagian badan pesawat masih boleh dilihat.


“Semua data kru Dakota masih tersimpan rapi di HUSM Kubang Kerian, dan kami hanya menunggu sampel dari Britain.

“Pada bila-bila masa Pasukan Forensik HUSM bersedia melakukan ujian ini,” ujarnya.

Kegembiraan dan rasa syukur turut dikongsi Penyelidik Kanan Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG), Shaharom Ahmad.

Selaku pihak bertanggungjawab menyalurkan maklumat awal mengenai nahas dan lokasi pesawat malang itu hasil penyelidikan dengan beberapa persatuan veteran perang di Britain, beliau bagaimanapun sedikit terkilan.

Katanya, tempoh terlalu lama untuk mengumumkan hasil ujian DNA menyebabkan waris-waris mangsa termasuk rakyat Britain diselubungi tanda tanya.

Paling ternanti-nanti ujarnya ialah Dennis Carpenter, iaitu individu yang telah mengutuskan sepucuk surat kepada Atase Pertahanan Malaysia di Britain yang menyaksikan misi mencari mangsa Dakota ini dilakukan.

“Tahun lalu, adik mendiang Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter RAF iaitu jurumalim pesawat ini kerap menghubngi MHG menerusi e-mel bertanyakan perkembangan ini (hasil DNA).

“Begitu juga Glenwy Davies, anak kepada jurusemboyan Thomas O’Toole. Beliau antara individu yang paling gembira apabila diberitahu jasad bapanya akan kembali ke Britain.

“Malangnya, hal-hal birokrasi di sini menyebabkan kelewatan tersebut. Malah kami difahamkan ujian sampel DNA waris di sana belum dibuat,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Shaharom, ada juga kalangan waris di sana menghubunginya tidak mahu jasad kru pesawat Dakota yang telah bersemadi di hutan tebal Gua Musang diganggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: