Tuesday, April 12, 2011

Bau badan jejaskan personaliti


Mohd. Mursyiddin menjelaskan mengenai kepentingan menjaga kebersihan badan bagi menghindarkan bau.


APABILA bercakap soal cantik, semua wanita mahu kepada kecantikan. Situasi yang sama berlaku pada lelaki.

Bagi yang sudah berumahtangga pula sudah pasti kecantikan yang dipamerkan adalah untuk menambat hati suami dan isteri masing-masing.

Tetapi tahukah anda, bau badan merupakan satu masalah besar dan menimbulkan ketidakselesaan kepada orang sekeliling?

Bagi yang mempunyai masalah bau badan, mereka dinasihati agar menitikberatkan soal kebersihan diri kerana ada laporan menyatakan terdapat suami isteri bercerai-berai kerana tidak tahan dengan bau badan pasangan.

Menurut Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Mursyiddin Abdul Manaf, 30, lelaki sering memandang remeh soal kebersihan termasuk penampilan diri. Tetapi itulah perkara yang harus diberi keutamaan.

''Penjagaan kebersihan diri yang sempurna akan memberi kesihatan yang baik kepada tubuh anda.

''Untuk itu, penjagaannya perlulah bermula dari dalam bilik air hinggalah selepas selesai mandi seperti pemilihan sabun mandi yang bersesuaian dengan kulit, pencuci muka dan tidak ketinggalan deodoran untuk menghilangkan bau badan.

''Ini semua perlu kerana trend berubah dari semasa ke semasa dan hari ini lelaki juga perlu bergaya untuk menaikkan keyakinan diri,'' ujarnya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, bagi mereka yang aktif dan menggemari aktiviti lasak, sememangnya akan dihimpit dengan masalah peluh yang menyebabkan badan berbau. Antara penyebab utama kepada masalah ini kerana kita tinggal di negara yang bercuaca panas dan lembap, mengakibatkan kita mudah berpeluh sebaik sahaja keluar rumah.

Kerana itu jugalah faktor kebersihan diri perlu dititikberatkan agar kita boleh menikmati rasa kesegaran sepanjang masa.

Cara paling mudah ialah menggunakan deodoran dan anti perspiran. Deodoran yang mengandungi bahan antiseptik dapat menghalang bakteria manakala anti perspiran pula mengandungi bahan yang dapat mengurangkan peluh.

Katanya lagi, di pasaran hari ini terdapat pelbagai jenama deodoran khusus untuk lelaki.

Bersandarkan teknologi responsif kepada badan, deodoran hari ini dapat menghalang bau badan dalam jangka waktu yang panjang di samping memastikan bawah lengan (ketiak) sentiasa kering dan terlindung daripada bau.

Mohd. Mursyiddin yang juga merupakan konsultan kecantikan untuk pelbagai badan korporat dan swasta menjelaskan bahawa perubahan jangka panjang akan diperoleh dengan tahap kebersihan yang baik.

''Penggunaan deodaran yang sesuai dan betul mampu menghalang kuman dan menyelesaikan masalah bau badan walaupun anda sibuk seharian dan seringkali berpeluh.

''Dalam hal ini secara tidak langsung ia mengekalkan kebersihan serta kesihatan kulit di samping membantu masyarakat dalam menjamin kesihatan yang baik,'' katanya.

1 comment:

  1. Deodoran dan seumpamanya hanya melindung bukan menghapus bau badan. Cara menghapus ada di sini. Dijamin belum tujuh hari selesai.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: