Friday, April 22, 2011

Lari kereta sewa

ABU...kesal kereta dilarikan.
ABU...kesal kereta dilarikan.

BANDAR BARU BANGI: Seorang lelaki berputih mata apabila kereta Perodua Myvi miliknya yang disewakan kepada seorang individu dibawa lari dan gagal dikesan sehingga kini dan lebih malang apabila individu terbabit menggunakan salinan kad pengenalan dan lesen memandu palsu.

Menceritakan semula kejadian, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, 46, berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang dikenali sebagai Ana yang mahu menyewa keretanya RM120 sehari.


“Wanita itu mendakwa tinggal di Sungai Long, Cheras dan mengaku bekas pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam.

“Pada hari dijanjikan, wanita itu tidak datang mengambil kereta pada 6 April lalu, sebaliknya memberitahu seorang lelaki yang dikenali sebagai Hairul akan datang mengambilnya,” katanya.


“Pada hari kejadian, Hairul datang ke rumah untuk mengambil kereta dan saya memintanya mengemukakan salinan kad pengenalan dan lesen memandu sebagai bukti dan dokumentasi perjanjian penyewaan.


“Lelaki terbabit ‘berlakon’ hingga saya langsung tak mengesyaki apa-apa yang pelik kerana dia mengemukakan semua dokumen seperti diminta.

“Selepas selesai urusan menandatangani dokumen berkaitan, saya menyerahkan kereta kepada Hairul dan mengikut perjanjian dia akan memulangkan semula kereta dua hari kemudian (8 April),” katanya.


Abu berkata, keretanya bukan sahaja tidak dipulangkan, malah lelaki terbabit menghilangkan diri dan telefon tidak berjawab.“Saya rasa mungkin dia berada di luar kawasan liputan telefon dan usaha menghubungi lelaki terbabit diteruskan sehingga 10 April lalu, tetapi menemui jalan buntu apabila panggilan bukan sahaja tidak dijawab, tetapi lelaki terbabit mematikan telefon bimbitnya.


“Saya menghubungi Ana, tetapi dia juga mematikan telefon bimbitnya,” katanya.


Abu berkata, menyedari dirinya ditipu dan kereta miliknya lesap, dia membuat laporan polis.


“Berdasarkan semakan pada nombor kad pengenalan dan lesen memandu lelaki terbabit, nama yang tertera pada kad pengenalan sama, tetapi alamat berbeza.


“Salinan kad pengenalan beralamat di Shah Alam, Selangor sedangkan alamat sebenar di Chini, Pahang. Gambar pada kad pengenalan dan lesen berbeza dengan wajah lelaki terbabit,” katanya.


Khuatir keretanya disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab, Abu memohon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyenaraihitamkan kenderaannya. Abu berkata dia kini lebih berhati-hati dan berharap sesiapa yang mahu memberi individu yang tidak dikenali untuk meminjam supaya memastikan dokumen yang dikemukakan tulen untuk mengelak kejadian yang tak diingini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: