Sunday, April 24, 2011

Fadhlan gila K Pop


Fadhlan


WAJAH penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Fadhlan Izham pernah menghiasi beberapa iklan televisyen. Antaranya iklan satu jenama minuman ringan terkenal yang masih ditayangkan di televisyen.

Dia juga pernah memperaga fesyen remaja dalam beberapa majalah tempatan. Sebagai model, penglibatannya boleh dianggap berjaya. Namun tujuan utamanya terjun dalam bidang seni untuk menjadi pelakon masih belum terlaksana.

“Saya minat sangat nak berlakon, tapi saya tak tahu bagaimana cara untuk memulakannya. Saya harap pendedahan dalam dunia iklan akan membuka langkah saya dalam bidang lakonan.

“Sebelum ini saya pernah berjinak-jinak melalui dunia lakonan dengan peluang sebagai pelakon tambahan. Namun kelibat saya belum lagi terserlah,” kata Fadhlan kepada Pancaindera.

Dia berharap dapat mengembangkan lagi bakat dalam bidang lakonan selepas ini. Pengalaman beraksi di depan kamera melalui penglibatan sebagai pelakon iklan menambahkan cintanya kepada dunia seni.

“Saya masih muda dan ada banyak lagi masa untuk saya mencuba nasib,” katanya yang bakal menginjak usia 20 tahun, esok.

Walaupun pelakon iklan tidak dipopularkan kerana subjek utama ialah menonjolkan produk, namun sudah ada yang perasan dengan wajahnya. Ramai yang menegur bila berjumpa.

“Ada sekali itu semasa saya sedang makan dengan kawan-kawan, saya rasa diri saya jadi perhatian. Saya ingatkan ada sesuatu yang tak kena pada diri saya.

“Bila seorang mak cik tegur dan bertanya sama ada sayakah orang dalam satu iklan minuman, barulah tahu mereka memerhatikan saya kerana perasankan wajah saya.

“Semasa saya balik kampung ibu di Ipoh, Perak pun ada saudara yang tanya pasal perkara sama kerana mereka lihat penampilan saya di luar sedikit berbeza.

“Pada masa itu saya warnakan rambut dengan warna keputih-putihan,” imbau Fadhlan.

Fadhlan seorang yang sangat mengutamakan fesyen dan gaya. Dia juga antara remaja yang tertarik dengan gaya Korean Pop (K Pop) yang sedang memukau anak muda Malaysia hari ini.

Dia lebih cenderung muncul dengan gaya rambut yang lain daripada orang lain. Kebetulan dia ada kenalan yang memiliki salon rambut. Fadhlan sentiasa menggunakan khidmat dandanan kenalannya itu.

Malah semasa sesi fotografi diadakan baru-baru ini, Fadhlan datang dengan siap dandanan rambut mengembang ala-ala topi keledar. Tugas tambahan untuk sesi fotografi hanyalah menatarias wajahnya.

“Saya akui budaya K Pop yang kini digemari oleh remaja hari ini kerana kelainannya. Remaja mudah menerimanya kerana tidak mahu kekal dengan gaya lama dan mahu membuat perubahan.

“Tapi saya lihat ada yang tak kena juga dengan orang kita ni. Orang kita suka melebihkan gaya sehingga jadi terlampau atau tak kena gaya. Contohnya, pandangan mata kita pasti janggal apabila nampak seseorang bergaya bagai nak rak ke pasar malam.

“Kalau nak bergaya lebih-lebih, kena sesuaikanlah tempat dan suasananya,” kata peminat kumpulan Super Junior ini lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: