Saturday, April 23, 2011

Pendang Lake Resort mendamaikan


DARI jendela bilik, para pengunjung boleh menikmati pemandangan tasik yang indah, bendang padi saujana mata memandang dan tiupan bayu penenang jiwa di Pendang Lake Resort.


MENJEJAKKAN kaki di Pendang Lake Resort (PLR), Kedah pasti membuatkan setiap pengunjung terpesona keindahan dan ketenangan persekitarannya yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Berbeza dengan kebanyakan resort biasa yang mempunyai elemen tipikal, PLR menawarkan kelainan iaitu suasana damai kampung nan permai. Udara nyaman di lokasi tasik seluas 12 hektar dikelilingi sawah padi itu juga mengujakan pengunjung.

Suasana itu menggamit ketenangan jiwa, khususnya bagi pengunjung yang mahu berehat dan lari daripada suasana hiruk-pikuk serta kesibukan kota.

Dari jendela bilik resort itu, para pengunjung boleh menikmati pemandangan tasik yang indah selain suasana bendang padi serta merasai tiupan angin yang menderu di daerah Pendang.

Selain dilengkapi pelbagai kemudahan dan penginapan selesa dengan kadar berpatutan, PLR menjanjikan panorama indah dengan landskap menghijau, tasik yang tenang dan keindahan alam sekitarnya.

Tidak hairanlah, ia menjadi pilihan ramai orang sama ada secara individu, keluarga atau berkumpulan untuk pelbagai aktiviti sama ada menginap sebagai pelancong, berseminar, kursus atau kem motivasi.

Ia bukan saja menjadi lokasi percutian malah rekreasi, aktiviti sukan air, kembara, perkhemahan, hari keluarga, majlis perkahwinan, memancing dan sukan ekstrem.

Tasik tersebut dikenali sebagai Tasik Pendang atau Kolam Mada bagi penduduk tempatan manakala lokasi PLR asalnya adalah bekas kawasan paya dan sawah padi terletak di Mukim Air Puteh.

Penolong Pengurus PLR, Mohd. Shukri Man berkata, pembangunan asal di tempat itu dilakukan Majlis Daerah Pendang (MDP) dan kemudian dipajak syarikat Zulha Sdn. Bhd. pada 2004 dan seterusnya PLR yang dimiliki penuh oleh syarikat bumiputera memulakan operasi pada 1 Januari 2006.

“Kini Pendang Lake Resort menjadi pilihan pengunjung kerana lokasinya strategik, hanya 25 kilometer dari Alor Setar serta cuma 20 minit untuk sampai. Dari Plaza Tol Pendang pula hanya tiga kilometer,” jelasnya kepada S2, baru-baru ini.

PLR menjadi lokasi tarikan khususnya untuk aktiviti berkayak di tasik berkeluasan 12 hektar, panjangnya 300 meter manakala lebarnya 205 meter dan kedalaman lima meter.

PLR boleh menempatkan kira-kira 700 pengunjung pada satu-satu masa dengan menyediakan 51 bilik iaitu standard (24), deluxe (7), superior (14), junior (2) dan suite deluxe (4) manakala 10 ruang tidur besar (dormitori) dalam bentuk bilik dan blok dengan kapasiti 500 orang.

Antara kemudahan yang disediakan adalah dewan terbuka, dewan tertutup dinamakan Diamond, Sapphire, Pearle, Ruby Zamrud dan Anjung.

Orang ramai boleh menggunakan peralatan berkayak, khemah, kanopi dan kemudahan elektronik selain kawasan yang dilengkapi flying fox, trek rempuh halangan, trek joging, trek jalan kaki, surau dan sebagainya.

Dengan suasana menarik, kemudahan selesa, keunikan tersendiri dan harga berpatutan, PLR ternyata mampu meninggalkan kenangan indah dan kepuasan kepada para pengunjungnya.

2 comments:

Tinggalkan Komen Anda Sini: