![]() |
| Bandar raya munich masih sarat dengan seni bina klasik yang mengkagumkan. |
TATKALA pertama kali menjejakkan kaki bumi Jerman, takjub melihat kebersihan bandarnya. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, cuaca sejuk masih lagi terasa.
Sepanjang perjalanan menaiki bas dari terminal dua ke terminal satu, dapat dilihat keadaan jalan raya yang aman tanpa kesesakan. Keadaannya jauh berbeza dengan jalan raya di Malaysia.
Lawatan selama sembilan hari di Jerman bermula di Frankfurt. Diikuti ke bandar kecil Esslingen dan seterusnya ke Munich. Dari Munich beberapa bandar berhampiran dituju seperti Warngau, Ellwangen dan Wurzburg. Selepas tiga malam di Munich, perjalanan diteruskan ke Slazgitter yang terletak di sebelah utara dan berhampiran dengan bandar Hanover.
Di Terminal Satu Lapangan Terbang Frankfurt, kami menggunakan perkhidmatan keretapi untuk ke Stesen Keretapi Utama Frankfurt atau Frankfurt Haupbahnhof (Frankfurt Hbf). Sebaik tiba di Frankfurt Hbf, selagi lagi penulis rasa teruja dan kagum. Rangkaian jalinan keretapi yang menghubungkan antara negeri ke negeri, antara bandar ke bandar antara kampung ke kampung digunakan sepenuhnya oleh penduduk tempatan Jerman mahupun oleh pelancong-pelancong asing.
Terkesima melihat lautan manusia yang begitu sibuk mengejar keretapi. Menyeret beg roda, dengan anak-anak kecil tanpa menunjukkan ketegangan di wajah mereka. Ada yang sabar menunggu sambil melihat jadual perjalanan keretapi. Ada juga yang enak menikmati kopi panas dan sandwich buat mengalas perut.
Kumpulan kami yang kurang berpengalaman menggunakan perkhidmatan keretapi di bumi Nazi ini, sentiasa merujuk kepada kaunter dan papan kenyataan yang akhirnya membawa kami semua ke destinasi dengan tepat dan pantas. Untuk menjimatkan masa dan perjalanan, kami menggunakan satu tiket untuk semua hari perjalanan bagi semua perkhidmatan keretapi.
Rasa kagum berlarutan ke dalam kereta api. Biar pun beratus penumpang namun kebersihan dalam setiap gerabak terjaga walaupun makan dan minum dibenarkan. Begitu juga dengan tandas di dalam gerabak - bersih dan tiada bau ‘semerbak’ yang boleh mengganggu perjalanan.
perjalanan
Keesokan harinya perjalanan diteruskan menaiki keretapi menuju ke bandar Stuttggart. Kali ini, kami perlu bertukar keretapi untuk ke Esslingen, sebuah pekan kecil yang sungguh indah. Awal-awal lagi jadual perjalanan keretapi disemak bagi melancarkan perjalanan kami. .
Pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila kami terpaksa bergegas dari satu platform ke satu platform untuk mengejar kereta api yang seterusnya. Jika terlepas bermakna terpaksa menunggu keretapi yang berikutnya ataupun mencari keretapi lain sebagai alternatif. Pernah kami semua membayangkan sekiranya di Malaysia, adakah kita sanggup begini? Jawapannya mungkin ya, sekiranya jalinan rangkaian keretapi antara negeri ke negeri, bandar ke bandar, kampung ke kampung turut dibina.
Pemandangan sepanjang perjalanan menyaksikan betapa negara ini amat bersih. Walaupun Jerman sebuah negara yang berteknologi tinggi, tetapi aspek alam sekitar tetap terpelihara dengan baik. Sungai-sungai yang merentasi kawasan bandar dan luar bandar dijaga dengan baik malah tidak kelihatan sampah sarap mengotori sungai-sungai tersebut.
Memandangkan banyak program diatur di sekitar Munich, kami memilih menginap di Munich Inn selama empat hari tiga malam dengan kadar antara 45 euro dan 65 euro satu malam.
Untuk mengisi perut kami memilih restoran makanan Arab yang didominasi oleh masyarakat Turki, Lebanon dan Pakistan.
Hari-hari makan kebab! Itulah ayat popular sepanjang di Jerman. Adana Kebab, Doner Kebab, Laimacun antara beberapa menu yang menjadi pilihan. Telah menjadi kemestian sebagai orang Melayu, nasi menjadi satu kemestian. Mujur dalam menu kebab nasi turut disediakan. Harga bagi satu hidangan menu adalah antara 4.00 euro ke 10.00 euro sahaja.
Dek kerana sudah kebosanan menikmati kebab, kami nyaris termakan mee segera berperisa haiwan terlarang gara-gara keghairahan melihat deretan bungkusan mee segera di sebuah pasar raya. Walaupun diamati kandungannya, tetapi kurang faham maksud sebenarnya. Mujur ada rakan yang bertanyakan kepada jurujual untuk mendapatkan kepastian.
Kesibukan mesyuarat dan lawatan ke beberapa industri di Jerman tidak menyekat kami daripada membeli belah. Sekadar cenderahati kenang-kenangan untuk dibawa pulang kepada rakan-rakan dan keluarga. Rantai kunci, minyak wangi, coklat dan pelekat peti sejuk menjadi pilihan kerana harganya boleh didapati sekitar 2.99 euro hingga 4.99 euro sahaja.
berjenama
Percaya atau tidak jika dilihat secara kasar, kebanyakan barang pengguna di Jerman adalah murah. Sebungkus coklat dijual dalam harga 1.50 hingga 2.00 euro. Biskut dan roti antara 0.50 hingga 2.50 euro. Pakaian juga boleh dibeli dengan harga yang murah dan mampu dimiliki. Penulis berkesempatan membeli sepasang kasut but berharga 10.00 euro!
Pastinya golongan wanita boleh jadi ‘gila’ seketika apabila melihat beg tangan kulit berjenama yang dijual pada harga bawah 100 euro. Belum lagi melihat beberapa butik pakaian berjenama yang rata-ratanya menawarkan potongan harga. Cuma jika dikira mengikut mata wang Malaysia, nilainya agak tinggi kerana 1.00 euro bersamaan dengan RM4.20 mengikut kadar mata wang semasa.
Sebelum pulang ke tanah air, penulis dan rakan-rakan berkesempatan bersiar-siar di Frankfurt Zeil atau juga dikenali sebagai Fifth Avenue Jerman. Di kawasan terdapat deretan kedai dan butik yang menjual pelbagai barangan berjenama. Kemeriahan kawasan itu semakin terasa apabila menjelang malam kerana pelbagai aksi pengunjung dapat di lihat di sini.
Apa yang meninggalkan kesan di hati penulis sepanjang berada di Jerman ialah disiplin di kalangan rakyat Jerman. Mereka patuh kepada arahan papan tanda. Makan dan minum dibenarkan di dalam keretapi tetapi tiada sisa makanan dan sampah sarap bersepah di dalamnya. Ketepatan waktu aliran pengangkutan awam yang tepat. Bukan sahaja pengangkutan keretapi tetapi juga bas.
Penulis menanam harapan untuk berkunjung lagi ke Jerman cuma bukan sewaktu musim sejuk bagi menikmati keindahan negara itu yang sebenar.
Apa pun, kunjungan ke Jerman meninggalkan kenangan manis dan penulis mengimpikan agar pada suatu hari nanti mungkin pada 2020 Malaysia mampu memiliki apa yang dimiliki oleh Jerman pada masa kini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: