![]() |
| BOT mewah untuk disewa pelancong yang ingin bermalam di lautan. |
Mempertaruhkan destinasi percutian menarik bercirikan alam semula jadi dan lautan, Ha Long Bay telah diiktiraf sebanyak dua kali oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1994 dan 2000 berdasarkan kecantikan asli geologi dan nilai-nilai geomorfologinya.
Selepas mendarat di Lapangan Terbang Noi Bai, ditemani Ketua Unit Jabatan Outbound Poto Travel & Tours, Ab. Rahim Mohd. Ali dan Eksekutif Pelancongan Poto Travels & Tours bahagian Singapura, Aashikin Abd. Mukti, perjalanan ke Ha Long Bay mengambil masa lebih kurang tiga jam menaiki van menyusuri lebuh raya dengan pemandangan di kiri kanan jalan dihiasi sawah padi menghijau sejauh 165 kilometer.
Sesampainya di Ha Long Bay, kami disambut berpuluh-puluh bot pelancong untuk disewa bagi perjalanan sama ada menyusuri pulau-pulau mahupun ke tempat-tempat menarik di situ.
Pelancong boleh memilih sama ada untuk berada di atas kapal selama tiga hari dua malam, dua hari satu malam atau sekurang-kurangnya berada empat jam di dalam kapal yang ditempah dengan pelbagai harga dan saiz untuk menyusuri sepanjang pantai dan pulau-pulaunya.
Harga yang paling murah ialah sekitar AS$20 seorang untuk lawatan ke pulau-pulau serta disediakan makan tengah hari di dalam kapal sama ada secara bufet mahupun barbeku.
Bukan itu sahaja, bot-bot untuk perjalanan ini tersedia dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, ruang makan, dek kapal yang cantik dan kelengkapan keselamatan.
Sekiranya pelancong memilih untuk bermalam, mereka boleh memilih bot pelancong yang menyediakan bilik-bilik mewah untuk tidur dengan selesa. Di dalam bot ini juga disediakan restoran mewah, dewan makan, kafetaria, ruang untuk majlis makan malam secara bufet dan kelengkapan untuk menyelam dan memancing.
Menurut pemandu pelancong kami yang disediakan oleh agen pelancongan di sana, Indochina Legent Travel Hanoi, yang bernama Tan, Ha Long meliputi keseluruhan 1,553 kilometer persegi luasnya dengan pulau berjumlah 1,969 dengan pulau yang terbesar berkeluasan 200 meter persegi dan lima meter persegi bagi pulau yang paling kecil.
''Di sini semua pulau diberi nama oleh individu yang menemui pulau-pulau itu. Ada yang dinamakan pulau anjing bersempena bentuk haiwan itu, pulau sunyi, pulau ayam jantan dan sebagainya mengikut imaginasi masing-masing," jelasnya.
Memang benar kata Tan, sepanjang perjalanan bot itu, kami dihidangkan dengan panorama menarik, kebiruan air laut, kehijauan pulau-pulau, suasana nyaman udara dan angin yang bersih, kicauan burung camar, deburan air laut ketika dilambung ombak yang menjanjikan ketenangan yang sememangnya didambakan oleh setiap pelancong ke sana.
Di kiri-kanan sepanjang laluan bot, pelancong akan dihidangkan dengan pemandangan landskap kas yang terbentuk lebih 500 juta tahun dahulu menerusi proses pergerakan, pelanggaran dan kemerosotan marin dan batu-batan serta batu kapur.
"Biarpun banyak pulau namun hanya 10 pulau yang wajib dijejaki oleh pelancong. Pulau-pulau ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan para pelancong akan dibawa turun ke pulau-pulau itu untuk menikmati keajaiban yang ada di setiap pulau berkenaan.
''Hanya 100 pulau didiami penduduk yang menjalani kehidupan sebagai nelayan dan tinggal di perkampungan yang dipanggil kampung terapung. Mereka menangkap ikan, tinggal di atas rumah sampan dan mereka berjual-beli pun menggunakan sampan,'' kata Tan.
Tutur Tan, setiap kali bot-bot pelancong ini melalui perkampungan ini mereka akan singgah untuk membeli ikan-ikan yang dipelihara atau ditangkap oleh nelayan-nelayan ini dan kemudian di masak di atas bot.
Singgahan kami yang pertama ialah pulau yang menempatkan Gua Thien Cung dan Dau Go. Untuk ke sana perlu memanjat tangga batu setinggi 5,000 meter dari aras laut pulau ini ditemui oleh seorang nelayan pada tahun 1993.
Di dalam gua ini terdapat ukiran-ukiran cantik hasil formasi daripada batu-batu tempatan dan dinding-dinding gua disinari lampu-lampu untuk menjadikan gua itu sesuatu yang menarik dengan pelbagai polar ukiran batu padanya.
Jika menerusi imaginasi seseorang semuanya akan tampak banyak ukiran pelbagai sama ada ia berbentuk haiwan, puteri, obor-obor dan sebagainya.
Antara gua-gua lain yang juga popular termasuk Thien Cung Grotto, Dau Go, Sung Sot, Me Cung Grotto, Bo Nau dan Trong.
Bukan itu sahaja sepanjang pantainya, Ha Long Bay mempunyai kawasan untuk 435 jenis tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui termasuk 13 spesies haiwan, 22 jenis pulau, 76 spesies burung, 28 jenis pokok bakau, 315 jenis ikan, karangan laut, plankton, rumput laut dan rumpai laut.
Sekiranya pelancong memilih untuk bermalam, bot-bot mereka akan berhenti untuk tempoh yang tertentu di sesebuah pulau dan mereka kemudiannya akan menikmati panorama yang ada di samping melakukan aktiviti memancing, berenang di dalam air laut yang jernih, snorkeling dan melihat keindahan karangan laut dan kawanan ikan sebelum bot bertolak balik ke jeti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: