Friday, April 22, 2011

Gaya ringkas, kerja ‘kelas’

SUKA BERKEBUN...Salmah turut bersama mengutip hasil kebun resort.
SUKA BERKEBUN...Salmah turut bersama mengutip hasil kebun resort.
Salmah Baharudin
Salmah Baharudin

PENAMPILANNYA cukup ringkas, kemeja-T, seluar denim dan kasut sukan tanpa secalit warna di muka, sesuai dengan tugasnya sebagai pengurus resort yang tidak lekat di pejabat. Jika tidak kenal, tidak sangka wanita yang tampak lasak ini memegang jawatan penting di Agro Resort Semuji, Kuantan sejak empat tahun lalu.

Namun, pada pertemuan istimewa dengannya baru-baru ini, Salmah Baharudin, 39, tampil menarik. Seluar denim dipadankan dengan kemeja korporat lengan panjang biru muda dan solekan tipis yang menyerlahkan kecantikannya.

“Sebenarnya saya lebih selesa bergaya ringkas sesuai dengan tugas sebagai pengurus yang tidak lekat di pejabat. Saya lebih banyak turun padang melihat anak buah bekerja sama ada di restoran, zoo mini, kolam ternakan ikan atau di kebun sayur,” katanya.

Bertemu dengan wanita yang masih solo ini, cerita peribadinya terungkai satu persatu termasuk membatalkan impiannya menjadi pemastautin tetap di Kanada yang pernah dianggapnya sebagai kampung halamannya.


“Bukan rezeki saya di sana, tetapi berkat kesabaran menghadapi dugaan di sini, saya mendapat pulangan berganda di tanah air sendiri apabila terpilih memegang jawatan yang saya sandang hari ini.“Terima kasih kepada majikan, LKPP Corporation Sdn Bhd yang memberi sinar baru kepada saya di sini. Saya jual semua harta di sana (rumah dan kereta) sebelum kembali ke tanah air tujuh tahun lalu. Saya tidak menyesal kerana percaya ini yang terbaik untuk diri saya,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, Temerloh.

Salmah boleh dilabel sebagai wanita gila kerja kerana dalam fikirannya dipenuhi dengan istilah kerja dan ligat mencari idea baru untuk meningkatkan prestasi resort supaya ia dikenali di seluruh negara.

“Saya mahu resort ini dikenali sebagai lokasi terbaik untuk bercuti, beriadah, berkhemah, berseminar dan bermesyuarat. Malah ia ada satu keistimewaan kerana pengunjung boleh menikmati durian sepuas hati di dalam resort apabila tiba musimnya.

“Bagi tujuan itu, saya tidak boleh mengurung diri dalam pejabat dan mengambil peluang untuk bertemu pengunjung resort khususnya yang ada acara tertentu di sini atau turut serta dalam aktiviti yang diadakan.

“Situasi begini dapat me�ngeratkan hubungan saya dan peserta program dengan harapan mereka bercerita kepada kawan-kawan atau saudara-mara mengenai keistimewaan di sini,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Northwood, Michigan itu.

Sebagai pengurus resort wanita bukan sedikit cabaran yang perlu ditempuhinya apatah lagi resort berkenaan kerap menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat, institusi pengajian tinggi, sekolah, syarikat korporat, sektor kerajaan dan swasta untuk menjalankan aktiviti.

“Setiap minggu pelbagai program terutama seminar, kem motivasi, mesyuarat atau aktiviti perkhemahan pelajar diadakan dan saya perlu memastikan semua aspek penginapan, makanan, kemudahan dewan dan aktiviti padang selamat digunakan,” katanya yang juga memegang Diploma Analisis Pelaburan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Agro Resort Semuji seluas 64 hektar itu semakin dikenali apabila Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibina berhampirannya.

Ia menawarkan empat unit chalet banglo, 22 unit chalet berkembar dan empat blok asrama dengan kadar bayaran berpatutan termasuk pakej istimewa untuk pelajar, tapak perkhemahan dan kanopi serta kawasan aktiviti kem bina semangat dan rentas halangan.

Tarikan utamanya adalah lebih 100 pokok durian daripada baka terbaik menanti pengunjung setiap kali tiba musim buah berkenaan bermula Jun hingga Ogos setiap tahun.

“Saya sukakan suasana alam semula jadi di sini yang tenang dan damai, membolehkan saya menjana idea kreatif untuk memperkenalkan resort ini. Malah, di sini kami tidak menyediakan set karaoke kerana tidak mahu lari daripada konsep desa supaya pengunjung boleh menikmati alunan merdu suara unggas malam.

“Bukan mudah bekerja di sini kerana terlalu banyak perkara perlu dilakukan bermula tugasan di pejabat sehinggalah ‘menje�nguk’ ruang dapur, mengotorkan tangan di kebun sayur serta membelai ternakan.

“Mungkin ada wanita yang tidak sanggup melakukannya, tetapi bagi saya ini adalah pengalaman yang sangat berharga. Jika perlu, saya membawa beberapa kakitangan untuk melihat apa yang harus diperbaiki segera,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang juga anak jati Kampung Baru Chenor, Temerloh ini.

Salmah tidak lupa menasihat�kan anak buahnya supaya tidak jemu meningkatkan prestasi kerja dengan menjadikan pengalaman semalam sebagai panduan untuk menempuh hari akan datang.

“Ini aspek yang sangat penting dalam industri perkhidmatan kerana setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah pelanggan.

“Jadi kita perlu sentiasa mempersiapkan minda untuk menangani setiap keadaan dalam keadaan tenang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: