Tuesday, April 12, 2011

Lif Kediaman Gaya Hidup Masa Kini

KEDIAMAN dengan kemudahan lif sebagai pengganti tangga bakal menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia, tidak hanya mampu dinikmati empunya banglo mewah semata-mata.

Terima kasih kepada teknologi dan kepintaran manusia masa kini, terciptanya lif-lif pintar telah membuka peluang buat pemilik-pemilik kediaman bukan bersaiz mega memiliki lif peribadi demi keselesaan hidup bersama keluarga tercinta.

“Di Malaysia banglo dilengkapi dengan lif adalah biasa, tapi belum pernah kita dengar tentang kawasan perumahan yang setiap unit rumahnya tersedia dengan lif,” kata Pengarah Antah Schindler Sdn Bhd, Michael Kok dalam satu temuramah eksklusif bersama Mingguan mStar.

Model rekaan unit banglo tiga tingkat dengan kemudahan lif bakal dibina di kawasan perumahan Duta Kinrara.

Tahun ini syarikat pembekal lif dan ‘escalator’ ini telah menempa sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya dapat memperkenalkan lif-lif pintar menerusi projek perumahan Duta Kinrara yang terletak di Puchong, Selangor.

Selaku syarikat pembekal lif untuk projek perumahan yang melibatkan 24 buah rumah berkembar dan lima buah banglo tiga tingkat ini, Michael berkata projek pemasangan lif di kediaman yang tersebut bakal mencetuskan fenomena baru dalam bidang hartanah negara.

Terdahulu syarikat ini telah mempamerkan kepakarannya dalam bidang ini dengan pemasangan dan penyelenggaraan lif dan ‘escalator’ di beberapa bangunan terkenal termasuklah di pusat beli-belah Pavillion, hotel-hotel terkemuka, kilang-kilang dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Antara kawasan perumahan terawal yang dibekalkan dengan kemudahan lif di dalam rumah ialah di Beverly Heights, Hulu Klang, Kuala Lumpur.

Memandangkan perumahan berlif ini merupakan fenomena baru di Malaysia, Mingguan mStar mendapatkan informasi tentang kemudahan lif kediaman yang dianggap baru di negara ini, persepsi tentang kos pemasangan dan penyelenggaraan serta kelebihannya.

> Lif di rumah menjadi TREND di negara-negara seperti Taiwan, Hong Kong, Singapura, malah di Eropah.

> Ada PERMINTAAN. Projek ini diyakini akan menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan ikutan.

> HARGA lif sangat subjektif untuk diperkatakan. Ia bergantung kepada rekaan, material dan fungsi.

> Bagaimanapun untuk projek ini dianggarkan harga sebuah lif bermula dari RM100,000 dan ke atas.

> MODEL lif yang digunakan ialah Schindler 3300 AP, ilham pereka dari ITALI.

> Pemilik BEBAS memilih rekaan dan warna lif. Terdapat lif dengan gaya sofistikated, warna segar dan bersuasana moden.

> Tidak seperti lif konvensional, lif yang diperkenalkan bersaiz KOMPAK, lebih ringan dan tidak makan ruang. Bilik mesin tidak diperlukan.

> Lebih kurang 40 peratus tenaga dapat dijimatkan melalui penggunaan lif ini berbanding lif biasa. Lif yang berada pada mod ‘sedia’ tidak dikira sebagai penggunaan tenaga.

> Lif ini SENYAP dan tidak bergegar ketika beroperasi menjadikan kediaman sentiasa tenang dan selesa.

> Lif ini adalah SELAMAT. Pintu lif hanya akan ditutup jika tiada sebarang objek dikesan.

> Dalam masa TIGA minggu lif yang dipasang akan dapat beroperasi sepenuhnya.

> Sistem penyelenggaraan adalah BERKOMPUTER dan servis beroperasi 24 jam sehari.

> TANGGA masih dikekalkan di kediaman walaupun lif telah dipasang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: