|
|
DALAM kesamaran simbahan lampu neon, lelaki berusia 60 tahun itu meraba-raba kaki pelanggannya. Perlahan-lahan dan penuh berhati-hati.
Bukan disebabkan cahaya itu tidak mencukupi, kerana bagi lelaki itu, siang atau malam tidak ada bezanya.
Yang pasti sejak lebih beberapa dekad lalu, hanya warna hitam pekat menyelimuti diri. Namun, itu semua bukan halangan untuknya terus mencari rezeki.
Semakin lama urutan lelaki itu semakin laju. Sesekali pelanggan tadi iaitu jurugambar, AHMAD ZAKKI JILAN merentap kakinya sebagai tanda sakit.
"Haaa, tu tanda angin tu. Badan kita ni kena jaga, walau sibuk macam mana pun, ambil waktu bersenam atau berurut untuk melancarkan peredaran darah. Kena ingat, kesihatan lebih penting daripada wang ringgit," kata lelaki istimewa itu sambil meneruskan urutannya.
Begitulah rutin harian Ahmad Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Pak Long di kalangan pelanggan.
Setiap malam (kecuali Isnin), dia bersama beberapa orang pekerja yang terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan akan mengunjungi Pasar Down Town Cheras untuk mencari rezeki. Berbekalkan sebuah tapak yang disediakan Persatuan Pengasih Malaysia, Pak Long dan rakan-rakannya menyediakan khidmat urutan refleksologi.
Bagi lelaki yang berasal dari Baling, Kedah itu, bidang tersebut merupakan kerjaya yang mulia buat insan sepertinya.
"Dalam Islam, tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima," katanya.
Beliau sama sekali tidak bersetuju dengan cara sesetengah mereka yang mencari rezeki dengan cara mudah seperti meminta sedekah.
Menurutnya, insan sepertinya hanya buta mata tetapi tidak hati dan lain-lain pancaindera.
Menyorot kehidupan silamnya, Pak Long berkata, dia dilahirkan sempurna seperti juga insan lain. Namun satu kejadian yang berlaku ketika usianya 30-an terus mengubah kehidupannya secara total.
"Selepas kemalangan disimbah asid itu, saya tidak boleh melihat lagi. Pada mulanya memang agak sedih, semua kerja terpaksa dibantu. Dunia jadi kelam, tapi saya pujuk hati dan yakin dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Bagi beliau, nikmat penglihatan yang diambil Ilahi telah diganti dengan sesuatu yang lain. Bermula dari situ, dia mengikuti kelas urutan refleksologi dan pelbagai kelas lagi yang dianjurkan Persatuan Orang Buta Malaysia.
Menurut Pak Long, sebenarnya ilmu mengurut sememangnya sudah ada dalam dirinya, ditambah lagi dengan ilmu refleksologi membolehkan dia mencari rezeki dengan cara itu. Bukan sahaja tapak kaki, beliau juga berupaya mengurut bahagian badan yang lain andai diminta oleh pelanggannya.
Istimewa
Ditanya apa istimewa refleksologi yang dilakukan OKU sepertinya, Pak Long lantas menjawab, ia terletak pada sentuhan.
"Disebabkan kami tidak nampak, maka daya tumpuan kami lebih pada bahagian sentuhan tangan. Jadi fokus itu lebih mudah," katanya.
Menurut Pak Long, seni refleksologi itu sebenarnya berasal dari Arab, tetapi ia lebih popular di kalangan orang Cina yang sangat yakin dengan manfaat rawatan tersebut.
Beliau sendiri pada awalnya pernah berkerja dengan seorang usahawan Cina sekitar tahun 90-an di Pulau Pinang. Disebabkan yakin untuk berdikari dan membantu rakan-rakan yang senasib dengannya, akhirnya membawa lelaki itu berhijrah ke Kuala Lumpur.
Di ibu negara, dia menjalankan khidmat refleksologi di sebelah malam, manakala pada siangnya rawatan dijalankan di kediamannya yang terletak di Taman Mulia, Cheras.
Bagi Pak Long, sememangnya peluang untuk insan sepertinya berdikari amat luas, namun ia memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak.
Justeru dia menyeru pihak kerajaan dan swasta agar tampil membantu bagi menyediakan kemudahan seperti tempat dan promosi, itu sudah mencukupi.
"Sekurang-kurangnya kami ada tempat untuk mencari rezeki dan tidak ada orang yang mengambil kesempatan mendapatkan wang dengan cara mudah atas keadaan kami yang begini," katanya dengan penuh harapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: