Sunday, April 24, 2011

Kediaman ekspresi lukisan kehidupan


Gaya Arab dan moden bersatu.


DARI luar, tiada apa yang menarik di kawasan perumahan Bayu Lakehomes ini. Sunyi dan jauh daripada kesibukan bandar.

Perjalanan dua jam dari bandar Kuala Lumpur seakan menghilangkan keinginan untuk memiliki kediaman besar di kawasan ini.

Terdetik juga di hati, apa istimewanya kawasan ini?

Sebaik sahaja tiba di kediaman milik Datin Eliza Tajuddin, terasa ketenangan. Pemandangan tasik, bunyi burung dan pokok-pokok hijau ternyata tiada di bandar. Tiada lagi kesesakan lalu lintas atau mendengar bunyi deruan kereta yang mengganggu ketenteraman. Di sini, keindahan alam semula jadi masih kekal.

Bagi Eliza, selepas persaraan suaminya, dia mengambil keputusan untuk mendiami rumah yang telah lama dibelinya yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan ini.

Berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, Eliza mahu mencari kediaman yang boleh dijadikan tempat sanak-saudara berkumpul seperti di sebuah kampung.

Justeru kediaman dua tingkat ini bukan sekadar tempat persinggahan untuk melihat keindahan hiasan, Eliza mahu tetamu yang hadir menggunakan setiap ruang. Misalnya, terdapat kawasan luas di bahagian tepi kediaman untuk anak-anak buah Eliza bermain bola. Di bahagian dapur pula, terdapat potret keluarga yang boleh dijadikan topik utama perbualan. Pendek kata, Eliza bijak mencaturkan fungsi ruang dan susunan hiasan kediaman.

Semula jadi

Kebetulan Eliza yang mempunyai hobi melukis menggemari persekitaran alam semula jadi seperti yang masih kekal di kawasan kediamannya kini.

Di dalam kediaman, Eliza tidak tertumpu kepada satu konsep dekorasi sahaja.

Terdapat pelbagai hiasan yang dibelinya ketika berada di Arab, Bangkok dan Mexico menjadi pilihannya.

Setiap barang perhiasan tersebut mempunyai motif yang cerah dan maksud yang boleh menjelaskan kehidupan dan budaya.

Lukisan

Eliza juga mengaturkan kediaman ibarat sebuah lukisan yang diilham daripada persekitarannya.

Konsep yang pelbagai amat sesuai untuk kediamannya yang mempunyai ruang luas.

Dalam pada itu, apa sahaja yang dilihatnya menerusi tingkap kediaman digambarkan terus melalui sebuah lukisan.

Di ruang tengah, terdapat sebuah bilik khas untuk ruang berbincang khas.

Ilham untuk mereka ruang ini diambil daripada negara Arab yang mencerminkan penyediaan bilik untuk kaum wanita seperti yang ada di sana. Justeru itu, terdapat beberapa buah lukisan di bilik ini yang menceritakan aktiviti harian wanita daripada pelbagai budaya dan negeri.

Mexico

Penggunaan warna merah sebagai elemen utama bilik ini amat menarik.

Perabot yang dipilih juga berbeza daripada ruang lain. Terdapat susunan bantal untuk tetamu duduk di bawah.

Meminati hasil kerja tangan Mexico, Eliza menggunakan lukisan pada marmar untuk hiasan ruang dapur. Bahkan terdapat tembikar pelbagai bentuk yang dibelinya ketika melawat Mexico.

Eliza sentiasa mencipta ruang atau sudut untuk menyusun setiap barang hiasan dan lukisan yang dihasilkannya.

Uniknya, tingkap yang dipilih lebih jelas untuk melihat pemandangan luar rumah. Sedikit hiasan pada tepi dan bingkai tingkap seperti menggambarkan sebuah lukisan.

Menerjah ke ruang dapur, kita akan melihat gabungan hiasan baru dan lama. Suasana kampung menggamit kenangan semasa kecil Eliza. Tidak ketinggalan, pilihan lampu bercorak dari negara Arab menonjolkan keunikan kediaman Eliza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: