Tuesday, April 12, 2011

NATO sangsi gencatan senjata di Libya


SEORANG askar pemberontak menjerit kepada rakannya untuk memberi amaran tentang serangan artileri tentera Gaddafi di sebuah gurun dekat bandar Ajdabiyah semalam.


BRUSSELS - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menyatakan bahawa ia maklum tentang cadangan gencatan senjata di Libya oleh Kesatuan Afrika (AU) tetapi masih belum menerima permintaan rasmi mengenainya dan akan terus menyerang tentera Muammar Gaddafi selagi mereka mengancam keselamatan penduduk negara Afrika Utara itu.

Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma terdahulu menggesa NATO supaya menghentikan serangan udara bagi memberikan peluang kepada gencatan senjata selepas Gaddafi menerima usul pelan damai AU untuk menamatkan konflik di Libya, termasuk gencatan senjata serta-merta.

Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata, beliau sedia maklum tentang usul gencatan senjata AU tersebut tetapi memberitahu, satu sidang media di sini: "Kami belum menerima permintaan rasmi berhubung pelaksanaan sebarang gencatan senjata."

Rasmussen berkata, rejim Gaddafi pernah mengumumkan beberapa gencatan senjata sebelum ini, tetapi mereka tidak menunaikan janji tersebut.

Menurutnya, sebarang gencatan senjata memerlukan mekanisme pemantauan yang efektif.

"Gaddafi perlu menamatkan keganasan sepenuhnya serta menghentikan semua serangan dan pencabulan terhadap orang awam," katanya.

Sementara itu, pakatan tersebut menyatakan ia melancarkan 154 serangan di Libya sejak kelmarin dengan memusnahkan sebanyak 49 buah kereta kebal, sembilan kereta perisai dan empat gudang simpanan peluru.

Jelasnya, sebahagian besar serangan dilancarkan berhampiran bandar Misrata dan Ajdabiyah.

"Saya amat bimbang dengan keadaan penduduk Misrata dan Ajdabiyah yang menjadi mangsa keganasan rejim Gaddafi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: