Sunday, April 17, 2011

Monoloque, The Beatles dan U2


Monoloque akan terus memperjuangkan muzik berencah 1 Malaysia dengan lantang agar dunia tahu Malaysia juga punya karya yang bagus.


PELUANG berada di negara orang bukan selalu datang kepada artis Malaysia. Justeru, apabila ditawar untuk menjejakkan kaki ke United Kingdom (UK) sekitar Februari lalu, kumpulan yang selesa bernaung di bawah nama Monoloque ini tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju.

Seolah-olah membuka lembaran baru buat Monoloque, pengalaman selama 15 hari berada di UK dimanfaat dengan sebaik mungkin oleh Loque, Kadax, Loko, Ijoo dan Adam.

Ringan mulut untuk berkongsi cerita, kata Loque mewakili rakan-rakannya, pemergian Monoloque ke UK adalah menerusi jemputan sebuah agensi yang dikenali dengan nama Kugiran Negara Ke UK (Knuke).

Sepanjang tempoh berada di UK, kata Loque, mereka cukup teruja kerana berpeluang mengadakan persembahan gigs di empat lokasi komersial di UK.

Empat lokasi tersebut adalah di Nottingham, Dublin (Ireland), London dan Warwick.

“Kami telah dibawa ke empat lokasi tersebut dan berdasarkan pemerhatian kami, selain rakyat Malaysia yang bermastautin di sana termasuk pelajar, orang tempatan di sana pun ramai yang datang memberi sokongan.

“Mereka datang menyaksikan persembahan kami biarpun kebanyakan lagu yang kami bawa adalah dalam bahasa Melayu yang tentunya asing buat mereka.

“Tetapi kami bangga sebab melalui muzik jurang bahasa itu dihapuskan dan yang penting mereka layan lagu-lagu kami tanpa prejudis,” katanya.

Sambil menyifatkan semua lokasi yang dijelajah cukup menyeronokkan, kata Loque, pengalaman di Dublin, Ireland bagaimanapun cukup melekat di hati mereka sehingga kini.

“Di Dublin, Knuke telah bekerjasama dengan agensi Orang Kita yang dinaungi oleh orang-orang Malaysia di sana. Layanan yang diberikan memang istimewa.

“Kami juga rasa orang-orang Dublin paling responsif. Rata-ratanya cukup ramah, mungkin disebabkan sudah biasa dengan masyarakat Malaysia yang banyak bermastautin di sana.

“Malah, selepas persembahan berakhir, ramai yang datang pada kami dan memuji muzik yang kami bawakan. Ini sesuatu yang membanggakan!” katanya.

Menurut Loque, sepanjang 1 jam mengadakan persembahan di empat lokasi tersebut, Monoloque telah menghiburkan semua pengunjung menerusi seleksi enam buah lagu daripada album Hikayat Halimunan Abad Ke-21.

Lagu-lagu yang dipersembahkan ialah Chinta, Tiada Kata Secantik Bahasa, Jika Aku Seorang Robot, Kekanda Adinda, Penghormatan Terakhir dan Kupu-Kupu Malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: