Thursday, April 21, 2011

Jejak tuhan melalui tatu


INDIA kini cuba meningkatkan kualiti perkhidmatan mencacah tatu di negara itu untuk membolehkan ia menjadi salah satu tarikan pelancong.


LELAKI botak yang mengenakan baju T tanpa lengan, berseluar pendek, bersepatu serta memakai anting-anting emas dan dahinya dililit dengan kain berwarna merah nampak tenang di Konvensyen Tatu India yang diadakan baru-baru ini.

Konvensyen yang berlangsung di Mumbai itu adalah julung-julung kali diadakan setelah lebih seabad ditinggalkan. Bertitik-tolak daripada itu, Girish Giridhara selaku penganjur berharap seni tatu itu dapat meraih perhatian dan menimbulkan minat dalam kalangan generasi muda kini.

Lengan Girish sendiri dipenuhi dengan tatu yang bersimbolkan tuhan, semangat dewa dewi termasuk dengan tulisan mantra-mantra suci. Bentuk tatu kerohanian itu bukan mudah untuk dicorakkan, kata Girish kepada AFP.

"Seni tatu di India bukanlah satu trend semasa dalam kalangan selebriti atau pun jaguh-jaguh kriket di negara ini," kata lelaki itu sambil menambah proses mencacah corak atau gambar yang dilukis pada kulit badan telah lama dipisahkan daripada tradisi suku kaum di India.

Beliau menambah, masyarakat moden kini dilihat cenderung melukis corak tatu dengan menggunakan henna atau inai yang bersifat sementara. Upacara itu di India dinamakan mehndi.

Girish yang juga merupakan seorang sami memberitahu, seni tatu telah didokumentasikan dalam kitab suci Veda seperti yang termaktub dalam epik Hindu, The Mahabarahata. Dewa Krishna ujarnya, pernah mencacah tatu kepada pasangannya.

"Ia (seni tatu) telah lama berkembang, tiba-tiba menghilang atas sebab-sebab tertentu dan kini muncul kembali," kata Girish yang menguruskan Studio Tatu Brahma di Bangalore.

Sebuah rancangan TV realiti yang berpangkalan di Los Angeles iaitu LA Ink, sesungguhnya telah mempopularkan kembali seni tatu.

Rancangan itu antara lain memaparkan kisah artis dan pelanggan-pelanggan mereka yang bertatu. Kata Girish, pendekatan stesen TV itu telah sedikit sebanyak membantu mengubah pemikiran masyarakat moden tentang tatu di India.

"Kira-kira lima tahun lalu, orang ramai tak mahu membuat tatu. Dulu mereka memikirkan perbuatan itu hanya dilakukan oleh golongan kelas rendah.

"Bagaimanapun kini, minda masyarakat semakin terbuka dan ini merupakan satu petunjuk yang baik," katanya lagi.

Seiring dengan zaman, reka bentuk dan corak tatu turut mengalami revolusi. Seni tatu negara Barat termasuk Jepun yang sebelum ini popular telah mempengaruhi rekaan tatu di India yang terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan, agama, artistik dan identiti.

Cara dan gaya Girish mencacah tatu juga tidak dilakukan secara konvensional. Dia berasal dari sebuah keluarga pendeta dan belajar di kuil sejak berumur lapan tahun hingga 15 tahun.

Lelaki itu mula jatuh cinta pada seni lukis corak atau gambar pada tubuh badan ketika berusia lapan tahun. Ketika itu, dia menghadiri upacara ritual untuk memberitahu para lelaki terhadap tanggungjawab mereka setelah menjadi lelaki dewasa.

"Pada mulanya, ada banyak halangan daripada keluarga untuk saya menjadi seorang pencacah tatu.


RANCANGAN LA Ink dikatakan telah membantu mempopularkan kembali seni tatu di India.


"Tetapi kami bertanya kepada individu bijak pandai dan mereka memberitahu bahawa kerja-kerja mencacah tatu boleh dijadikan sebagai satu pekerjaan seorang pendeta atau sami sekiranya ia melibatkan bimbingan rohani dan menggunakan ubat.

"Jadi, saya teruskan hasrat saya itu," beritahu Girish.

Meskipun dia tidak mengamalkan konsep memakai pakaian sami yang berwarna kuning, Girish masih mempraktikkan unsur ketuhanan pada seni tatu yang dilakukannya.

Tatu, katanya, haruslah dilakukan melalui keikhlasan jiwa. Tatu juga mempunyai perkaitan dengan alam kematian dan mempunyai hubungan rapat dengan kepercayaan kelahiran semula dalam kalangan penganut Hindu.

Keselamatan mencacah tatu

Sebagai pencacah tatu, Girish menyasarkan untuk mencacah tatu ke atas 10,000 orang. Dia juga berhasrat untuk melukis suku kata suci Hindu iaitu om pada tubuh badan mereka. Om adalah mantra yang paling unggul bagi penganut agama itu.

"Ramai orang tidak mampu menjadi pencacah tatu yang profesional. Itu sebab saya melakukannya. Kini saya sudah ada kira-kira 1,000 pelanggan," katanya.

Dalam melakukan kerja-kerja itu, Girish mengambil kesempatan untuk memberitahu orang ramai tentang bahaya mendapatkan khidmat pencacah tatu yang murah. Biasanya orang sebegini menggunakan material yang tidak bersih. Lebih teruk, mereka tidak terlatih.

"Ia sangat berbahaya, mereka boleh menularkan penyakit kulit, HIV dan hepatitis. Proses untuk membuatnya memerlukan pengetahuan," pesan lelaki ini.

Konvensyen yang diadakan itu juga antara lain mahu meningkatkan kesedaran tentang cara mendapatkan khidmat pencacah tatu yang selamat.

Selain itu, penganjur juga mahu menyebarkan maklumat kepada dunia tentang kehebatan India yang mempunyai profil seniman negara yang paling berbakat.

Pengelola bersama konvensyen itu, Shibhanii Shah, 25, memberitahu , terdapat lebih kurang 10,000 pencacah tatu di India.

Namun, kata beliau yang juga seorang jurufoto : "Sayangnya, kami tidak mempunyai peraturan jelas tentang kebersihan melakukan proses itu dan ia cukup mengecewakan.

"India perlu ada semua itu, kita mahu menjadi medan dan lokasi terbaik untuk pelancong datang untuk membuat tatu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: