Sunday, April 24, 2011

Keceriaan di Pasir Gudang




TIDAK ada apa lagi yang dapat menahan perasaan teruja orang-orang Pasir Gudang dan sekitar kawasan Johor melainkan rasa teruja menantikan kunjungan Konsert Pancaindera di tempat mereka kurang seminggu lagi.

Ramai yang sudah ternanti-nantikan kehadiran penyanyi popular tanah air yang akan beraksi memeriahkan konsert yang julung-julung kalinya diadakan di situ.

Konsert Pancaindera diadakan sempena Fiesta Keusahawanan Muda Siswazah dan Sambutan Hari Pekerja 2011 yang akan menemui masyarakat di Johor bermula 29 April hingga 2 Mei depan.

Penginapan artis mendapat kerjasama daripada jenama perhotel yang cukup terkenal, Hotel Selesa.

Konsert Pancaindera pada malam 30 April pula dibarisi artis yang cukup popular bakal menggegarkan pengunjung yang hadir ke Pasir Gudang yang cukup setia menyokong Mingguan Malaysia sejak dahulu.

Program yang bertempat di Padang Bukit Layang-Layang dianjurkan oleh Universiti Tun Hussain Onn Malaysia (UTHM) bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM). Dijangka lebih 100,000 pengunjung bakal menyertai acara yang diadakan secara tahunan ini.

Antara artis yang telah mengesahkan tempat untuk beraksi pada malam tersebut termasuklah Alyah, Farawahida, Razali Hussain, Nubhan, Fazli Zainal dan ramai lagi. Roslan Shah yang bertindak selaku pengacara bersama Azza pada malam kemuncak itu sudah merencanakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung yang hadir nanti.

Pelbagai acara yang telah diatur termasuklah futsal dan karum, program sihat cergas senamrobik, pertandingan mewarna dan aktiviti kanak-kanak bersama A&W serta Konsert Pancaindera pada malam minggu tersebut.

Ini termasuklah sesi bermain futsal artis bersama masyarakat dan pelajar kolej yang sudah pasti memberikan saingan yang sengit.

Nubhan yang pertama kali menyertai Konsert Pancaindera cukup terharu kerana masih lagi diberi peluang untuk bertemu peminat di bahagian Selatan tanah air tersebut.

“Ini merupakan medium terbaik buat saya bersama-sama dengan peminat. Saya hadir bukan sebagai penghibur semata-mata tetapi dalam masa yang sama mahu berterima kasih kepada peminat secara keseluruhannya.

“Paling tidakpun saya boleh menjadikan konsert sebegini sebagai medium terbaik mempromosikan album yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

“Jadi saya mahu menyeru kepada semua peminat yang ada di Selatan tanah air untuk sama-sama turun padang bagi memeriahkan konsert ini nanti. Selain pelbagai aktiviti menarik yang disediakan, peminat juga boleh beramah mesra bersama artis kesayangan anda yang lain,” jelas penyanyi yang cukup popular dengan lagu Juwita ini.

Biarpun lebih banyak tawaran berlakon yang diterima oleh Azza Elite lewat kebelakangan ini, dia cukup teruja apabila masih lagi berpeluang bersama Konsert Pancaindera yang cukup sinonim dengan dirinya.

“Memang banyak kenangan manis Azza bersama Konsert Pancaindera ini. Biarpun sudah biasa bersama Azza tetap mahu memberikan yang terbaik buat kesekian kalinya.

“Bila berada di tempat baru, sudah pasti suasananya sedikit berbeza,” kata Azza.

Bagi Roslan Shah pula, pelbagai kejutan yang akan dibuat oleh dia selaku pengacara konsert apatah lagi peminat sudah tahu aksi gila-gila yang sering dilakukan setiap kali membuat persembahan.

“Banyak kelainan yang akan kita tampilkan kali ini. Kalau anda mahu rasakan, jangan lupa hadir nanti,” jelasnya.

Pada mereka yang masih mahu menyertai gerai jualan dan aktiviti boleh menghubungi talian 012-5929880 (Nor) untuk sebarang pertanyaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: