Wednesday, April 27, 2011

Jawablah!: Berkawan, bukan berkasih

  • Foto

    Anding

  • Foto

    Amran Ismail

'Tukang urut' Chukang perjelas gosip hubungan cinta sejenis dengan Anding

TERKEJUT besar jejaka ini sebaik saja membaca artikel yang disiarkan akhbar sisipan B*Pop Ahad lalu. Bukannya berita mengenai lakonan yang menarik perhatiannya, sebaliknya kisah sensasi yang mendakwa dirinya terbabit dengan cinta songsang. Artikel itu nyata membuatkan dirinya tidak senang hati sepanjang hari.Terasa bagaikan luruh jantungnya membaca ayat demi ayat yang mengatakan dirinya berkelakuan tidak senonoh bersama pasangannya yang juga seorang pelakon, Anding, di khalayak ramai. Sebagai seorang yang masih berpegang teguh pada ajaran agama serta tahu halal dan haram, artis yang dimaksudkan iaitu Amran Ismail, ketika dihubungi Hip Isnin lalu berkata, mustahil dia membiarkan dirinya terjebak dalam gejala tidak bermoral itu.
Malah sewaktu ditemubual, pelakon yang pernah melakonkan watak tukang urut gay dalam filem pendek Chukang ini mengucap panjang kerana tidak menyangka dirinya akan dibabitkan dengan kontroversi seperti itu. Walaupun menyedari gosip ialah rencah kehidupan anak seni, namun cerita seperti itu memberikan gambaran tidak baik terhadap dirinya, lebih-lebih lagi apabila dia baru saja menandatangani kontrak bernaung di bawah syarikat MIG.

Lebih membuatkan dia kesal apabila mereka yang tidak mengetahui cerita sebenar mula memberikan pandangan sinis seolah-olah dia memang terbabit dengan hubungan sesama jenis persis dalam filem ....Dalam Botol itu.

HIP: Apa komen Amran apabila didakwa terbabit dengan cinta songsang seperti yang ditulis dalam B*Pop?

Amran:
Sudah tentu saya terkejut kerana cerita itu tidak benar sama sekali. Saya mengaku berkawan dengan Anding, tetapi tidaklah sampai hendak bercinta dengannya seperti yang didakwa. Subhanallah... Nauzubillah, perkara ini sangat memalukan dan ia satu fitnah yang besar dalam hidup saya. Saya kenal Anding apabila kami sama-sama terbabit dalam siri promosi Jamu Mak Dara. Selain itu kami juga mempunyai hobi yang sama iaitu suka pergi ke gimnasium. Jadi apabila timbul cerita yang kami bercinta dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai, saya terkejut dan tidak boleh menerimanya.
HIP: Khabarnya kejadian itu berlaku ketika Amran bercuti di Sarawak baru-baru ini. Amran memang ada bercuti ke sana dan apakah Anding turut serta dalam percutian itu?

Amran:
Memang saya ada pergi ke Sarawak baru-baru ini, tetapi bukannya bercuti seperti yang didakwa. Sebaliknya saya ke sana atas tujuan berubat. Saya memang sakit, tapi bukan sakit biasa dan sehingga kini masih lagi berusaha untuk merawatnya. Kunjungan saya ke sana adalah untuk bertemu dengan seorang ustaz. Ia ikhtiar saya untuk mengubati penyakit ini. Saya akui memang ada bertemu Anding di sana. Bukan saja berjumpa Anding, tetapi juga ibu dan bapanya. Sebelum ini pun saya pernah berjumpa mereka ketika mereka bertandang ke Kuala Lumpur. Tolonglah! Saya masih berfikiran waras dan tahu akan dosa dan pahala. Takkanlah saya nak berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai?

HIP: Mungkin ini tindakan seseorang yang tidak senang dengan Amran, lalu menyebarkan cerita tidak elok ini kepada media?

Amran:
Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini. Sebagai orang Islam, saya tidak mahu menuduh sesiapa dalam hal ini. Cuma saya tertanya-tanya juga, apakah perkara ini ada kaitan dengan penyakit yang saya alami ini. Seperti yang saya katakan tadi, penyakit ini bukan penyakit biasa. Ia akan datang menyerang ketika senja saja. Masa itu kaki dan badan saya seperti ditusuk jarum. Disebabkan itulah saya cuba mendapatkan rawatan secara tradisional. Seperkara yang membuatkan saya rasa perkara ini seperti ada kaitannya, sejak kebelakangan ini saya sering mendapat kiriman SMS dari orang yang tidak dikenali. Selepas disiasat, ada pihak yang menggunakan nama dan wajah saya untuk bersembang di laman sosial lucah. Perkara ini cukup menakutkan saya dan saya trauma setiap kali bangun pagi kerana ada saja kiriman SMS dari orang yang tidak dikenali dihantar ke telefon bimbit saya.

HIP: Jadi apa tindakan Amran selepas ini?

Amran:
Sebenarnya saya baru saja menandatangani kontrak dengan syarikat MIG dan mereka meminta saya supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini. Iyalah, perkara ini ada kaitan dengan imej dan reputasi dan mereka tidak mahu ia terjejas semata-mata kerana cerita seperti ini. Tapi penjelasan ini saya buat atas sebab tidak mahu orang ramai salah sangka dan terus mempertikaikan status seksual saya. Saya akan berbincang dengan mereka dan memberikan penjelasan sebenar atas apa yang berlaku. Sekarang ini saya memang tidak sempat untuk bersemuka dengan pihak MIG kerana sibuk di lokasi penggambaran.

HIP: Sebelum ini ada terbaca yang Amran mempertikaikan tindakan sebuah produksi kerana menggugurkan watak Amran dalam sebuah drama. Komen sikit.

Amran:
Memang saya terkilan sangat apabila produksi terbabit menggugurkan saya daripada projek itu. Alasan mereka ketika ditanya, watak saya ditiadakan. Tapi saya mendapat tahu sebenarnya watak itu diberikan kepada pelakon lain. Apa yang membuatkan saya kecewa dengan tindakan mereka, disebabkan watak itu saya sanggup menolak dua tawaran yang datang. Apabila saya sudah bersetuju, tiba-tiba watak saya ditiadakan.

Saya tak mahulah disebabkan perkara itu nanti ada pihak yang mendakwa saya digugurkan kerana masalah disiplin. Saya tak mahu peminat salah sangka. Bagaimanapun, saya anggap semua itu bukan rezeki saya dan saya juga percaya ada hikmah atas apa yang berlaku. Alhamdulillah, selepas kejadian itu, saya menerima empat tawaran dan kesemuanya watak pelakon utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: