Tuesday, April 12, 2011

Lawatan Mahabbah ke Kewaja


SHAIKH Ismail Muhamad (berbaju Melayu) menyampaikan cenderamata kepada Yahya Mohamed Yusof semasa melawat rumah Kewaja di Gombak, Selangor baru-baru ini.


MASJID sinonim sebagai tempat umat Islam beribadat dan mendapat ketenangan. Bagaimanapun, bukan semua umat Islam 'mampu' ke masjid.

Hanya mereka yang mendapat hidayah dan petunjuk Allah SWT sahaja yang biasanya mengimarahkan rumah-rumah Allah di muka bumi ini.

Justeru, sebagai mempelbagaikan usaha dakwah pegawai dan kakitangan Masjid Negara menganjurkan Lawatan Mahabbah dan Penyampaian Sumbangan di Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja) yang terletak di Gombak, Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu.

Ini adalah merupakan salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ia merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di rumah-rumah kebajikan terpilih di sekitar Lembah Klang.

Ia diketuai Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan disertai 20 pegawai dan kakitangan.

Ketibaan mereka disambut oleh Pengetua Kewaja, Yahya Mohamed Yusof.

Sempena program itu turut disampaikan Sumbangan berupa kelengkapan bayi, peralatan bersalin, buku-buku agama, makanan kesihatan dan lampin pakai buang selain hamper dan wang tunai diserahkan kepada kira-kira 75 penghuni.

Semua penghuni terdiri daripada wanita atau remaja perempuan yang berumur antara 12 sehingga 25 tahun.

Objektif utama program itu untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kakitangan Masjid Negara dengan petugas dan penghuni di rumah tersebut.

Di samping itu ia dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat. Ia juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada penghuni di situ, sekali gus merasai diri mereka dihargai dan diingati menerusi program sebegini.

Ia juga dapat mendidik dan mendekatkan lagi kakitangan Masjid Negara dengan masyarakat luar, yang mana ia berperanan dan dianggap sebagai memenuhi tanggungjawab sosial.

Di harap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk terus mengimarahkan masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam, selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia, khasnya dan di dunia, amnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: