AURA fesyen gila Lady Gaga menyerikan kemuncak STYLO Fashion Grand Prix Kuala Lumpur 2011 menerusi himpunan musim luruh/sejuk salah seorang pereka selebriti terkenal itu, Ara Jo.
Berasal dari Korea Selatan, Ara Jo yang dikenali dengan rekaan adi busana luar biasa dikatakan menjadi pilihan Gaga apabila bijak menggabungkan inovasi busana anggun eksentrik dengan bahan perincian dan fabrik ringan terkini agar menjamin keselesaan si pemakainya walaupun ketika berfesyen!
Baru-baru ini, beliau yang dipacu minat terhadap muzik berkongsi keunikan itu dengan para tetamu Majlis Gala Anugerah Fesyen Mercedes-Benz STYLO di ibu negara dengan mempersembahkan 10 pasang adi busana anggun (avant-garde) daripada koleksi berkenaan yang digelar The Empress.
Ara Jo menghangatkan pentas peragaan dengan rekaan futuristik, kontemporari dan luar biasa mengikut acuan tersendiri. Koleksi The Empress memang cocok untuk ‘kerabat fesyen’ (fashion royalty) hasil gabungan unsur mewah dan siluet bebas.
Terdahulu, para pereka fesyen terkemuka negara seperti Bill Keith, Melvin Lam, Zang Toi, Tangoo, Melinda Looi, Khoon Hooi, Edric Ong, Jendela KL dan Jovian Mandagie turut membawakan interpretasi burlesque masing-masing selari tema malam gala tersebut - A Moulin Rouge Affar.
Sebelum itu, tirai majlis dibuka dengan persembahan tas gengam (clutch) eksklusif paling mewah di dunia rekaan Mouawad bertatahkan 4,517 biji berlian dan kerangka buatan tangan daripada emas 18 karat bernilai AS$3.8 Juta (RM11.5 Juta).
Majlis dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Roland Folger juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Stylo International, Datuk Nancy Yeoh selain pemandu keselamatan Formula Satu, Bernd Maylander.
Penerima anugerah terdiri daripada pereka Jendela KL, Faisol Abdullah diiktiraf gelaran Designer of The Year, pereka Indonesia yang semakin terkenal di Malaysia, Jovian Mandagie dianugerahkan Best Showcase sementara mahaguru model tempatan, Cilla Foong dianugerahkan trofi Supermodel Mentor of The Year selain model Carla Soong (Model Of The Year).
Pada masa sama, Lorenzo Peh berjaya merangkul gelaran Emerging Designer of The Year menerusi rekaan busana kitar semula Headlines dan diberi peluang menghadiri London Fashion Week di United Kingdom (UK).
Naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh penuntut PJ College of Arts and Design iaitu Gerald Chia dan Mohd Nizam Ahmad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: