SETENGAH tahun memendam rasa yang berpanjangan, akhirnya memaksa wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama Jan ini untuk bersuara.
Bukan mahu menjatuhkan sesiapa tetapi dia cukup geram apabila sering kali ditipu oleh seorang pereka fesyen popular yang sering kali menaja baju untuk artis-artis popular tanah air.
Kes ini bukan baru, malah sudah berlarutan sejak bulan September tahun lalu. Sudahlah kain dihantar pada pereka fesyen tersebut, wang tambahan pula diminta oleh pereka fesyen itu lagi. Semuanya dituruti apabila mengenangkan sudah ada kerjasama antara mereka sebelum ini.
Paling menjengkelkan Jan sudah tidak tahan terus menerus dipermainkan oleh pereka fesyen tersebut berterusan sedangkan sudah banyak janji manis yang ditabur sebelum ini seakan menjadi racun.
Tidak mahu terus dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebegini, Jan meminta agar pereka fesyen yang pernah mencipta baju-baju artis terkenal seperti Ana Rafali dan Natasha Hudson untuk memulangkan semula duit dan kain yang sudah diserahkan itu.
“Dia ni banyak sangat berdalih. Saya dah tak larat nak dengar ayat-ayat manis dia dan bertekad untuk mengambil tindakan menyuarakan hal ini. Sebab itu saya kena ambil tindakan sebelum ia jadi terlalu lambat.
“Sampai bila saya harus bersabar? Banyak sangat dalih sampai kami anak beranak naik bengang. Yang dijanji tak dituruti tapi bila nak menaja baju artis boleh pula?
“Kalau buka majalah atau akhbar, memang ada terpampang nama dia. Inilah bahana kalau percaya bulat-bulat pada mereka. Akhirnya memakan diri. Kalau dia boleh tipu kami, mungkin juga dah banyak orang lain yang terkena.
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ada orang lain yang jadi macam kami. Cukuplah dia ‘kencing’ kami dan jangan buat hal ini pada orang lain lagi,” kata Jan dalam satu pertemuan dengan Pancaindera baru-baru ini.
Kemelut yang melanda antara mereka bukan semakin kalut sehingga memaksa Jan membuat laporan polis pada 27 Mac yang lalu. Laporan yang dibuat di balai polis Gombak itu dilakukan atas dasar profesionalisme apabila pereka yang berusia 31 tahun yang mesra dipanggil ‘J’ itu berterusan menipu mereka sekeluarga.
“Saya masih ingat pada 9 September yang lalu, J ada meminta duit RM800 pada saya. Sebagai balasan dia akan menjahit dua pasang baju dan tudung secara percuma pada saya.
“Dia cakap dia terdesak dan bila susah saya tolong dia juga. Pada 29 September pula, sekali lagi dia minta RM1,500 atas alasan sesak duit. Bila saya tak layan dia masih terus meminta-minta.
“Bila saya tak bagi jumlah yang dia minta, sampai satu tahap dia minta RM150 sahaja untuk beli manik dan sebagainya. Malas nak cakap banyak saya bagi lagi.
“Kalau setakat sepasan dua baju tu mungkin saya tak berapa nak bising. Tapi sampai 14 pasang baju kami sekeluarga ada padanya. Sebahagian daripada baju tu bukan harga murah tapi ada yang mencecah ribuan ringgit.
“Deposit kami dah bagi, kain dia ambil tapi kenapa sampai sekarang dia masih lagi gagal melunaskan janjinya? Mana baju kami? Nak simpan buat pekasam ke?
“Dia patut berterima kasih sebab saya dah promosi nama dia pada orang lain. Bila dah ramai yang setuju nak hantar baju dia buat macam tu pula. Mana kami nak letak muka kami? Ingat saya tak malu pada orang lain ke?” kata Jan meluahkan perasaan.
Bagi Jan, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menjatuhkan karier pereka fesyen yang pernah memenangi beberapa anugerah terkemuka berkenaan tetapi dia cukup kecewa dengan apa yang telah dilakukan oleh pereka tersebut kepada dirinya sekeluarga.
Jelasnya lagi, dia sebelum ini dia sekeluarga memang menempah pakaian pada pereka bukan bumiputera dan atas niat mahu menolong bumiputera, ini balasan yang diterima. Sambil menyifatkan pereka ini tidak amanah dan kaki temberang, tegas Jan sekali lagi dia mahu haknya semula sebelum tindakan lanjut diambil.
“Janji, janji dan janji. Tapi sampai sudah dia kelentong saya! Mungkin saya baik tak heret dia naik mahkamah. Kalau tidak pasti kerjaya dia akan berkubur. Jangan kata saya yang tabur pasir dalam periuk nasi dia, sebab pada pandangan saya dia yang menabur pasir dalam periuk nasinya sendiri.
“Saya ada bukti. Banyak SMS yang dia kirimkan dengan penuh ayat manis ada dalam simpanan. Kalai ada bila-bila masa sahaja saya boleh dedahkan. Jangan ingat saya baik, dia boleh pijak kepala saya begitu sahaja.
“Untuk itu kami sekeluarga fikir membuat laporan polis adalah sebagai langkah pertama. Kalau lihat pada laporan polis yang saya buat memang ada tertulis Tribunal Tuntutan Pengguna dan Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera.
“Mungkin kedua-dua pihak ini perlu kami rujuk sebelum ambil tindakan susulan. Dia kena ingat, kalau saya saman untuk menuntut hak, saya akan minta lebih!
“Lagipun dia tahu saya sudah membuat laporan polis dan dia juga pernah merayu pada saya untuk menarik balik laporan itu. Saya tak akan berganjak dengan apa yang telah saya buat.
“Kalau tidak mahu menyiapkan baju kami, pulang balik duit dan kain! Ini pun sudah cukup baik saya tidak mendedahkan nama dia,” kata Jan lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: