Wednesday, April 27, 2011

Penyumberan luar KWSP AS$1b

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan penyumberan luar sebanyak AS$1 bilion (RM3 bilion) kepada lapan pengurus dana untuk mandat pendapatan tetap global dan RM500 juta kepada pengurus dana bagi mandat pendapatan tetap pulangan mutlak domestik tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, KWSP juga akan menjalankan penyumberan luar dana tambahan kepada mandat ekuiti konvensional dan syariah tahun ini.

“Penyumberan luar mandat baru ini adalah dalam memastikan strategi kepelbagaian kami dan juga akan menyumbang kepada pembangunan industri pengurusan dana.

“Kita mahu melihat industri terus berkembang dalam saiz dan kemampuan serta yang diutamakan, mandat diuruskan dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pengurus Portfolio Luar KWSP bagi 2010 semalam.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengurus dana bahawa KWSP akan sentiasa mengkaji semula prestasi mereka dalam memenuhi tanggungjawab fidusiari jangka panjang kepada pencarum KWSP.

Samsudin berkata, pengurus dana dijangka mengamalkan standard tadbir urus yang lebih tinggi dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktivisme pemegang saham memandangkan ini akan membantu memupuk keyakinan yang lebih lagi dalam pasaran kita yang seterusnya meningkatkan nilai pelaburan.

“Atas alasan inilah kita perlu kekal rapat dan berhati-hati terhadap pasaran. Juga penting bagi anda membina hubungan dan perangkaian di pelbagai pasaran yang anda ada pendedahan,” kata beliau dan menambah yang budaya daya saing perlu diamalkan.

KWSP memperoleh RM10.94 bilion daripada pelaburan ekuiti tahun lepas, berbanding dengan RM4.85 bilion, lebih berganda daripada prestasi 2009.

Bagi ekuiti pengurus portfolio ekuiti luar tahun lepas, jumlah pendapatan yang dihantar balik ke KWSP adalah RM2.43 bilion.

Aset pelaburan KWSP sebanyak RM440.52 bilion mewakili kira-kira satu perlima daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia sebanyak RM2 trilion (sehingga akhir 2010).

Samsudin berkata, kepelbagaian di luar negara dalah jawapan bagi memenuhi keperluannya walaupun dengan cabarannya.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2010, pelaburan dana di pasaran seberang laut, yang juga aset bukan ringgit, kira-kira 10 peratus jumlah aset.

“Kami berhasrat untuk meningkatkan secara beransur pendedahan kepada had yang diluluskan kerajaan sebanyak 20 peratus aset pelaburan di pasaran antarabangsa menjelang 2013,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: