Saturday, April 2, 2011

Nilai pesona pantai sepi




OMBAK putih menghempas pantai. Barisan pokok-pokok palma menyaring sinaran matahari. Suasana itu nyata memberi kedamaian yang diselang-selikan dengan kehadiran kereta lembu yang melewati jalan-jalan kampung di antaranya.

Selamat datang ke syurga pelancongan di sebuah negara yang sangat terasing daripada arus hubungan antarabangsa - Myanmar!

“Saya pernah berkunjung ke banyak pantai sebelum ini, namun suasana di sini amat menakjubkan,” kata Hugh Minielly, seorang pesara dari Kanada.

Dia dan isterinya Mary leka menyaksikan panorama matahari terbenam berlatarbelakangkan lautan Teluk Bengal yang membiru di pusat peranginan Ngapali.

Di pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer itu, terdapat lebih sedozen hotel yang tersembunyi di sebalik barisan pokok-pokok kelapa, termasuk beberapa buah vila mewah mengadap pantai yang kadar penginapannya ratusan dolar semalam.

Walaupun mempunyai tarikan pantai yang luar biasa, kesuraman landskap politik di Myanmar menyebabkan ia seakan terpinggir dalam kalangan peminat-peminat aktiviti pantai. Lazimnya, mereka lebih selesa memilih pantai-pantai lain yang lebih terkenal di serata Asia sebagai destinasi percutian.

Kunjungan Hugh dan Mary ke negara miskin itu, yang merupakan antara negara paling mundur di dunia akibat pemerintahan tentera selama lebih 50 tahun, hanya kerana mereka mendapat khabar mengenai keramahan penduduknya, keenakan makanan laut dan tidak sesak dengan pelancong.

“Saya mencari sebuah pantai mirip di Goa dan ia boleh ditemui di sini. Tanpa kehadiran pelancong-pelancong yang membawa beg galas, suasananya sangat asli,” kata lelaki berusia 69 tahun itu.

Pesona pantai

Pencarian pesona pantai seperti itu diterjemahkan melalui filem The Beach lakonan Leonardo DiCaprio. Aktor itu membawa watak seorang pelancong muda yang menemui sekumpulan komuniti misteri di sebuah teluk terpencil, yang kemudiannya berpecah-belah akibat keganasan dan sifat paranoid.

Tempat-tempat terpencil namun berpotensi seperti itu kini semakin sukar ditemui. Begitupun, jiran Myanmar, Thailand membuktikannya. Menurut Pacific Asia Travel Association (PATA) yang berpangkalan di Bangkok, kira-kira 16 juta pelancong melawat Thailand pada 2010 berbanding hanya 300,000 di Myanmar.

Teluk Maya di Pulau Phi-Phi, yang menjadi lokasi penggambaran filem berkenaan pada tahun 1999, kini menjadi ‘Pulau Impian DiCaprio’. Setiap hari ia dikunjungi berdozen-dozen bot dan feri yang membawa ratusan pelancong yang mahu mengikut jejak langkah aktor itu.

“Nama Thailand sangat kukuh dalam industri ini, terutamanya jika kamu melawat ke Phuket, Krabi atau Koh Samui. Pantai-pantainya sentiasa dipenuhi pengunjung,” kata wakil PATA, Kris Lim, merujuk kepada resort-resort popular di Thailand.

Senario yang sama boleh ditemui di kebanyakan pantai di rantau Asia yang akhirnya menjadi mangsa akibat popularitinya sendiri.


PARA pelancong menikmati jamuan makan malam yang tenang di kawasan terbuka dekat pantai.


Selama bertahun-tahun, kewujudan pantai yang paling mesra pelancong di India hanya boleh ditemui di pinggir wilayah Goa. Di sana, pengunjung gila meneguk bir dingin dan menikmati makanan laut segar dan suasana santai di sekelilingnya.

‘Ia merupakan satu-satunya lokasi bagi mereka yang tahu nikmat berehat tanpa sebarang gangguan, jauh menandingi lokasi-lokasi lain di dunia’. Begitulah kata-kata yang dipetik dari laman web rasmi pelancongan Goa.

Bagaimanapun, di sebalik pengkomersialannya, tuduhan-tuduhan terhadap pembabitan polis dalam melindungi perniagaan dadah yang dikuasai kumpulan-kumpulan Rusia dan kes berprofil tinggi hingga menyebabkan keganasan terhadap rakyat asing telah mencalar imejnya.

Pada tahun 2009, ia telah tersingkir daripada senarai 10 destinasi pelancongan popular di India. Kebanyakan pelancong memilih menuju ke bahagian selatan Kerala yang menawarkan rumah bot mewah dan pengalaman berlayar mengelilingi kawasan sawah padi yang mendamaikan.

Jauh di timur Filipina iaitu di kepulauan yang terletak di tengah-tengah Boracay, pernah terdapat kawasan pantai yang sebelum ini menjadi tarikan utama kepada pelancong. Bagaimanapun kumpulan-kumpulan pencinta alam dan pihak berwajib memberitahu keindahan pasirnya yang memutih satu ketika dahulu kini semakin tercemar.

“Ia sentiasa sesak, hari ini ia terlalu dikormesialkan. Ia telah menjadi seperti Phuket,” kata setiausaha pelancongan Alberto Lim tahun lalu. Beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan agar para pelancong melawat ke pulau-pulau yang kurang membangun.

Tidak merosakkan aset

Pelancong-pelancong lazimnya menaiki kapal terbang kecil dan bot untuk tiba di resort-resort mewah sekali gus memastikan ia terus eksklusif. Penduduk tempatan dan pelabur juga sentiasa berwaspada untuk tidak merosakkan aset utama di pulau itu, yakni keindahan semula jadinya.

“Perancangan teliti amat penting bagi memastikan pantai dan apa sahaja di sekeliling resort-resort di sini sentiasa dilindungi,” kata wakil PATA, Lim.

“Kami mahu 20 tahun dari sekarang, keadaan pulau-pulau di sini masih sama seperti sebelumnya.”


BEBERAPA orang pelancong leka bermandi-manda di pantai Ngapali sewaktu matahari terbenam.


Di Ngapali, penduduk tempatan dan pelancong asing bersemangat untuk mempertahankan ciri-ciri asal pedalamannya, namun Myanmar kini pantas berkembang dan jumlah pelancong juga semakin meningkat. Pada tahun lalu sahaja jumlah pelancong meningkat sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2009.

Ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi yang ditahan dan dibebaskan dalam tahanan dalam rumah selepas terlibat dalam satu pilihan raya yang kontroversi, masih menentang kehadiran pelancong-pelancong ke negara itu. Baginya perkembangan itu tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kewangan negara.

Bagaimanapun, partinya, ‘tidak sesekali melarang pelancong yang datang secara individu’ bagi melakukan kajian berkenaan situasi politik yang berlaku di negara bergolak itu.

Ada yang berkata, terdapat kebimbangan sekiranya Myanmar mengamalkan dasar buka pintu kepada pengembara. Ia pastinya bersangkut-paut dengan proses ketibaan visa.

Majalah Wandelust yang berpangkalan di United Kingdom telah menakrifkan Myanmar sebagai ‘destinasi yang paling menonjol' pada tahun 2011.

Pengurus resort mewah San Doway dari Itali, Antonio Dappozzo memberi amaran bahawa sangat sukar untuknya mengekalkan suasana damai di Ngapali.

“Satu-satunya bunyi yang kedengaran di tepi tingkap resort saya sejak setahun lalu hanyalah bunyi kereta lembu. Kini hanya selepas setahun, terdapat bunyi-bunyi bising dari kenderaan, dan jentera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: