Tuesday, April 12, 2011

Afieq Tekad Pamer Yang Terbaik Di SIC

PENAMPILAN Mohammad Afiq Ikhwan dalam pasukan Meritus-GP sebagai pelumba utama bagi mengharungi musim 2011 diharapkan mampu mengembalikan kembali trofi kejuaraan pasukan negara selepas aksi tahun lalu sekadar berada di tempat kedua keseluruhan.

Afiq yang meraih catatan masa terpantas pada sesi ujian pemanduan sebelum ini mengakui sangat teruja untuk mengembalikan semula kejuaraan yang pernah dijulang dengan rekod tujuh gelaran juara sebelum ini biar pun jauh di sudut hatinya cabaran kali ini lebih sengit berbanding sebelum ini.

Pun begitu Afiq bertuah kerana turut dibantu dua lagi pelumba pasukan yang dijangka mampu menaikkan nama Meritus-GP iaitu, Akash Neil Nandy, 14, yang merupakan pelumba termuda menerima lesen lumba dalam perlumbaan JK Racing Asia Series (JKRAS), manakala seorang lagi adalah pelumba kelahiran India, Raj Bharath.

Mohammad Afiq Ikhwan

Menurut Afiq, perlumbaan pertama musim ini sebagai pasukan sokongan pada Grand Prix Petronas Malaysia (F1 Malaysia) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuatkan dirinya berkobar-kobar untuk menampilkan aksi terbaik musim 2011.

“Saya teruja untuk memulakan perlumbaan tahun ini dan yakin dengan persedian yang telah dibuat sejak November tahun lalu, pastinya pasukan saya akan cuba lakukan yang terbaik. Kami juga telah menguji beberapa tayar baru dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.

“Perlumbaan di SIC ini penting kerana ia merupakan perlumbaan pertama tahun ini dan ia akan memberi lebih semangat sekiranya kami mampu mendapat keputusan yang baik. Selain itu, ia juga membolehkan pasukan saya menguji setiap aspek bagi memastikan keadaan menjadi lebih baik pada perlumbaan seterusnya,” katanya kepada Mingguan mStar.

Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini berkata, tahun ini pasukannya bakal menghadapi 18 perlumbaan keseluruhan daripada enam acara tahunan dan perlumbaan kedua akan beraksi pada Asian Festival Of Speed (AFOS) di China. Pun begitu tumpuan utamanya adalah perlumbaan JKRAS yang sebelum ini dikenali sebagai Formula BMW Pasifik.

“Sudah tentu tumpuan saya adalah untuk mengutip lebih banyak mata untuk kategori pemandu dan juga pasukan. Namun, saya sedar tugas ini bukanlah mudah kerana saingan daripada pasukan lain juga agak sengit, lebih-lebih lagi dari pasukan Petronas Mofaz dan Eurosia Motosports.

“Bagaimanapun saya tidak terlalu risau kerana yakin dengan tayar serta jentera yang disediakan. Ia mampu menggegarkan litar perlumbaan nanti. Tahun lalu saya mengalami kemalangan sekali gus meletakkan saya di kedudukan kelapan keseluruhan. Tetapi tahun ini saya akan cuba satu persatu dan membaiki kekurangan dalam setiap perlumbaan,” katanya yang merupakan pelumba go-kart sebelum beraksi dalam kategori ini.

Sementara itu, Afiq,19, berkata, sebagai seorang pelumba pastinya sasarannya musim ini adalah untuk berada dalam kedudukan terbaik pada setiap perlumbaan, sekali gus akan cuba mengutip mata bagi untuk membuatkan pihak pengurusannya, pihak penaja utama, Petronas serta kaum kerluarga berbangga dengan pencapaiannya.

“Dengan kerjasama pasukan, saya ingin mengembalikan trofi kejuaraan ke pangkuan pasukan. Inilah peluang saya untuk membuktikan kemampuan setelah sekian lama mengimpikan untuk menjadi pemandu kereta formula di hadapan penonton sendiri.

“Saya yakin dengan semangat berpasukan, kami akan menjulang kejayaan, malah saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya kerana terus memberi sokongan padu sejak saya melibatkan diri dalam sukan pemotoran ini,” katanya.

Selain itu, pasukan Meritus GP juga telah membuat kejutan apabila menampilan pelumba India pertama, Raj Bharat yang menyertai perlumbaan JKRAS, malah menjadi pelumba pertama yang bakal beraksi di litar baru, Litar Antarabangsa Jaypee, New Delhi sebagai pasukan sokongan pada GP India bermula 28-30 Oktober ini.

“Saya sangat gembira menyertai pasukan Meritus. Pasukan ini sangat terkenal di India dan mentor saya adalah Akbar Ebrahim. Selain itu menjadi pelumba pertama berada di Litar Jaypee adalah satu penghormatan buat saya dan berjanji akan mencuba yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: