Tuesday, April 12, 2011

Menteri arah siasat skandal seks tentera


MENTERI Pertahanan Stephen Smith mengarahkan skandal seks Akademi Pasukan Tentera Pertahanan Australia disiasat.


SYDNEY - Seorang pegawai pemerintah sebuah akademi tentera elit di Australia diarah bercuti semalam, manakala cara layanan terhadap kakitangan wanita di akademi berkenaan akan disemak semula selepas skandal seks melibatkan seorang kadet wanita terbongkar.

Menteri Pertahanan Australia, Stephen Smith mengumumkan beberapa inkuiri akan dilakukan berhubung kes seorang pelatih lelaki merakam dirinya berasmara dengan pelatih perempuan Akademi Pasukan Tentera Pertahanan Australia dan menyiarkan klip video seks itu kepada rakan-rakannya.

Menurut Smith, pegawai pemerintah tersebut, Bruce Kafer diminta bercuti untuk satu tempoh yang belum ditetapkan sehingga siasatan kes selesai. Smith sebelum ini mengkritik cara Kafer melayani aduan pelatih perempuan terbabit.

Menteri berkenaan turut mengarahkan pesuruhjaya diskriminasi seks agensi hak asasi manusia Australia, Elizabeth Broderick menyemak semula layanan terhadap wanita di akademi yang terletak di Canberra itu.

"Ini adalah langkah penting ke arah penilaian semula terhadap budaya dan perubahan berterusan bagi program Pertahanan," katanya.

Siasatan dibuat berikutan pendedahan klip video di akademi itu disiarkan menerusi panggilan video kepada enam rakan pelatih lelaki terbabit tanpa pengetahuan mangsa.

Menceritakan kejadian itu kepada media, mangsa menyatakan dia berasa terseksa selepas mengetahui aksi seksnya ditonton oleh orang lain.

Pendedahan itu membawa kepada banyak aduan baru berhubung salah laku seks dalam komuniti tentera tersebut yang berlaku sejak beberapa dekad lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: