
JIKA anda sebahagian daripada 21 juta pemilik kenderaan berdaftar di Malaysia, secara tidak langsung anda merupakan penyumbang terbesar pendapatan tol negara. Mengikut satu statistik pada tahun 2008, syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Expressways Berhad) sahaja menerima pendapatan berjumlah RM2.2 bilion.
Namun, adakah anda sedar dalam kemewahan yang dipaparkan dari segi angka pendapatan dan jumlah pengguna lebuh raya, pengendalian sistem pengangkutan itu melibatkan pelbagai aspek yang rumit.
Dari aspek penjaga tol hingga membetulkan kerosakan jalan berlopak, semuanya menjadi tanggungjawab sesebuah syarikat pengurusan lebuh raya.
“Mungkin ramai yang lihat tugas kami sebagai sesuatu yang mudah. Kerja kami menjangkaui tugas sekadar mengutip wang sahaja. Malah, kami juga menjadi duta syarikat yang berdepan dengan hampir 300 hingga 400 orang pembayar tol setiap jam!” kata jurutol PLUS, Mohd. Israq Rahman, 28.
Jurutol bertugas lapan jam pada satu-satu syif, tidak termasuk kerja masa tambahan.
Dia yang ditemui di ibu pejabat Persada PLUS di Lebuh Raya Bertingkat Subang, Selangor baru-baru ini juga menyatakan, sungguhpun di sebalik pelbagai ragam dan sikap pembayar, pengalaman kerja itu sebagai sesuatu yang tetap mengujakan.
![]() |
| SALAM, senyum dan sabar menjadi kempen 3S yang dipegang pekerja PLUS. |
“Oleh kerana terlibat dalam industri perkhidmatan dan sebagai orang yang selalu berhadapan dengan pelanggan, ia memberikan saya lebih banyak pendedahan. Saya dapat mengembangkan kemahiran perkhidmatan pelanggan dan cara berdepan dengan pelbagai respons yang disampaikan mereka,” katanya yang mengakui mereka dilatih dengan motto, customer always right.
Selain kemahiran perkhidmatan pelanggan, Israq juga memberitahu, dirinya selaku jurutol, diberi tanggungjawab oleh syarikat untuk menyimpan sejumlah besar wang kutipan tol.
“Itu satu lagi amanah besar kami di sini. Tetapi jika ditugaskan di bahagian entry iaitu bahagian pemberian tiket, kami tidak perlu menyimpan wang kutipan tol,” jelas Israq.
Sebagai jurutol, Israq memberitahu, mereka dididik dengan pelbagai kemahiran yang mengutamakan kesabaran, etika dan amanah.
Tetapi selain itu, penjaga tol juga memerlukan satu lagi kelebihan yang dilihat amat membantu pembayar tol, iaitu pemahaman tentang jalan.
“Mereka kerap kali bertanya mengenai arah tuju sesuatu jalan, memastikan jalan yang mereka gunakan dan bertanya arah ke sesuatu kawasan. Berada di kaunter tol, kita tidak wajar berkata ‘tidak tahu’ atau ‘tidak pasti’.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk memberikan arah tuju yang betul secara berhemah,” kata-kata Israq jelas menunjukkan kematangannya di PLUS sejak enam tahun lalu.
Banyak bersabar
Bagi jurutol wanita, Nur Aqilah Shahrudin pula, dia menggangap pekerjaan itu amat sesuai bagi kaum Hawa kerana ia banyak memerlukan kesabaran.
“Kita berdepan dengan pelbagai ragam pembayar. Tetapi oleh kerana dilatih melalui Kempen 3S - Salam, Senyum dan Sabar, saya rasa ia bersesuaian dengan wanita,” katanya yang turut ditanya tentang masalah gangguan seksual.
Jelas Aqilah yang baru berusia 22 tahun, gangguan seksual memang ada tetapi bukan pada tahap yang membimbangkan.
“Memang ada, sekadar minta keluar bersama, minta nombor telefon atau cuba bersembang sikit. Ada juga yang cuba pegang-pegang tangan pada syif malam. Saya pernah melihat pembayar lelaki yang memandu tanpa baju atau dalam keadaan mabuk.
“Bagaimanapun kita di Malaysia mempunyai pembayar yang berhemah dan tahu adab. Jadi apabila bercakap mengenai masalah gangguan seksual, memanglah kurang dan tidak melampaui batas,” katanya.
Walaupun sudah lama bekerja sebagai jurutol, Wan Azura Ngah Saidi, 35, yang bertugas di Plaza Tol Rawang, tidak pernah melihat pekerjaan itu sebagai satu pekerjaan yang membebankan. Dengan pengalaman 16 tahun, iaitu sejak tahun 1994 bersama PLUS, wanita itu percaya pekerjaannya selamat daripada gangguan, terjamin dan menyeronokkan.
![]() |
| AMANAH menjaga wang yang dipungut adalah antara tanggungjawab yang dipikul jurutol. |
“Oleh kerana syarikat menjaga kebajikan kami dari segi faedah perubatan dan gaji yang baik, saya berasa ia terjamin untuk keluarga saya. Selain itu, dengan jumlah rakan-rakan yang ramai di sini, saya rasa pekerjaan di sini menyeronokkan. Malahan, pekerjaan ini juga mendekatkan saya dengan orang ramai sehingga ada pembayar tol yang menjadi kawan,” katanya yang mengenal beberapa orang pembayar tol yang lazim menggunakan Plaza Tol Rawang.
Sambut Aidilfitri
Ketiga-tiga jurutol yang ditemuramah turut berkongsi satu lagi pengalaman manis saat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kaunter tol. Bagi mereka, halangan balik kampung atas urusan kerja di plaza tol semasa cuti umum itu sama sekali tidak mematahkan semangat mereka terus setia di Plaza Tol.
“Tiada kekecewaan kerana di sini (pejabat PLUS) kami masih menyambut Hari Raya bersama keluarga PLUS. Kami masak di sini dan menyambut bersama-sama dalam suasana yang cukup meriah,” kata Azura yang tidak melihat pengalaman itu sebagai sesuatu yang pahit.
“Saya akan meminta isteri bersama anak balik kampung. Kami hanya diberi cuti raya setiap tiga tahun sekali. Jadi dalam tempoh enam tahun ini, saya hanya balik kampung pada Hari Raya sebanyak dua kali sahaja,” kata Israq dari Ipoh.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: